Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan supaya Kabinet yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi disiasat, berhubung penjualan dua telaga minyak negara kepada Brunei.
Katanya, negara bukan sahaja kehilangan sumber hasil bernilai lebih RM320 bilion, tetapi turut menjejaskan maruah.
:“Saya cadangkan satu siasatan ke atas Kabinet Tun Abdullah untuk menilai sejauh mana kewajaran untuk menjual telaga minyak itu kepada Brunei. Semua anggota Kabinet ketika itu juga harus disiasat, termasuk Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, beliau yakin sebahagian besar anggota Kabinet ketika itu menjadi ‘pak angguk’ dan meluluskan usul terbabit, tanpa usul periksa.
Menurutnya, pendedahan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu amat wajar dan berharap lebih banyak pendedahan dibuat untuk mendedahkan kepincangan dalam pentadbiran negara.
“Ini antara kesilapan terbesar Tun Abdullah, yang menyebabkan negara menanggung kerugian besar kerana hilang sumber pendapatan untuk membangunkan negara,” katanya.
Mahfuz berkata, beliau mahu Najib atau Timbalannya campur tangan dalam isu ini dan memberi maklum balas segera, dan tidak menutup kes ini daripada pengetahuan umum.
“Saya tidak pasti sama ada ini adalah sebahagian komplot yang dibuat untuk menjatuhkan Tun Abdullah, seperti yang didakwa penulis blog, Kickdefella atau nama sebenarnya, Syed Azidi Syed Abdul Aziz. Atau mungkin kempen untuk menjatuhkan Najib yang didakwa bersekongkol dengan Tun Abdullah dalam isu penjualan telaga minyak itu,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan