PAS dakwa Umno dalangi ‘Melayu Bangkit’ 13 Mei




KUALA LUMPUR, 11 Mei — PAS mendakwa Umno mendalangi program “Melayu Bangkit” anjuran Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) Khamis ini - tarikh memperingati peristiwa 13 Mei, didakwa sebagai langkah bertentangan dengan semangat keharmonian negara.
Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata Gertak telah memilih tarikh 13 Mei untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu dan mengenang peristiwa berdarah lebih empat dekad itu.
Beliau mendakwa program itu turut mendapat kerjasama Institut Integriti Terengganu.
“Kita memandang serius perkara ini, tindakan memilih tarikh 13 Mei untuk membangkitkan semangat orang Melayu adalah satu perkara yang tidak sihat serta perlu dijauhi memandangkan kita telah merdeka lebih daripada 50 tahun.
“Mengapa isu 13 Mei ini perlu dibangkitkan?
“Kita bercakap mengenai keharmonian tetapi masih ada kumpulan yang mahu membangkitkan isu 13 Mei yang melibatkan sensitiviti perkauman yang sepatutnya tidak wujud,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Pengerusi Gertak, Razali Idris tarikh 13 Mei dipilih untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu serta mengenang peristiwa berdarah yang pernah berlaku pada tarikh tersebut.
Kira-kira 10,000 orang termasuk anggota 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dijangka menyertai program Melayu Bangkit untuk membincangkan beberapa isu termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), Wawasan 2020 dan perancangan ke arah penyatuan orang Melayu secara khusus.
Menurut Razali, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyampaikan ucaptama pada majlis itu, yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, Khamis ini. Salahuddin berkata, PAS memandang serius tindakan yang tidak bertamadun seperti itu yang bertentangan dengan prinsip dan semangat negara.
“Kita tidak kisah jika program ini mahu membincangkan perkara-perkara lain tetapi ini secara jelas mengatakan mahu membangkitkan kesedaran orang Melayu dan mengenang peristiwa berdarah 13 Mei 1969.
“Kita nak satukan kaum bukan memecahbelahkan perpaduan yang telah tercipta selama ini.
“Selain itu, kita rasa bukan sahaja orang Melayu tetapi kaum-kaum lain juga tidak mahu peristiwa berdarah itu berulang kembali kerana isu ini sangat bahaya dan perlu dielakkan,” katanya.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu percaya Umno mendalangi penganjuran program tersebut kerana mahu menyelamatkan perjalanan politik mereka.
“Ini membuktikan Umno masih lagi menggunakan sentimen perjuangan politik yang sempit dan kotor untuk selamatkan politik mereka.
“Sudah lebih 50 tahun kita merdeka tetapi Umno masih menggunakan isu ini untuk mempengaruhi orang Melayu supaya menyokong mereka.
“Ini adalah realiti dan gambaran sebenar perjuangan Umno yang mana mereka 30 tahun kebelakang apabila menggunakan isu ini,” katanya.
Tambahnya, setiap tahun Umno pasti akan membangkitkan isu 13 Mei, bukannya parti pembangkang.
“Kita (Pakatan Rakyat) tidak pernah membangkitkan isu-isu yang boleh berlakunya perbalahan antara kaum tetapi selama ini Umno yang bermain dengan isu tersebut,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, satu langkah drastik perlu diambil bagi menghalang program tersebut diadakan.
“Saya telah menghubungi Ketua Polis Terengganu dan bercakap tentang perkara ini dan beliau peka dengan perkara ini.
“Kita bercakap mengenai keharmonian jadi harap supaya program tersebut dibatalkan demi komitmen menjaga keamanan negara,” katanya.
Beliau berkata, Umno menggunakan isu 13 Mei untuk menutup kegagalan mereka dalam mempertahankan sokongan orang Melayu.
“Mereka (Umno) terpaksa gunakan taktik kotor bagi mendapatkan sokongan daripada orang Melayu kerana selama ini mereka telah gagal untuk mempertahankannya.
“Tapi akhirnya mereka akan gagal juga kerana dengan sumber maklumat yang banyak rakyat akan sedar akan perkara ini,” katanya.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks