Calon BN dicabar mengumumkan pendirian berhubung isu perlucutan kedaulatan Malaysia keatas lapangan minyak di blok L dan M yang terletak di luar pesisiran pantai Sabah-Sarawak.
Wong Ho Leng berkata ada kemungkinan kedua-dua lapangan minyak itu adalah milik Sarawak.
"Saya cabar beliau untuk suarakan isu ini sebelum 16 Mei depan. Saya cabar beliau umumkan pendirian berhubung isu blok L dan M, isu Limbang dan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan. Amat menyedihkan jika calon BN ini tidak mampu jawab kerana sehingga ke hari tiada seorang pun dari BN yang jawab dengan jelas," katanya.
Lapangan minyak M dan L seluas kira-kira 6,000 kilometer persegi. Setiap lapangan ini mampu menghasilkan 250,000 hingga 300,000 tong setiap hari selama 15 hingga 20 tahun.
Hasil dari kedua-dua lapangan ini dianggarkan mencecah RM65.6 juta setiap hari.
Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah Musa Aman secara rasmi mengumumkan lapangan L dan M bukan wilayah Sabah.
"Blok L dan M berkemungkinan besar bukan milik Sabah. Ketua Menteri Sabah Musa Aman mengumumkan perkara itu, maka tentu sekali lapangan minyak ini milik Sarawak. Tetapi BN serah harta negara ini pada Brunei. Amat tidak bertanggungjawab!" katanya.
"Tidak ada logik seandainya ia diserahkan sebagai ganti kepada Limbang kekal sebagai tanah Sarawak. Limbang dari dahulu lagi adalah wilayah Sarawak. Saya bantah apa sahaja usaha yang menjejaskan kedaulatan Malaysia. Bahkan saya sedia mati untuk tanahair," tegasnya.
Wong Ho Leng berkata BN tidak mempunyai sebarang alasan untuk melucutkan kedaulatan Malaysia keatas lapangan minyak ini, yang sepatutnya digunakan untuk menampung kebajikan rakyat termiskin.
"Sarawak berada di tangga keempat yang termiskin di negara ini. Minyak disedut keluar dari bawah kaki rakyat Sarawak tetapi kita hanya dapat 5 peratus royalti sejak 1970an. Apakah ini adil untuk Sarawak? Masih ramai lagi yang miskin disini, dan kita berhak kepada sekurang-kurangnya 20 peratus royalti," tegasnya.
0 comments:
Catat Ulasan