Rakyat demo bantah lesen judi, konsert Pitbull



Bantahan Oleh Jamilah Kamarudin
KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak dan konsert 12 jam tanpa henti penyanyi antarabangsa Pitbull  menyebabkan rakyat hari ini mengadakan perhimpunan aman di Masjid Jamek Kampung Baru di sini bagi membantah keputusan itu yang ternyata bertentangan dengan norma masyarakat Malaysia dan negara Islam.
Perhimpunan yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS bermula sejurus selepas umat Islam selesai menunaikan solat Jumaat pada pukul 2 petang dan dihadiri kra-kira 300 orang awam.

Perhimpunan bermula apabila Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Kamaruzzaman Mohamad berucap di atas pentas di perkarangan masjid bagi membantah isu tersebut, dan difahamkan beliau dan pemimpin Pakatan Rakyat serta pemimpin NGO yang lain diberi masa oleh  pihak polis hanya lima minit untuk berucap.
Kekecohan bermula apabila hanya dua minit setengah beliau berucap, polis secara tiba-tiba meluru merampas pembesar suara  sehingga menimbulkan ketegangan antara polis dan penyokong yang hadir.
Dalam kekecohan itu, polis menangkap tiga penyokong dan menahan seorang lagi penyokong untuk dibawa ke balai polis.
Namun, tindakan polis itu dihalang majoriti penyokong sehingga memaksa polis membebaskan kesemua yang ditahan.
Perhimpunan itu akhirnya bersurai setelah kira-kira 15 minit dijalankan dan orang ramai dilihat beredar meninggalkan kawasan masjid.
Sementara itu, Kamaruzzaman ketika ditemui pemberita berkata, keputusan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak secara rahsia  tanpa ap-apa pengumuman merupakan petanda malang apabila negara kini semakin bergantung kepada hasil perolehan cukai daripada  industri perjudian.
"Pada tahun 2008 sahaja sejumlah RM2.7 bilion hasil yang diperoleh kerajaan daripada industri judi.
"Bayangkan jika cukai dikutip daripada hanya 30%, bermakna lebih daripada RM10 bilion duit rakyat yang ratanya daripada orang susah dibelanjakan untuk judi, maka kami membantah sekeras-kerasnya kelulusan judi ini," katanya.
Beliau juga berkata, aktiviti judi ini juga secara langsung dapat dikaitkan dengan gejala sosial, sekaligus mampu menjejaskan masa depan generasi muda khususnya.
"Golongan yang berjudi rata-ratanya golongan pertengahan dan miskin. Ketika berjudi mereka mempertaruhkan wang dan harapan  supaya RM10 yang mereka taruhkan akan berjaya mendapat RM10,000.
"Ini akan menjejaskan motivasi dan prestasi mereka untuk mencari rezeki dengan harapan dapat menjadi kaya dengan mudah.
"Tapi yang kaya sebenarnya hanya tauke judi dan kroni yang menanggung kerajaya politik Umno-Barisan Nasional (BN).
Kamaruzzaman turut menyelar penganjuran konsert Pitbull kerana jelas aktiviti tidak membawa sebarang kebaikan, malah mampu menghancurkan akhlak masyarakat, terutamnya golongan remaja.
"Kami membantah penganjuran konsert kerana dalam peraturan tiak dibenarkan konsert melebihi 12 malam sedangkan konsert ini berlangsung pada pukul 12 malam hingga 7 pagi.
"Artis yang dibawa masuk ini juga sangat teruk akhlaknya dan bukan contoh yang baik untuk negara Islam seperti kita.
"Lagu mereka mengajak mengadakan pergaulan bebas dan pengambilan dadah. Bagaimana artis sebegini dibenarkan masuk ke negara Islam.
"Kami tuntut supaya konsert ini dibatalkan dan lesen judi yang diluluskan semalam dibatalkan demi kepentingan rakyat," katanya.
Turut hadir perhimpunan itu pemangku ketua PAS Wilayah Persekutuan (WP) Herman Shamsudeen, Ketua Angkatan Muda (AMK)
Selangor Khairul Annuar Ahmad Zainuddin, wakil Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zambry Mat Isa, wakil Angkatan Belia  Islam Malaysia (Abim), Kelab Penyokong PAS dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks