Reformasikan pasukan polis



OLEH ABDUL AZIZ BARI

Tragedi yang mengorbankan nyawa pelajar berumur 14 tahun Aminulrasyid Amzah yang ditembak oleh polis di Shah Alam pada awal pagi 26 April lalu begitu banyak diperkatakan aspek politiknya. Tetapi bagi saya ia adalah isu yang berkait dengan soal keadilan, ketelusan dan pertanggungjawaban. Pihak polis, yang merupakan sebahagian daripada perkhidmatan awam di bawah Perlembagaan Persekutuan, memainkan peranan penting dalam menjaga dan memperkasa kedudukan dan hak asasi rakyat. Bukan sebaliknya.
Apa yang menyedihkan ialah bahawa tragedi di Shah Alam itu bukanlah yang pertama. Sebelum itu ada beberapa insiden yang serupa berlaku. Ia termasuklah kematian dalam lokap A Kugan dan tindakan polis menembak ibu tunggal Norizan Salleh. Dalam pada itu ada beberapa kes lain yang tidak dilaporkan dengan meluas yang dibangkitkan ekoran kejadian terbaru di Shah Alam itu.
Respons pihak kerajaan dan polis nampaknya sama: apa yang berlaku ialah satu kesilapan dan siasatan dalaman akan dilakukan. Apa yang menimbulkan kemarahan dalam insiden di Shah Alam itu ialah tuduhan polis bahawa budak yang ditembak itu penjenayah dan di dalam kereta yang dipandunya ada sebilah parang. Ini dinafikan dan beberapa bukti dikemukakan oleh keluarga si mati dan mereka yang menyaksikan kejadian.

Ini membuat pihak polis senyap tetapi terus menyerang: ahli-ahli Pakatan Rakyat yang memperjuangkan isu itu dikatakan mencari publisiti murahan. Ini kelihatan dalam kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar. Sementara itu Barisan Nasional cuba menunjukkan simpati kepada keluarga Aminulrasyid tetapi dalam masa yang sama cuba membela pihak polis.

Seperti yang dilaporkan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa bahawa pelantikan Pengerusi DAP Karpal Singh sebagai peguam keluarga si mati telah mempolitikkan isu berkenaan.

Saya tidak berasa perlu untuk memberi komen tentang dakwaan Khir itu kerana jawatankuasa yang ditubuhkan kerajaan untuk menyiasat tragedi Shah Alam itu juga tidak bebas daripada politik; khususnya keterlibatan UMNO kerana ia dipengerusikan oleh Datuk Abu Seman Yusop, seorang timbalan menteri dari parti itu. Apabila Khir mempersoalkan kedudukan Karpal perkara yang sama juga boleh dibangkitkan tentang Abu Seman.

Kita tidak habis-habis bergelut dengan isu seperti itu kerana kita gagal melaksanakan penubuhan IPCMC – sebuah suruhanjaya bebas memantau pasukan polis – sebagaimana yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Dzaiddin Abdullah pada 2005. Pada mulanya Tun Abdullah Ahmad Badawi hendak mengikut cadangan tetapi Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Mohd Bakri Omar, mengugut kerajaan: sekiranya kerajaan berbuat demikian anggota-anggota polis akan mengundi pembangkang dalam pilihan raya.

Tidak dapat dipastikan sama ada Bakri hanya berlakon dengan Abdullah atau benar-benar serius dalam membuat ugutan itu. Tetapi saya tidak begitu percaya dengan ugutan itu kerana kalau Pakatan menubuhkan kerajaan saya fikir polis teruk menerima akibatnya. Ini kerana dalam laporannya, selain IPCMC, Suruhanjaya Dzaiddin turut membangkitkan masalah polis yang kronik seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan juga kedudukan cawangan khas yang suruhanjaya berasa perlu untuk disemak dan diperbetulkan.

Selama ini kita semua tahu polis banyak membantu Barisan, walaupun ia tidak selaras dengan undang-undang. Contohnya di Terengganu ketika Pas memerintah antara 1999-2004. Ketua Polis Negeri ketika itu, Datuk Othman Talib, terang-terang melawan kerajaan negeri. Ini termasuklah keengganannya melaksanakan undang-undang yang diluluskan oleh DUN Terengganu. Ini bertentangan dengan Akta Polis 1967 yang menyatakan bahawa tugas polis ialah melaksanakan undang-undang; tidak kira undang-undang persekutuan atau negeri. Kita juga melihat bagaimana gelagat polis di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan; termasuk di Perak dan Selangor.

Dalam beberapa insiden tertentu polis membuat keputusan yang saya fikir salah di sisi perlembagaan. Dua bulan lalu Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam di Bukit Aman (KDNKA) Datuk Hussin Ismail membuat kenyataan bahawa polis enggan menyertai APMM; sebuah agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan untuk mengawasi perairan negara. Sebagai sebuah cabang perkhidmatan awam adalah salah untuk Husin berbuat begitu: dia boleh diambil tindakan disiplin kerana ingkar keputusan kerajaan.

Untuk mengurangkan berlakunya tragedi seperti di Shah Alam itu saya fikir polis perlu balik kepada fungsi asalnya iaitu membasmi jenayah. Fungsi lain termasuk menyertai operasi pengaman di luar negara patut dihentikan. Itu kerja angkatan tentera. Polis juga tidak perlu campur tangan dalam memantau perhimpunan awam: peruntukan undang-undang yang berkenaan, sebagaimana yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Dzaidin Abdullah perlu dimansuhkan. Isu-isu seperti yang berlaku di Shah itu itu menandakan bahawa polis masih belum berjaya dalam melaksanakan tugas dengan baik. Tugas membasmi jenayah perlu tumpuan dan latihan yang mencukupi.

Saya setuju dengan komen ahli akademik Wong Chin Huat yang berkata bahawa polis tidak harus diletakkan di bawah kerajaan persekutuan. Format yang ada sekarang adalah legasi British yang jelas dibuat untuk kepentingan mereka. Kedudukan dan kuasa polis sudah banyak yang tidak selari dengan ideal perlembagaan.

Apa pun kelihatannya Barisan Nasional (BN) tidak berminat untuk mereformasi pasukan polis. Ini jelas dalam sikap dolak-dalik pentadbiran Abdullah Badawi dalam melaksanakan cadangan suruhanjaya yang dikatakan tadi. Ini tidak berubah di bawah pentadbiran yang ada sekarang. Sebab itu saya tidak terkejut apabila Dewan Negara menolak usul untuk membincangkan isu tembakan Aminulrasyid. Kalau membincang pun tidak mahu bolehkah kita mengharapkan sesuatu yang lebih mendasar?


Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang selama lebih 20 tahun

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks