PRK Sibu : Bakun Bakal Lingkup, Umno-BN Bina 12 Empangan Di Sarawak



Oleh Rusnizam Mahat
SHAH ALAM 14 Mei - Kerugian RM1.63 bilion yang dialami Sime Darby akan menyebabkan kos projek empangan hidro elektrik Bakun yang telah menelan berbilion ringgit dana awam meningkat dengan mendadak dengan kemungkinan besar penangguhan projek yang sepatutnya siap pada 2012.
Ini kerana, sejak penggabungan Sime Darby, Golden Hope Plantations Berhad dan Kumpulan Guthrie Berhad pada 2006, anak syarikat Sime Darby iaitu Sime Engineering Sdn Bhd telah mengambil alih sebahagian besar kepentingan dalam projek itu.
Menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail, dalam usaha memastikan empangan Bakun diteruskan, kerajaan telah mengambil wang RM4 bilion dari Kumpulan Simpanan Pekerja pada 2007 dan 2008 bagi membiayai kos projek tersebut.
Beliau menganggap langkah itu sebagai merompak wang rakyat dan golongan pekerja di negara ini dengan disamping membuktikan kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak memiliki integriti dan kredibiliti mengurus tadbir kewangan negara dengan baik.
"Wang KWSP ini melibatkan wang pekerja berpendapatan rendah dan kita lihat KWSP berada dalam keadaan yang sangat kritikal. Ini adalah duit pekerja, duit rakyat yang ditabungkan untuk masa depan mereka. Apa akan jadi kepada nasib pekerja akibat langkah kerajaan memberi pinjaman meneruskan projek tersebut.
"Perkara ini dianggap satu pengkhianatan kepada rakyat dan golongan pekerja. Isunya wang yang telah dibelanjakan ialah wang rakyat yang buta-buta telah dipotong dari gaji kita. Ia menghakis keyakinan berhubung nasib pekerja yang telah berpenat lelah menabung dalam KWSP.
"Saya melihat ini lah kaedah yang digunakan oleh kerajaan untuk menghalalkan tindakan melaksanakan cara tadbir urus yang salah menggunakan dana awam," kata beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.
Azan mengesa kerajaan supaya membentangkan kertas putih berhubung kerugian yang dialami Sime Darby dan menjelaskan punca kerugian sebenar di parlimen.
"Kita mahu kerajaan jelaskan apakah punca sebenar kerugian, bagaimana wang ini dibelanjakan, punca dan pelaburan dalam bentuk apa dan kesan pelaburan tersebut dalam jangka panjang," tegas Azan.
Katanya lagi, pada masa yang sama, kerajaan juga perlu perjelaskan mengapa 12 projek hidro elektrik dibina di Sarawak meskipun projek empangan Bakun kini berhadapan dengan peningkatan kos dan risiko terbengkalai.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks