Orang kecewa label Umno tak relevan...hakikatnya memang dah hancur serta hampeh...!!!!



KUALA LUMPUR, 10 Mei — Umno yang menyambut sambutan ulang tahun ke-64 esok diangggap tidak relevan hanya oleh golongan yang kecewa dan telah keluar daripada parti dominan Barisan Nasional (BN) itu.
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga berkata, persepsi itu sebenarnya dicetuskan oleh mereka yang tidak mendapat tempat lagi dalam parti.
“Mereka hendakkan sesuatu tetapi tidak dapat mencapai apa yang dihasratkan, maka dibina satu persepsi kepada rakyat bahawa Umno tak relevan,” kata Tengku Adnan sambil menambah persepsi itu juga tidak benar memandangkan golongan muda sudah mulai berminat terhadap perjuangan Umno.
“Saya yakin tuduhan ini tidak berasas,” katanya lagi.
Ibu pejabat Umno mengadakan sambutan di sini malam esok.
Tengku Adnan yang Setiausaha Agung BN menambah, selain diminati golongan muda Umno juga menyaksikan peningkatan keahlian setiap hari.
Keahlian Umno kini dianggarkan 3.2 juta selepas melalui proses pemutihan baru-baru ini ekoran pindaan perlembagaan parti tahun lalu.
“Saya percaya, selagi Melayu ada di bumi Malaysia ini, Umno tetap akan terus menjadi nadi penggerak bagi memastikan hak anak bangsa, negara dan agama tidak digugat,” kata beliau dalam Umno Online hari ini.
Tengku Adnan berkata, tidak ada parti Melayu lain memperjuangkan nasib bangsa, agama dan tanah air seperti Umno.
Bagaimanapun kata beliau, sebenarnya parti Melayu lain seperti PAS, adalah serpihan Umno.
Katanya, apabila Ahmad Fuad tewas dalam pertandingan melawan Tunku Abdul Rahman untuk jawatan presiden, beliau keluar parti dan bersumpah di Gunung Semanggol “di mana ada Umno, di situ PAS mahu hancurkan Umno.”
“Itu niat asal PAS ditubuhkan,” katanya.
Tambah beliau, begitu juga semasa pertandingan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah.
“Bila Ku Li kalah, dia (Tengku Razaleigh) tubuhkan parti serpihan Umno iaitu Semangat 46 tetapi kita bersyukur, mereka kembali ke pangkuan Umno.
“Satu lagi parti diterajui mantan Timbalan Presiden Anwar Ibrahim juga ditubuhkan kerana kecewa. Parti ini tidak ada hala tuju, tidak ada hala perjuangan untuk memperjuangkan hak bangsa, agama dan tanah air,” katanya.
Menurut beliau, Umno bukan sahaja menjaga hak bangsa Melayu tetapi mempertahankan dan memelihara hak kaum lain dalam sebuah negara yang Melayu itu menjadi teras.
“Kita kena terima hakikat, Malaysia negara berbilang kaum, bangsa dan agama. Malaysia berjaya kerana wujud perpaduan yang erat di antara kaum-kaum yang membangunkan Malaysia,” katanya.
Tengku Adnan juga menambah, parti-parti serpihan ini mungkin akan ada lagi pada masa akan datang apabila ada ahli yang kecewa.
“Bila kecewa, kita tak tahu apa hasrat dan niat dia. Kadang-kadang buat benda-benda sehingga sanggup menghancurkan negara.
“Saya nasihatkan kawan-kawan yang dah terlanjur, kalau hendak berjuang dengan niat suci dan murni, hasrat memastikan hak bangsa, negara dan agama tidak diganggu-gugat, kembalilah ke pangkuan Umno.
“Walaupun mereka satu ketika dulu marah dan mencerca Umno, parti keramat ini berjiwa besar dan sanggup menerima mereka kembali. Kita tidak mahu bangsa Melayu menjadi bangsa yang kucar-kacir. Kalau bangsa Melayu lemah, percayalah Malaysia akan kucar-kacir,” katanya.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks