Ku Li : Henti Anak Tiri Negeri Pembangkang, Kembalikan Hak Royalti Kelantan



KUALA LUMPUR  3 APRIL : Bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah menggesa  Putrajaya  menghentikan sebarang amalan menganak-tirikan kerajaan negeri pembangkang dan merujuk kepada isu royalti minyak Kelantan sebagai contoh hak rakyat negeri  dinafikan .

"Saya rasa tak ada perkara yang patut menghalang pemberian wang tunai ini daripada dilanjutkan ke negeri berkenaan (Kelantan). Ada minyak bayarlah, "kata  Tengku Razaleigh kepada TVSelangor.

"Tak ada (wang ehsan) dalam Akta Kemajuan Petroleum. Wang ehsan ini sedekah. Rakyat (Kelantan) bukan nak minta sedekah, Ini (royalti) hak dia," tambah beliau.

Tokoh veteran Umno itu menegaskan Kerajaan Pusat tidak harus menganaktirikan kerajaan negeri walaupun dokongan politik masing-masing berbeza kerana ia hanya menyusahkan rakyat.


"Tak kira siapa kerajaan pun, Samada di Kelantan, Kedah, Pahang,  Selangor dan Johor sama sahaja. Jadi kalaulah hendak menganaktirikan negeri sebab berlainan politik,  tak patut (kerana) yang menanggungnya adalah rakyat,  bukan kerajaan yang berkuasa," tegas beliau. "Tak ada keadilan dari segi itu," tambahnya.

Tengku Razaleigh berkata konsep Federalisme di Malaysia tidak akan bermakna jika hak-hak kerajaan negeri dibelakangkan.

"Kalau kita dengar ada negeri yang tak dapat layanan sewajarnya, saya rasa itu tak patut. Ia bertentangan dengan semangat Persekutuan itu sendiri. Jadi tak ada makna adanya (konsep) Persekutuan kalau semangat kerjasama dan tolong menolong tidak diteruskan,"kata beliau.

Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan adalah dibawah pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Pemimpin negeri berkenaan sering merungut dipinggirkan dalam pelbagai program kerajaan pusat.

Pengagihan peruntukan untuk negeri-negeri berkenaan juga didakwa tidak setimpal berbanding negeri di bawah pemerintahan Umno-Barisan Nasional.

Kerjasama antara Kementerian Persekutuan dan Kerajaan Negeri juga suram kerana arahan-arahan tertentu daripada Menteri berkenaan  dikatakan didorong atas pertimbangan politik.

Contohnya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar dilaporkan pernah melarang kakitangan dan pegawai agensi Kementerian Pertanian menghadiri mesyuarat pembangunan yang dianjurkan di empat negeri pembangkang.

Manakala Radio Televisyen Malaysia cawangan Selangor diarah berpindah keluar daripada Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor oleh Putrajaya, sebaik sahaja negeri itu jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Tengku Razaleigh  berkata tuduhan bahawa Kerajaan Persekutuan menganak-tirikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat tidak boleh ditolak begitu sahaja.  

"Saya dengar ada pihak pusat nak cuba sabotaj pentadbiran negeri. Saya dengar di Pulau Pinang, bukan dari pihak yang berkuasa di negeri itu, tetapi dari rakyat yang memberitahu saya ada (yang) dihasut pegawai supaya jangan beri kerjasama dan sebagainya. Saya rasa tak patut. Seharusnya wajib diberi kerjasama kepada siapapun yang memerintah sebaik mungkin untuk sampaikan khidmat dan apa yang perlu kepada rakyat," kata beliau.

Mengimbau isu royalti minyak Kelantan, Tengku Razaleigh berkata Kelatan tidak harus dilayan berbeza daripada Sabah dan Sarawak semata-mata kerana negeri pantai timur itu dibawah penguasaan Pas. 

"Kalau negeri nak terima 5 percent, syaratnya minyak kena ada berhampiran dengan negeri.  Sabah dan Sarawak terus dapat (royalty).  Kalau ikut (prosedur itu),  Sarawak pun tak boleh dibayar. Maknanya Kerajaan boleh arahkan Petronas jangan bayar Sarawak," kata beliau.

Perdana Menteri Najib Tun Razak sebelum ini mendakwa Kelantan tidak layak menerima royalti untuk minyak yang digali di kawasan persisirannya namun akan diberikan wang ehsan RM20 juta sebagai ganti.

Tawaran itu ditolak oleh kerajaan negeri yang mengemukakan pelbagai bukti untuk menyokong hujah bahawa rakyat Kelantan berhak mendapatkan royalti sehingga RM2 bilion.  

Kerajaan Kelantan  mengambil keputusan untuk mengemukakan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti minyak yang diperoleh dari perairan negeri itu — di sempadan Thailand-Kelantan.

Tengku Razaleigh yang juga bekas Pengerusi Petronas juga membayangkan kepimpinan kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak melaksanakan Akta Kemajuan Petroleum secara betul sehingga mengakibatkan pelbagai kemelut.

"Sebenarnya Perdana Menteri dalah Menteri bertanggungjawab mengenai minyak di negara ini mengikut Akta Kemajuan Petroleum. Tapi pelaksanaan akta ini tidak  betul. Sepatutnya Majlis Petroleum Kebangsaan menasihati Perdana Menteri mengenai perkara-perkara seperti cari gali dan penyimpanan rizab," kata Tengku Razaleigh.

"Sepatutnya Majlis Petroleum Kebangsaan dianggotai pegawai kanan Kerajaan persekutuan dan negeri pengeluar minyak. Mereka sepatutnya menasihati Perdana Menteri, namun majlis ini tak wujud sekarang," kata beliau.
Read Full...

Program 100 Hari Pakatan Rakyat


 
Pakatan Rakyat akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara, ekonomi, pendidikan dan sebagainya berdasarkan prinsip yang digariskan di dalam Dasar Bersama.
Sebagai permulaan kepada reformasi tersebut, dalam 100 hari kami mendapat mandat rakyat, kami akan melaksanakan program berikut:
1. Mereformasikan insititusi-institusi penting negara seperti SPR, SPRM, Pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.
2. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
3. Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.

4. Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.
5. Mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru sebagai penghargaan guru pendidik bangsa.
6. Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.
7. Menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.
8. Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.
9. Menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20%.
10. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah. Read Full...

Video Seks : Motif Politik Amat Jelas



Sekurang-kurangnya kes video seks yang cuba dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sahih.
Soal kesahihan ini bukan sahaja membabitkan pembikinan video seperti yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar Ismail tetapi apa yang lebih sahih ialah isu siapa yang mengusahakannya.
Berbeda dengan dua kes konspirasi yang juga berbaur seks yang cuba dipalitkan ke atas Anwar sebelum ini, kes kali ini jelas digerakkan oleh orang politik.

Dalam kes pertama Anwar dihukum bersalah kerana “salah guna kuasa” untuk lindungi apa yang dikatakan perbuatan seks sumbangnya. Beliau dipenjara enam tahun.
Namun Mahkamah Persekutuan yang merupakan badan kehakiman tertinggi Negara kemudian mendapati kes itu tidak benar dan membebaskan Anwar.

Yang jelasnya, walaupun dapat dihidu umum kes itu adalah satu konspirasi politik untuk menjatuhkan wibawa kepemimpinan Anwar, tangan-tangan politik yang terbabit cuba disorokkan oleh pelbagai institusi – polis, mahkamah dan juga media – daripada dikenalpasti umum.
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berselindung di sebalik kedudukan politiknya dan enggan memberi keterangan di mahkamah tetapi tidak pernah lelah melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Anwar (termasuk yang terbaru dalam Memoir yang bercambah kesalahan fakta).

Begitu juga kes tuduhan liwat kedua. Berhempas pulas institusi yang sama cuba melindungi perancang-perancang di sebalik tuduhan terhadap Anwar.
Seberapa boleh biarlah Anwar terpaksa berhadapan dengan pihak kehakiman, media dan juga polis sahaja. Sehingga kes bersambung semula pertengahan bulan ini, akan dapat disaksikan pula betapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan bersilat enggan ke mahkamah.

Kes ketiga ini lain sedikit. Mungkin kerana silap langkah dan disergah oleh beberapa pihak yang pada mulanya menjadi sasaran untuk mengukuhkan rencana jahat mereka – Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Ketua Solidariti Anak Muda, Badrul Hisham Shaharin -- pihak penganjur drama politik video seks ini tidak sempat dan dapat mengelak diri.

Ketiga-tiga mereka terpaksa mengaku pembabitan dalam kisah video seks ini. Mereka menggelarkan diri kumpulan Datuk T (satu nama pelik yang terpaksa direkacipta setelah tembelang mereka diketahui umum) dan, mendapat nasihat Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Maka oleh kerana ketiga-tiga Datuk T ini orang politik dan mempunyai rekod yang kurang cemerlang dalam soal keluhuran amalan politik mereka, maka sahih ada unsur politik dalam konspirasi ini.
Lebih penting lagi amat mudah sekali kes ini dikaitkan dengan motif politik – jatuhkan Anwar.

Hakikat ini apabila ditokok dengan musim pilihanraya Sarawak, maka suluhan terhadap motif politik yang digerakkan orang-orang politik Umno yang masih enggan pencen ini amat ketara.
Bahawasanya mereka ini dipacu oleh dendam kesumat politik peribadi dan kepartaian adalah amat jelas.

Soal adakah dendam kesumat Rahim, Shuib dan Eskay Abdullah sahaja yang menjadi pendorong kepada usaha menggunakan perencah seks untuk menjatuhkan Anwar? Tentu tidak. Ada pihak lain yang lebih berkepentingan yang yakin bahawa hanya fiksyen seks yang boleh meranapkan kerjaya politik Anwar.

Sudah tentu entiti pendengki dan bacul ini adalah Umno.
Sebagai gerakan politik yang sudah hampir lumpuh dan yang hanya mampu mengatur langkah bila disogok wang ringgit, Umno nampaknya makin ketandusan idea untuk menang dalam persaingan politik.
Betapa tidaknya, tema untuk menjatuhkan musuh hanya mampu dikaitkan dengan seks. Memang benar pepatah orang dahulu kala, “alah bisa tegal biasa” dan “turutkan nafsu lesu.”

Kelesuan politik Umno ini nampaknya juga membawa kesuraman kepada daya pemikiran dan tindakan institusi lain yang memang sebelum ini juga bertolak-tolak tidak mahu dikenalpasti rakyat sebagai tangan-tangan yang terbabit dalam konspirasi skala besar ini terhadap Anwar ini.

Cara laporan media misalnya, jelas tidak berdaya lari daripada usaha cuba mensensasikan rekayasa konspirasi.
Dengan mengulang pendekatan yang sama dari kes fitnah seks satu hingga tiga, ia sekaligus mengisytiharkan betapa dangkal dan lemahnya daya fikir pengendali media arus perdana.
Mungkin kerana mereka sendiri tidak mampu mengendali naluri seks masing-masing, maka merekapun merumuskan bahawa kisah-kisah seks mampu membantu jualan akhbar dan melonjakkan “ratings” televisyen mereka.

Begitu juga dengan cara penyiasatan polis. Yang disiasat ialah orang yang mengadu difitnah dan teraniaya.
Dengan menggunakan taktik yang condong kepada pengesahan cerita-cerita fitnah, ketiga-tiga kes disiasat menggunakan pendekatan sebegitu. Kes terakhir yang segera disiasat bukan kesalahan memiliki, menayang video lucah serta identiti pelaku adegan seks tetapi ketulenan video!

Motif Rahim jelas. Dia kehilangan kerusi Ketua Menteri Melaka pada 1994 sebab terpalit kes rogol gadis bawah umur. Motif Eskay pula adalah kerana terlepas imbuhan berjuta ringgit kerana Anwar tidak mahu menjadi saksi kes tuntutan komisyen dalam projek Jambatan Bengkok.
Motif Shuib pula adalah dendam Perkasa sebuah badan yang mahu Melayu terus Perkasa dalam politik Malaysia (hanya kerana ia mendakwa Melayu) tetapi gerun bersaing dengan orang lain kerana kurang yakin pada kebolehan sendiri.

Motif institusi yang bersengkongkol apa pula? Takut! Ya takut hilang kedudukan dan jawatan kerana kecurangan ketua-ketua silam.
Jika mengaku pemimpin institusi seperti polis, kehakiman dan media sebelum ini curang dan culas, kedudukan sendiri akan diperkecil masyarakat. Jadi atas nama untuk memelihara keluhuran institusi, mereka pun meneruskan tradisi dan politik usang dengan harapan rakyat tidak dapat membaca pembabitan mereka. Maka yang sahih, kes kali ini adalah kes konspirasi politik skala tinggi.
Read Full...
 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks