Wanita PAS Kelantan tuntut kerusi Timbalan Pesuruhjaya IV



KOTA BARU, 8 Mei — Dewan Muslimat PAS Kelantan mahu jawatan Timbalan Pesuruhjaya IV diisi oleh wanita sebagai memartabatkan peranan wanita sebagai tenaga penting dalam parti.
Usul itu dikemukakan dalam Muktamar Dewan Muslimat PAS negeri, di sini hari ini.
Ketika ini PAS Kelantan mempunyai tiga jawatan Timbalan Pesuruhjaya, iaitu Timbalan Pesuruhjaya I disandang oleh Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub; Timbalan Pesuruhjaya II, Datuk Husam Musa; dan Timbalan Pesuruhjaya III, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Siti Zailah Mohd Yusof berkata usul itu akan dibentangkan dalam muktamar agung PAS Kelantan bulan depan untuk mendapatkan persetujuan anggota parti di peringkat pucuk pimpinan parti peringkat negeri dan pusat.
“Ia bukan bertujuan untuk merampas hak golongan lelaki, tetapi sebagai mengangkat martabat golongan wanita yang mempunyai peranan yang tidak kurang pentingnya berbanding lelaki dalam senario politik sekarang dan masa depan, terutama dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.
“Usul ini akan dibawa ke peringkat muktamar negeri bila ia diluluskan dalam perbahasan pada muktamar hari ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian muktamar dewan itu.
Siti Zailah berkata peranan wanita dalam parti itu telah terbukti khususnya dalam pilihan raya.
Oleh itu, katanya, beliau mahu pucuk kepimpinan melihat golongan muslimat mempunyai peranan yang penting dalam memacu perkembangan dan pembangunan masa depan parti dari peringkat akar umbi ke peringkat pucuk pimpinan.
“Jika di peringkat Parlimen suara wanita dianggap penting untuk membincangkan soal dasar kerajaan dan parti, maka tidak ada sebab wanita di peringkat negeri (tidak) diberi hak yang sama,” katanya. — Bernama

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks