Apabila Najib Menodai Kata-Katanya Sendiri



MUNGKIN masih ramai yang ingat kata-kata dan janji Najib Razak yang dilapazkan sebaik beliau mengambil alih jawatan perdana menteri dari Abdullah Badawi. Najib cuba membawa pendekatan baru dalam politik bagi menunjukkan beliau seorang berintergriti. Antara janjinya ialah beliau tidak akan mengamalkan politik projek segera dalam pilihanraya.

Maksudnya beliau tidak akan menggunakan modal politik segera untuk memenangi hati rakyat. Beliau tidak akan cuba menodai demokrasi semata-mata kerana nak meraih sokongan rakyat dengan melaksanakan projek segera yang diamalkan sebelum ini. Dalam erti kata lain beliau akan berdepan dengan rakyat dan parti lawan dengan wibawa dan idealismenya dan bukan memperalatkan wang kerajaan untuk menang.

Sejak lama dulu politik projek segera ini sudah menjadi budaya dan modal UBN untuk meraih sokongan rakyat. Bila menjelang pilihan raya baik umum atau pilihan raya kecil, maka akan dijanjikan berbagai projek segera. Nilainya berbillion ringgit. Jalan yang buruk akan diturap tar, jambatan yang sengit akan diganti baru. Sekolah yang daif akan diberikan peruntukan membaiknya. Rakyat yang bergigi ronggak akan diberikan gigi palsu secara percuma dan sebagainya lagi.

Tidak cukup itu akan ditabur beribu janji projek kepada rakyat. Semua itu untuk mendapat sokongan rakyat. Tawaran politik projek instant ini berlaku sejak lama dulu. Ia sudah menjadi modal ampuh kepada UBN. Kadang-kadang UBN boleh dan sanggup berjanji sesuatu yang tidak termampu dan mustahil diimplimentasikannya.

Saya masih ingat bagaimana arwah Tun Ghafar Baba (Allahyarham dan al Fatihah untuknya) semasa hayatnya terkenal dengan projek segera ini. Bila berlaku pilihan raya kecil maka beliau akan berkempen dan berjanji dengan rakyat untuk membawa projek bernilian ratusan juta.

Cara Ghafar berjanji seolah-olah dia mempunyai kilang membuat wang dan wang itu milik bapanya sendiri.

Semasa berceramah di pulau 100 Tumpat sekitar akhir tahun 70-an pernah Ghafar berjanji untuk membina jambatan bernilai bermillion-million ringgit bagi kemudahan penduduk di situ. Ghafar hanya sebut tanpa melihat realitinya. Sesudah ceramah orang memberi tahu dan bertanya kepadanya, "untuk apa jambatan bermillion-million ringgit Encik Ghabar, penduduk di situ hanya 42 orang saja!" Ghafar tersengih sambil berkata itu modal politik.

Berbalik kepada Najib tadi, sebelum ini dia pernah mengatakan tidak mahu mengamlakan politik projek segera. Mendengar kata-kata itu seolah-olah beliau membenci kepada pendekatan UBN yang menggunakan politik segera untuk memancing rakyat. Tetapi apa sudah jadi hari ini. Najib telah menodai kata-katanya sendiri. Kita semua boleh tengok apa yang Najib telah lakukan di Hulu Selangor dan kini sedang dilakukan di Sibu Sarawak.

Najib terpaksa berpaling krepada modal lama mungkin dia menyedari kredibiliti dan ketokohan tidak mampu untuk mempesonakan rakyat, maka wang terpaksa juga digunakan. Nilailah sendiri apabila undi dibeli dengan wang bukan dengan kehebatan wawasan seseorang pemimpin. Bukan itu kepalsuan!

Semalam dia telah memberi peruntukan RM18 juga untuk bantuan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Mubaligh (Agama) di sekitar Sibu. Apakah pemberian itu bukan projek segera yang beliau benci sebelum ini? Begitu juga semasa pilihanraya kecil Hulu Selangor baru-baru ini. Pemberian pampasan kepada 320 bekas peneroka Sungai Buaya sebanyak RM50,000 tiap keluarga juga merupakan projek segera.

Sekiranya tidak ada pilihanraya itu Najib tidak sedia membayar pampasan itu. Begitu juga kalau tidak ada pilihan raya Sibu itu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Agama itu tidak akan mendapat RM18 juta itu. Jadi tidakkah pemberian itu tidak ikhlas dan bukan dibuat atas tanggungjawab beliau sebagai pemimpin?

Nampkanya Najib tidak dapat mengotakan kata-katanya. Dia tidak konsisten dengan pendiriannya. Dia juga tidak dapat lari dari meneruskan stail politik segera. Bagaiman Tun Ghafar begitulah juga Najib. Orang akan persoalkan dimanakah maruah Najib dan juga tidak akan membezakan antara pendekatan Najib dengan Ghafar Baba.

Pada saya stail politik segera dipraktikan Najib itu akan memakan dirinya sendiri. Bayangkan kalau berlaku lebih banyak lagi pilihan raya kecil berapa banyak Najib harus memberi projek segera. Projek segera itu adalah projek yang diluar perancangan kerajaan. Saya bimbang kalau ini menjadi budaya dan rakyat merasakan mereka akan mendapat manfaat dari adanya pilihan raya, akan ada wakil rakyat sengaja mengosongkan kerusi untuk membolehkan rakyat mendapat peruntukan segera dari Najib sempena pilihan raya kecil itu. Kalau ini berlaku tidakkah akan naas Najib dan kerajaanya?

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks