PRK Sibu : Mampukah BN menang?



8 MEI — Penulis tiba di bandar Sibu pada pukul 3 pagi setelah memandu selama enam jam dari Kuching, Sarawak.

Suasana bandar yang lengang menyambut ketibaan penulis. Situasi itu boleh dikaitkan dengan senario politik orang Cina Foochow yang mendominasi bandar Sibu, menjadikan ia bandar perniagaan dan perdagangan sibuk pada siang hari.
Tidak siapa yang tahu apa tersirat dalam hati mereka sama ada mahu mengekalkan calon Barisan Nasional (BN) atau memilih calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk Pilihan Raya Kecil (PKR) Parlimen Sibu pada 16 Mei ini.
Sebelum bergerak ke Sibu, penulis sempat bertemu rakan baik, Leong yang merupakan seorang ahli perniagaan Foochow dari Sibu.
Beliau memiliki beberapa projek besar seperti pembinaan sekolah, empangan dan jalan raya.
Secara terus-terang, beliau berkata BN mampu menang. Namun, katanya apa yang menjadi kebimbangan adalah perpecahan dalaman Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), parti komponen BN.
Katanya, perpecahan itu menimbulkan kebosanan kepada masyarakat Cina di Sibu dan boleh menyebabkan hilangnya kepercayaan kepada parti yang memperjuangkan kaum Cina di negeri ini.
Itu pendapat beliau sebagai seorang ahli perniagaan. Bagaimana pula dengan pendapat orang bawahan?
Mungkin pendapat pemandu teksi boleh diambil kira memandangkan pergaulannya yang tidak terbatas dan melangkaui pelbagai jenis kasta manusia.
Seorang rakan yang datang sehari awal sebelum ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Sibu pada Ahad lalu berkata, daripada empat pemandu teksi yang ditanya, tiga memberitahu BN akan menang.
Pada pilihan raya umum negeri yang lalu, SUPP seperti kehilangan taringnya apabila lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperuntukkan kepada parti itu bertukar menjadi milik pembangkang.
Ini menimbulkan tanda tanya sama ada SUPP masih relevan untuk kaum Cina atau sebaliknya. Jika tsunami di Semenanjung menjejaskan parti-parti komponen BN yang mewakili kaum-kaum tertentu, nampaknya tsunami yang sama boleh melanda Sarawak dalam diam.
PRK Parlimen Sibu amat penting untuk melihat sama ada kaum Cina Sarawak menolak BN seperti yang berlaku di Semenanjung terutama selepas PRK Hulu Selangor atau masih setia dengan parti kerajaan itu.
Jika bercakap mengenai calon pula, Robert Lau Hui Yew atau Robert Junior dari BN ialah calon yang masih muda berbanding Wong Ho Leng dari DAP yang juga Pengerusi DAP Sarawak.
Jika kedua-dua calon itu ditukarkan kepada produk, secara mudah sudah tentulah Ho Leng mempunyai karisma yang lebih besar dan mudah dijual di pasaran berbanding produk jenama baru.
Namun jangan lupa, jurujual memainkan peranan dalam memasarkan produk dan Hui Yew mempunyai kelebihan.
Dengan Najib sebagai “jurujual”, maka sudah tentu pengguna tidak perlu berfikir panjang untuk membuat pilihan.
Tetapi seperti kata seorang penganalisis politik, Dr. Jeniri Amir yang mengumpamakan Hui Yew dan Ho Leng sebagai produk, akhirnya kuasa membeli terletak di tangan pengguna.
Tidak semua pengguna mempunyai cita rasa yang sama. Seperti Sungai Rajang, kita tidak tahu dasarnya berarus deras atau sebaliknya. Apa yang pasti, airnya sentiasa keruh. — Utusan Malaysia

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks