PRK Sibu : Keadaan terdesak Umno@BN guna polis, ISA di Sibu



SIBU, 11 Mei: Hari keempat kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu memperlihatkan Umno BN semakin terdesak sehingga terpaksa menggunakan polis dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berdepan kempen Pakatan Rakyat yang kian mendapat sambutan masyarakat tempatan.

Buktinya, hari ini pihak polis Sarawak menerusi OCCI SAC II Huzir Mohamed mengeluarkan kenyataan melarang penggunaan isu “Allah” sepanjang kempen atau akan berdepan tindakan ISA.

Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud ketika diminta mengulas perkara itu berkata, tindakan tersebut membuktikan Umno BN kini semakin terdesak.

Mengulas lanjut, Siti Mariah berkata, larangan tersebut dibuat mungkin setelah melihat isu tersebut yang dibawa DAP mampu mempengaruhi pengundi berbanding isu negara Islam yang dibawa BN melalui SUPP.

"Setiap kali Umno BN hadapi masalah yang mereka tidak boleh tangani dengan hujah, mereka akan guna undang-undang dan polis.
"Kenapa Umno BN harus takut,” ujarnya kepada Harakahdaily.

BN sepanjang empat hari kempen mereka, menggunakan isu negara Islam bagi menanam kebencian 52 peratus masyarakat Kristian di parlimen itu kepada DAP.

Poster dan billboard mereka membawa mesej "undi DAP sama seperti mengundi PAS untuk menubuhkan negara Islam".

Manakala DAP pula memberi penjelasan berhubung isu penggunaan kalimah Allah sebagai serangan balas bagi memancing undi bukan Islam khususnya di kalangan penganut Kristian.

Siti Mariah yang berada di Sibu sejak hari penamaan calon lagi berkata, apa yang dibuat Pakatan Rakyat hanya sekadar memberi penjelasan berhubung keadaan sebenar polemik penggunaan kalimah tersebut.

"Mereka buat tidak apa, tapi kita buat tak boleh.

"Mereka yang mulakan dan bila kita jawab mereka dah tak boleh handle lagi," kata Ahli Parlimen Kota Raja itu lagi.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sebelum ini berkata penganut Kristian di Sabah dan Sarawak dibenar menggunakan kalimah Allah dalam upacara sembahyang dan keagamaan kerana secara tradisinya ia telah diamalkan sejak dahulu lagi.

Bagaimanapun di Semenanjung, penggunaan kalimah itu tetap tidak dibenarkan di dalam sebarang upacara keagamaan termasuk penerbitan.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks