Hishammuddin: Usah kutuk polis hanya kerana 2 remaja ditembak..adooi Menteri ape bende nie..banyak loo kes salah tembak..!!! Pegawai tak bagi laporan ke..!!!




LONDON, 9 Mei — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar)  merayu publik agar membantu mempertahankan institusi polis, bukannya mengutuk pasukan keselamatan ketika negara menyaksikan dua remaja ditembak, termasuk seorang mati dalam dua minggu ini.
Sehubungan itu kata Hishammuddin, daripada terus-menerus menyerang polis, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan sokongan publik memandangkan ia merupakan salah satu tunjang mempertahankan negara.
“Malaysia berada dalam peralihan. Dalam persekitaran perubahan ini, sudah tentu akan ada percubaan untuk memperlekehkan institusi-institusi tanpa asas, tanpa kajian, perbincangan dan tanpa faham (mendalam),” kata beliau dengan merujuk kepada pasukan penguatkuasaan dan kehakiman.
“Saya hendak memberi jaminan kepada setiap orang, moral pasukan polis juga perlu dipertahankan dan diimbangi,” kata Naib Presiden Umno ini sambil menambah, tindakan mengutuk dan memperlekehkan pasukan polis tidak akan membantu sesiapa.
Awal pagi semalam seorang remaja cedera parah di bahagian perut setelah terkena tembakan yang dilepaskan seorang anggota polis peronda dalam
kejadian kejar-mengejar di Jalan Seremban-Jelebu, Negeri Sembilan.
Menurut polis mangsa Mohd. Azizi Aziz, 17, ditembak ekoran enggan memberhentikan motosikal yang ditungganginya selepas diarahkan polis.
Mengulas kejadian itu semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata Kementerian Dalam Negeri dan PDRM tidak bertolak ansur dalam kes tersebut.
Ayah mangsa, Aziz Omar berkata beliau sangat sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.
“Saya dihubungi pihak hospital pada pukul 4.20 pagi tadi (semalam) yang menyatakan anak saya mengalami kecederaan dan kini berada di hospital. Saya kemudian bergegas ke hospital dan baru mendapat tahu bahawa anak saya cedera ditembak polis.
“Dalam hal ini saya amat terkilan kerana yang menghubungi saya adalah pihak hospital tapi mengapa tidak polis. Mohd Azizi adalah anak sulung daripada enam orang adik beradik,” katanya.
Kejadian itu berlaku dua minggu selepas Aminulrasyid Amzah meninggal dunia selepas terkena tembakan polis yang mengejar kereta yang dipandunya di Seksyen 11, Shah Alam, Selangor pada awal pagi 26 April lalu.
Kes itu sedang disiasat dengan dipantau oleh sebuah panel ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri.
“Ia kejadian tragis,” kata Hishammuddin dengan merujuk kepada nasib dialami Aminulrasyid.
Hishammuddin berkata, tidak akan ada unsur menutup kes berkenaan memandangkan panel yang ditubuhkan merupakan badan yang berwibawa.
Menteri juga mempersoalkan mengapa anggota pasukan keselamatan Istana Kelantan yang ditembak tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada orang ramai.
“Pada masa yang sama, pembantu (keselamatan) Tengku Mahkota Kelantan ditembak kejam di tengah jalan. Tetapi, dia tidak memperoleh layanan yang serupa daripada orang ramai, yang hanya mahu tahu sama ada ia ada kaitan dengan kontroversi semasa kerabat diraja Kelantan,” kata beliau.
Pengawal keselamatan Istana Kelantan, Ramli Mohamad, 50, ditembak awal bulan ini.
“Hanya kerana dia seorang anggota polis dia tidak berhak menerima simpati? Jadi jangan beremosi (dalam isu ini),” kata Hishammuddin yang mengetuai Kementerian Dalam Negeri sejak April 2009.
Walaupun beliau mengakui sistem semasa perlu diperbaiki tetapi tidak mengutuk tindakan-tindakan yang dilihat sebagai keterlaluan dan di luar lunas perundangan.
Katanya, institusi-institusi perlu dibina dan tiada penyelesaian segera bagi mengatasi kekurangan-kekurangan yang wujud.
“Kami memerlukan rakyat yang diberikan amanah untuk bertanggungjawab bukannya dipengaruhi oleh politik seharian atau ragam semasa. Institusi-institusi ini akan kekal lebih lama berbanding ahli-ahli politik,” kata beliau ketika berucap di hadapan kira-kira 100 hadirin di Jabatan Pelajar Malaysia di sini semalam.
Hishammuddin mempertahankan pasukan keselamatan dengan berkata anggota polis telah memperlihatkan prestasi yang baik dalam 10 bidang yang anda semua “tidak pernah melihat, tidak pernah mendengar, yang anda tidak akan tahu”, antaranya usaha menangani keganasan.
Bagaimanapun Hishammuddin mengakui dalam soal menangani jenayah jalanan, beliau hanya akan memberi paras enam persepuluh.
Beliau memberitahu, kementeriannya meletakkan sasaran untuk mengurangkan jenayah jalanan sehingga 20 peratus menjelang akhir tahun ini dan jenayah secara keseluruhan kepada lima peratus sepanjang tiga tahun berikutnya.
Hishammuddin juga berkata, beliau ada memaklumkan kepada anggota polis agar tidak luntur semangat apabila publik menyerang mereka.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks