PRK Sibu : Polis jangan jadi pelindung Umno BN di Sibu



SIBU, 11 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menggesa pihak polis supaya tidak menjadi pelindung kepada Umno BN sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu yang masuk hari keempat hari ini.
“Jangan pula polis menjadi pelindung kepada Umno BN di Sibu,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan polis Sarawak hari ini yang memberi amaran kepada parti politik yang bertanding pada PRK itu supaya  tidak membangkitkan isu agama ketika berkempen.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, SAC II Huzir Mohamed berkata, ada yang menggunakan isu kalimah 'Allah' dalam ceramah mereka.
Menurutnya, perkara itu telah diselesaikan tetapi ada yang mengeksploitasikannya sekali lagi.
"Ia adalah isu sensitif dan semua yang terlibat mesti berhenti daripada membangkitkannya,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat taktikal polis PRK Sibu (Martek) di Lanang Road di sini.
Tambahnya, jika ada mana-mana pihak berkeras menggunakannya, pihaknya akan mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan atau ISA.
Mahfuz berkata, sepatutnya pihak polis memberi amaran kepada penganjur ‘Melayu Bangkit’ pada 13 Mei di Kuala Terengganu supaya membatalkan perhimpunan itu.
“Polis jangan cuba menutup ruang untuk menjelaskan isu sebenar yang berkaitan dengan agama Islam,” ujarnya.
Tambahnya, isu penggunaan kalimah ‘Allah’ tidak menjadi masalah kepada penganut Krsitian di Sabah dan Sarawak sejak sekian lama.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks