Alhamdulillah! UMNO sudah daulatkan Raja-Raja Melayu - Bhg 1




Sejak kebelakangan ini saya bergembira dan bersyukur tidak terhingga kerana UMNO masih memerlukan Raja-Raja Melayu dan merasakan sangat yang Raja-Raja Melayulah institusi yang mampu menyelamatkan, bukan sahaja bangsa Melayu tetapi semua bangsa rakyat Malaysia ini.

UMNO mula menyedari pentingnya Raja-Raja Melayu dejak berlaku rampasan kuasa diPerak tahun lepas dalam mana UMNO dan BN diselamatkan oleh kehadziran Raja-Raja Melayu dan sejak itulah kedengaran dimana-mana ahli-ahli UMNO melaungkan, Daulat Tuanku..Daulat Tuanku.

Baru dua hari yang lepas UMNO Subang Jaya tempat saya tinggal ini telah membuat lapuran Polis terhadap Zaid Ibrahim kerana memberikan sedikit pandangan tentang boleh atau tidak bercakap pasal politik didalam masjid.

Pada hal Zaid hanya memberikan pandangan peribadi dan tidak pun menghina dan menunjukkan sikap tidak menjunjung titah DYMM Tuanku Sultan Selangor.

UMNO Subang terus sahaja membuat laporan polis kononnya Zaid Ibrahim durhaka kepada Sultan dan bermacam-macam lagi helah untuk menunjukkan bahawa UMNO amat cintakan Raja dan institusinya.

Dalam keadaan yang lemah sekarang UMNO sudah tidak dapat membelakangkan fakta bahawa Raja-Raja Melayu itu adalah simbol yang kemuncak kepada kita orang Melayu…tiada Raja tiada Melayu.

Tetapi perasaan cinta UMNO kepada Raja hanya waktu parti itu sedang kehilangan sokongan padu orang Melayu.

TETAPI semasa UMNO sedang kuat dahulu, UMNO telah lupa daratan dengan menghentam Raja-Raja Melayu seperti Raja-Raja Melayu itu sudah tidak berguna lagi.

Malahan dalam perhimpunan agung UMNO pada tahu 1992 dahulu Mahathir hanya menyindir Raja-Raja saolah-olah Baginda-Baginda sebagai sumber kita untuk mendapatkan Bintang dan Pingat sahaja.

Ungkapan itu telah mendapat tepukan gemuruh perwakilan yang terdiri daripada Melayu UMNO, tanpa menyedari bahawa mereka sedang mempersendakan diri dan bangsa mereka sendiri.

Saya masih ingat lagi bagaimana pilunya ramai orang dan saya yang masih tidak menyertai UMNO (B) semasa itu nampak beberapa orang Melayu menitiskan air mata kesedihan melihat sikap laku pemimpin ulung negara menempelak Raja-Raja dan disambut dengan tepukan perwakilan semasa itu.

“Awak tengoklah Aspan, melayu sedang mabuk, pemimpinnya gila pengikutnya mabuk…menghina bangsanya sendiri,” kata arwah Cik Gu Kahar Ahmad, dari Muar yang kebetulan bersama saya semasa melihat dan mendengar ucapan Mahathir melalui TV di hotel penginapannya di Kuala Lumpur.

Sambil menyapukan minyak cap kapak ke dahinya Cik Gu Kahar berkata “Tanda cakap kawan Aspan…tak lama lagi Mahathir akan buat apa sahaja untuk mengekalkan kuasanya. Raja-Raja kita ni akan dilucutkannya kuasa, kerana Majlis Raja-Raja ada kuasa untuk melucutkan jawatannya sebagai PM..dia takut…percayalah cakap kawan!”

Saya merasakan apa yang ada di dalam pemikiran Cik Gu Kahar, pejuang Melayu tulen yang sangat saya hormati itu.

“Dia orang itu akan menjilat ludah mereka nanti tu! Mereka bukan ada malu, nanti mereka akan dengan tidak ada segan dan silu akan menyorok di bawah ketiak Raja-Raja bila tersepit nanti. Kalau sampai masa keadaan itu berlaku hadiahlah Al-Fatihah kepada kawan kalau kawan sudah meninggal waktu itu,” sambungnya dengan marah bercampur sedih.

Sesungguhnya usaha untuk mengenepikan kuasa yang masih ada sikit-sikit pada Raja-Raja Melayu itu bermula pada tahun 1983 lagi di mana Raja-Raja mesti menandatangani semua yang diluluskan oleh Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri-negeri dalam tempoh 2 minggu.

Jika Kebawah Duli-Duli Tuanku tidak menandatangani apa yang diluluskan oleh pihak legislatif akan secara automatik menjadi undang-undang. Maka dengan pindaan itu maka Raja-Raja Melayu seperti tidak wujud dalam konteks apa-apa pindaan yang diluluskan oleh pihak legislatif.

Di sinilah bermulanya Raja-Raja Melayu secara beransur-ansur dilupuskan daripada kedaulatannya yang dilakukan oleh pemimpin negara yang diketuai oleh UMNO.

Rakyat bukan Melayu hanya memerhatikan sahaja kelakuan pemimpin Melayu yang giat melumpuhkan serta mengaibkan bangsanya sendiri dengan menghina Raja-Raja mereka. Bagi bukan Melayu, mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana orang Melayu sendiri berusaha untuk melemahkan kewujudan bangsanya sendiri.

Tetapi kemuncak kepada pencerobohan ke atas institusi Raja-Raja ini berlaku pada tahun 1993, di mana Raja-Raja Melayu menjadi sasaran politik Melayu yang amat menyedihkan dan merupakan sejarah paling hitam bagi bangsa kita ini.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks