Bangkok ‘bergolak’: 1 maut, 5 cedera terkena tembakan



 
Tentera Thai tayar terbakar di Bangkok hari ini. - Gambar dari Reuters
BANGKOK, 14 Mei — Seorang lelaki maut manakala lima yang lain cedera semasa menyaksikan pertempuran antara anggota tentera dan penunjuk perasaan antikerajaan di persimpangan Bonkai, dekat Stadium Tinju Lumpini di sini hari ini. Intaeng Teswong, 33, yang memberhentikan keretanya di kawasan itu untuk melihat pertempuran itu telah terkena tembakan dan disahkan meninggal dunia di Hospital Klauynamthai di sini pada kira-kira 3.30 petang.
Masih belum jelas bagaimana Intaeng terkena tembakan itu.
Pengarah Hospital Klauynamthai Dr Suwinai Busrakamwong berkata dua daripada lima yang cedera itu mengalami kecederaan parah.
Dr Suwinai berkata pihak hospital tidak dapat menentukan sama ada kelima-lima yang cedera adalah penunjuk perasaan kerana kumpulan itu kini tidak lagi memakai baju merah.
Pertempuran antara anggota tentera dan penunjuk perasaan baju merah masih berterusan di beberapa tempat berdekatan dengan kawasan seluas kira-kira tiga kilometer persegi yang dihuni mereka di tengah-tengah bandar raya ini.
Para penunjuk perasaan berkenaan menduduki kawasan itu sejak sebulan lepas sebagai usaha mendesak kerajaan membubarkan Parlimen, dan pasukan tentera dengan kereta perisai dikerahkan mengepung kawasan itu sejak semalam untuk menyuraikan mereka.
Perkhidmatan skytrain telah dihentikan pada 4 petang tadi manakala perkhidmatan tren dihentikan pada 5 petang.
Dalam perkembangan terbaru, kerajaan mengumumkan penutupan Jalan Rama IV antara persimpangan Samyan dan persimpangan Ngarmdopli mulai 6 petang tadi.
Laporan awal menyebut, tiga wakil media cedera terkena tembakan apabila tentera dan penunjuk perasaan antikerajaan meneruskan pertempuran mereka hari ini.
Tiga wakil media itu terdiri daripada jurukamera dari Voice TV, seorang jurufoto tempatan dari akhbar Matichon dan seorang wartawan asing dari French 24 TV.
Jurukamera itu dirawat di Police General Hospital, jurufoto di Bamgungrat Hospital dan wartawan asing itu di Chulalongkorn Hospital.
Identiti mereka masih belum dikenal pasti dan ketiga-tiganya dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Jurufoto dan wartawan berkenaan terkena tembakan di kaki mereka dan setakat ini tiada maklumat berhubung kecederaan yang dialami jurukamera itu.
Masih belum jelas buat masa ini mengenai bagaimana ketiga-tiga wakil media itu cedera terkena tembakan semasa sedang membuat liputan pertempuran itu di sini kira-kira 2 petang. — Bernama

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks