Isu Zaid: Perkasa, Magaran ambil sikap tunggu dan lihat



KUALA LUMPUR, 9 Mei — Perkasa dan Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran) yang membatalkan demonstrasi membantah pendirian Datuk Zaid Ibrahim kelmarin atas alasan beliau sudah memohon ampun kepada Sultan Selangor kini mengambil sikap tunggu dan lihat ekoran perkembangan terbaru semalam.
Bagaimanapun pertubuhan bukan kerajaan itu tetap mahu Zaid, anggota Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), meminta maaf kepada Sultan Selangor berhubung kenyataan beliau dalam blog yang mereka dakwa telah mempertikaikan kuasa Raja-raja Melayu.
Semalam Zaid menegaskan beliau bersedia untuk menghadap Sultan Selangor untuk menjelaskan pendiriannya dan alasan kepada penulisan beliau tempoh hari, tetapi menegaskan tidak perlu memohon maaf. Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Ketua Wira Perkasa Arman Azha Abu Hanifah menegaskan, sekiranya Zaid masih enggan meminta maaf pihaknya akan mengambil tindakan kerana beliau dilihat telah melanggar perintah Sultan Selangor.
Bentuk tindakan akan diputuskan kemudian, katanya. Wira Perkasa sepatutnya mengadakan demonstrasi di pekarangan ibu pejabat PKR kelmarin susulan tindakan yang sama Khamis lalu bersama Magaran, yang terdiri daripada Persatuan Kebajikan Islam Selangor, Gabungan Graduan Melayu Muda, Pertubuhan Anak-Anak Bugis dan Persatuan Pembela Perlembagaan Persekutuan, membatalkan tindakan mereka ekoran maklumat bahawa Zaid sudah memohon maaf.
“Kita mendapat tahu beliau (Zaid) mahu menghadap Sultan Selangor berhubung kenyataan dalam blognya yang seolah-olah memperkecilkan kuasa baginda Sultan. “Sekiranya beliau masih enggan meminta maaf daripada Sultan Selangor baru kita akan mengambil tindakan terhadap beliau,” kata Arma Azha lagi.
Dalam tulisannya minggu lalu Zaid berpendapat bahawa kuasa Sultan dalam membuat arahan dan perintah dalam hal-hal agama Islam mestilah tertakluk kepada persetujuan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Majlis Agama Islam sesebuah negeri dan keputusan itu diwartakan sebelum ia berkuat kuasa sebagai undang-undang negeri yang sah.
“Kami sepatutnya mengadakan demonstrasi di depan ibu pejabat PKR tetapi apabila saya dimaklumkan bahawa Datuk Zaid sudah mohon ampun, maka kami pun memutuskan untuk tidak meneruskan demonstrasi,
“Tetapi apabila kita rujuk kembali dengan pihak istana namun tiada sebarang mohon maaf daripada beliau. “Jadi sekarang kita terpaksa menunggu sehingga Zaid menghadap Sultan Selangor, selepas itu baru kita akan mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks