Kerusi parlimen PR hampiri paras 1/3: Wee Choo Keong keluar PKR



Ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong akhirnya keluar dari PKR sebagai ahli dewan rakyat "bebas", 48 jam sebelum hari pengundian PRK Sibu.  Tindakan yang diumumkan pada hari ini mengesahkan "desas-desus" yang disebarkan sebelum ini.  Bagaimanapun, MerdekaReview gagal menghubungi Wee Choo Keong setelah berita ini didedahkan Star Online.
Lantaran daripada itu, kerusi Pakatan Rakyat dalam Dewan Rakyat telah berkurang kepada 76.  PR yang memperolehi 82 kerusi pada PRU ke-12 telah kehilangan lima kerusi apabila ahli parlimennya keluar dari parti, bermula dengan Ibrahim Ali (Pasir Mas-PAS), disusuli Zahrain Hashim (Bayan Baru-PKR), Tan Tee Beng (Nibong Tebal-PKR), Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai-PKR), dan kini Wee Choo Keong (Wangsa Maju-PKR, gambar kanan).
PR berjaya merampas satu kerusi daripada BN dalam PRK Kuala Terengganu pada tahun 2009, tetapi kehilangan satu kerusi dalam PRK Hulu Selangor, baru-baru ini.  Sementara itu, PR kehilangan satu kerusi lagi apabila PKR mengambil tindakan disiplin terhadap ahli parlimen Kulim Bandar Bahru, Zulkifli Nordin yang membuat laporan polis terhadap pemimpin PAS, Khalid Samad yang juga ahli parlimen Shah Alam.
Dengan kata lain, PR kini hanya memiliki dua kerusi lebihan, sebelum jatuh ke paras satu pertiga (74 kerusi) dalam dewan rakyat.  Tetapi, seandainya DAP-PR menang dalam PRK Sibu pada hari pengundiannya, maka PR akan bertahan dengan 77 kerusi.
Perlu diingatkan juga bahawa sekurang-kurangnya dua orang ahli parlimen PR telah disabitkan kesalahan, yang bakal membawa kepada kehilangan kelayakan ahli parlimen.  Tian Chua (Batu-PKR) dan N.Gobalakrishnan (Padang Serai-PKR, gambar kiri) telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, dan kini berada dalam peringkat rayuan.
MerdekaReview telah melaporkan berita bahawa Wee Choo Keong bakal mengisytihar dirinya "bebas" pada 16 April 2010, menjelang PRK Hulu Selangor.  Wee Choo Keong bagaimanapun enggan mengesahkan khabar tersebut. 【Wee Choo Keong dijangka isytihar "bebas"】
Lebih awal lagi, MerdekaReview melaporkan bahawa Wee Choo Keong menuding jari kepada Little Napoleon dalam DAP dan PKR, yang kononnya menyebarkan desas-desus bahawa dirinya akan keluar parti. 【Khabar angin keluar parti angkara Little Napoleon PKR dan DAP, Wee CK】

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks