Lesen pertaruhan sukan bersyarat: Hanya kawasan bukan Islam....jadi ia tidak haram untuk ISLAM UMNO@APCO la....!!!



Lesen pertaruhan sukan telah diluluskan kepada Vincent Tan Chee Yioun pada 13 Januari tahun ini, dengan syarat perkhidmatan ini hanya terhad kepada kawasan majoriti bukan Islam, malah tiada pertaruhan melalui internet dibenarkan.
Demikianlah khabar yang dipetik oleh The Star, melaporkan bahawa Ascot Sports Sdn Bhd yang dikuasai usahawan tempatan Vincent Tan (gambar kanan) telah memperolehi lesen pertaruhan sukan sejak awal tahun ini.
Bagaimanapun, lesen ini diluluskan dengan beberapa syarat, misalnya hanya 200 daripada 680 pusat pertaruhan BToto yang terletak dalam kawasan majoriti bukan Islam dibenarkan menawarkan perkhidmatan ini.  Selain itu, pusat pertaruhan wajib memaparkan papan tanda yang membenarkan hanya bukan Islam dan orang dewasa untuk masuk menaruh.  Pada masa yang sama, syarikat tersebut tidak dibenarkan untuk menawar perkhidmatan pertaruhan melalui internet.
Malah, sumber maklumat memaklumkan, selepas memperolehi lesen pertaruhan sukan pada 13 Januari, Ascot Sports telah mula bersiap sedia untuk menawarkan perkhidmatan ini.  Namun, perkhidmatan ini dijangka akan bermula pada Ogos atau September.  Jadi, ia mungkin terlepas peluangnya untuk Piala Dunia Bola Sepak di Afrika Selatan yang akan berlangsung dari 11 Jun hingga 11 Julai tahun ini.
Lesen diberikan semasa zaman Mahathir
Sebagaimana yang difahamkan, Kementerian Kewangan telah meluluskan lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports secara tidak rasmi.  Ini kerana syarikat ini pernah dua kali memperolehi lesen yang hampir sama sebelum ini, tetapi ditamatkan kerajaan pada akhirnya.  Jadi, syarikat ini memiliki kelebihan untuk memperolehi lesen seandainya perjudian sukan dihalalkan.
Pada tahun 1987, Ascot Sports telah memperolehi lesen pertaruhan sukan yang pertama daripada kerajaan Mahathir Mohamad (gambar kiri).  Walau bagaimanapun, setelah beroperasi untuk setahun lebih, syarikat tersebut telah memulangkan lesen itu kepada kerajaan pada tahun 1990 sebagaimana yang diminta.  Kementerian Kewangan bersetuju untuk mendahulukan Ascot Sports dalam pertimbangannya jikalau berniat untuk meluluskan lesen pertaruhan sukan pada masa depan.
Ascot Sports telah memperolehi semula lesen pertaruhan sukan pada Jun 2003, semasa kerajaan masih diterajui Mahathir Mohamad.  Bagaimanapun, perkhidmatan ini ditamatkan oleh kerajaan Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2004 dengan alasan bahawa pertaruhan sukan adalah haram.
Amaun pertaruhan haram setinggi RM20 bilion
Bagaimanapun, kerajaan perlu berdepan dengan satu realiti, iaitu amaun pertaruhan sukan yang haram di Malaysia mencecah puluhan bilion ringgit setiap tahun.  Seandainya kerajaan menghalalkan pertaruhan sukan dengan mekanismenya, maka ia akan mengundang pendapatan cukai yang beratus juta untuk kerajaan.
Menurut perangkaan yang tidak rasmi, amaun perjudian haram yang dipertaruhkan orang tempatan melalui bookie dan sindiket luar negeri mencecah RM 20 bilion setiap tahun.  Menurut laporan analisis CIMB Research, amaun pertaruhan sukan mencecah RM 8 bilion setahun, setelah ditolak jumlah yang dipertaruhkan oleh mereka yang diharam untuk berjudi, termasuk golongan belum dewasa dan umat Islam.
Menurut seorang penganalisa, kerajaan di seluruh dunia cenderung untuk menyekat perkembangan perjudian haram melalui pengawalan, malah mendapat cukai sampingan dengan pendekatan sedemikian.  Sejak 20 tahun kebelakangan ini, negara Eropah, Afrika dan Asia, termasuk Singapura, masing-masing mengubahsuai rangka  undang-undangnya, agar aktiviti perjudian haram boleh dikawal.
Malah, pengamal dalam bidang perjudian tempatan menganggap bahawa kemudahan internet telah membawa aktiviti perjudian ke setiap rumah.  Pasaran pertaruhan sukan tempatan mungkin boleh terkawal seandainya kerajaan meluluskan lesen pertaruhan sukan.
Bantahan masyarakat tempatan
Sementara itu, keputusan kerajaan ini mengundang bantahan daripada masyarakat tempatan merentasi kaum.  Sebelum ini, Pakatan Rakyat telah menyuarakan bantahan terhadap kerajaan kerana meluluskan penambahan bilangan cabutan khas dalam perjudian.
Setelah Timbalan Menteri Kewangan, Awang Adek Hussein mengakui bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan kelulusan lesen pertaruhan sukan, parti komponen Pakatan Rakyat telah menyatakan bantahan.  Pertubuhan seperti JIM Terengganu juga mengeluarkan kenyataan untuk membantah keputusan tersebut.
*Neo Chee Hua

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks