Satu lagi kerajaan negeri Pakatan jatuh ?











Ahli Parlimen Bebas Zulkifli Noordin hari ini membayangkan episod Perak tumbang berulang dalam waktu terdekat sambil menasihatkan sebuah “kerajaan negeri Pakatan Rakyat” agar mengambil langkah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Zulkifli yang dipecat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mac lalu tidak menamakan kerajaan negeri itu.
Bagaimanapun tumpuan kini menghala ke arah negeri di Utara Semenanjung.
Zulkifli memberitahu , dua Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) akan keluar dalam waktu terdekat.
Tindakan itu menurut wakil rakyat Bebas ini, boleh menyebabkan tumbangnya satu lagi kerajaan negeri mirip Perak awal tahun lalu.
“Saya tidak mahu menamakan siapa mereka (yang akan keluar) tetapi saya boleh mengesahkan mereka akan meninggalkan parti tidak lama lagi... dalam waktu terdekat ini.
“Mereka cuma bimbang apa akan terjadi jika mereka keluar, jadi mereka memanggil saya untuk mendapatkan nasihat,” kata beliau ketika dihubungi.
Zulkifli berkata, beliau menasihatkan mereka agar bertindak mengikut prinsip mereka dan tidak terpengaruh dengan keputusan pihak lain.
“Salah seorang daripada mereka memberitahu saya bahawa dia marah kerana rintihan-rintihan dia tidak ditangani, kepimpinan tidak mendengar pandangan akar umbi,” katanya.
Menurut beliau, umumnya mereka berpendapat PKR telah hilang hala tuju, berbeza daripada matlamat asas reformasi dan kini hanya mahu menjadikan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Oleh itu Zulkifli menasihatkan, “kerajaan Pakatan Rakyat” supaya segera mengambil langkah mendapatkan perkenan Sultan untuk membubarkan DUN.
Katanya, nasihat itu adalah berdasarkan maklumat yang beliau terima daripada “sumber-sumber boleh dipercayai”, meramalkan kejatuhan satu lagi kerajaan negeri selepas pilihan raya umum 2008.
“Mereka sudah diberi amaran. Mereka harus mengambil nasihat dan jangan berkata bahawa mereka tidak menyedari perkara ini sebab kita semua tahu apa yang berlaku di Perak.
“Satu perkara saya boleh memberitahu anda... ia betul-betul akan menjadi satu kejutan,” kata wakil rakyat dari Kedah ini.
Pakatan Rakyat kini memimpin Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.
Kini tumpuan menghala ke arah Kedah kerana perbezaan kerusi antara Pakatan Rakyat dan pembangkang termasuk Barisan Nasional (BN) cuma empat.
Daripada 36 kerusi di DUN, Pakatan Rakyat mempunyai 20 kerusi dengan PAS memiliki 16, PKR tiga dan DAP satu manakala BN pula 14 dan dua lagi merupakan wakil rakyat Bebas yang pro-BN.
Bulan lalu, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak ada memberitahu bahawa beliau akan memohon pembubaran DUN jika ada lagi yang memutuskan untuk keluar parti.
Minggu lalu, BN Kedah membayangkan mempunyai peluang cerah untuk melihat beberapa Adun Pakatan Rakyat akan keluar parti komponennya, sekali gus mengubah landskap pentadbiran negeri semasa.
Sehubungan itu, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ir Nawawi Ahmad meramalkan sama ada Kedah akan berubah tangan ataupun sekurang-kurangnya membawa kepada pilihan raya umum negeri yang baru.
Umno melihat kemungkinan tersebut berdasarkan perbezaan empat kerusi DUN antara Pakatan Rakyat dan BN yang mendakwa menerima sokongan wakil rakyat Bebas.
“Saya lihat ada peluang (untuk beberapa Adun Pakatan) keluar parti... saya melihat kemungkinan itu kerana sudah ada yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti mereka,” .
Nawawi juga berkata, pihaknya mempunyai maklumat beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat juga tidak berpuas hati dengan parti masing-masing buat masa sekarang.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks