PRK Sibu : Polis Bantu BN, Halang Guna Isu Kalimah "Allah"..tapi "Isu Negara Islam" di permainkan oleh BN......




Parti-parti politik dilarang daripada menggunakan polemik penggunaan kalimah “Allah” — antara isu hangat — sebagai bahan kempen pilihan raya kecil kerusi Parlimen yang sedang berlangsung.

Arahan itu dikeluarkan oleh Polis Sarawak beberapa jam selepas majlis anjuran DAP bagi penganut Kristian semalam, yang mendapat sambutan, di mana pemimpin parti itu menggesa pengundi menunjukkan protes berhubung isu “Allah” pada 16 Mei ini.

Pengundian pilihan raya kecil ini akan berlangsung Ahad ini. Kempen bermula Sabtu lalu.

Larangan itu diumumkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC II Huzir Mohamed yang turut memberi amaran akan mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan atau Akta Keselamatan Dalam Negeri terhadap mereka mengingkari arahan itu.

“Kami sedang memantau ceramah dan mendapati ada parti politik yang menggunakan kalimah Allah sebagai satu isu,” kata Huzir pada sidang media di sini hari ini.

“Ini satu isu yang sensitif. Kami menasihatkan semua pihak daripada berhenti menggunakan isu sama sekali,” kata beliau sambil menambah, jika ada mana-mana pihak yang menggunakan isu ini, “kami akan mengambil tindakan.”

Dalam pada itu, dengan menamakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, DAP bertanya sama ada polis akan menahan mereka yang bertanggungjawab membangkitkan isu berkenaan

“Biar Perdana Menteri menjelaskan sama ada ini adalah arahan beliau,” kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang dengan menegaskan pihaknya tidak akan mematuhi arahan tersebut.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, Barisan Nasional (BN) menerusi SUPP juga bertanggungjawab membawa isu-isu sensitif dalam kempen di sini.

“Jika isu 'Allah' tidak boleh dibangkitkan, mengapa mereka menggunakan isu negara Islam,” katanya.

Pemimpin-pemimpin SUPP mendakwa DAP menyokong penubuhan negara Islam kerana ia bekerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR).

DAP menjadikan isu kalimah “Allah” sebagai bahan kempen utama dengan calonnya, Wong Ho Leng berjanji akan menyelesaikan perkara itu jika dipilih hujung minggu ini.

Bagaimanapun calon BN Robert Lau Hui Yew dari SUPP menganggap ia sebagai isu kebangsaan memandangkan larangan “Allah” tidak berbangkit di Sibu sama sekali.

Isu polemik kalimah Allah menjadi isu sejak 2007 selepas Kementerian Dalam Negeri menggunakan keputusan Kabinet 1986 untuk melarang bukan Islam daripada menggunakan sesetengah perkataan dalam bahasa Arab, antaranya “Allah” termasuk oleh akhbar mingguan Katolik Herald.

Bagaimanapun penerbit akhbar itu menang dalam kes mereka yang diputuskan akhir tahun lalu, tetapi ia berakhir dengan kontroversi apabila beberapa rumah ibadat diserang, kebanyakannya gereja.

Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz memberi jaminan kepada masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak bahawa larangan “Allah” tidak akan memberi kesan kepada mereka.

Kira-kira 53 peratus daripada 55,000 pengundi di kawasan Sibu merupakan masyarakat Kristian.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks