Zambry fail saman RM100 juta terhadap Wan Azizah

Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir hari ini memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan tiga yang lain berhubung artikel yang disiarkan oleh akhbar bulanan parti itu, Suara Keadilan.Peguam yang mewakili Zambry, Firoz Hussein Jamaluddin, memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menerusi tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Zambry (kiri) menamakan Dr Wan Azizah selaku pemegang jawatan dalam PKR, timbalan presiden Dr Syed Husin Ali yang juga ketua editor Suara Keadilan, penerbit akhbar berkenaan, Pelita Koridor Sdn Bhd, dan pencetak Suara Keadilan, Percetakan NPK Sdn Bhd sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau berkata edisi akhbar itu bertarikh 29 Dis 2009 hingga 5 Jan 2010, bertajuk "Zambry Disyaki Pengganas - Gagal masuk ke Amerika Syarikat" mengandungi perkataan berunsur fitnah yang palsu, tidak berasas dan disiarkan dengan berniat jahat.

Beliau menegaskan bahawa beliau tidak dihalang daripada memasuki Amerika Syarikat, malah sebenarnya dibenarkan masuk ke negara itu serta diberikan pengiktirafan yang sesuai dengan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Perak.

Katanya lawatan beliau ke Amerika Syarikat mendapat liputan meluas media dan defendan telah menyiarkan kata-kata berunsur fitnah itu dengan sengaja.

Zambry berkata perkataan berunsur fitnah itu telah melukakan perasaannya dengan begitu mendalam, mencemarkan dengan teruk reputasi awam, peribadi dan politiknya serta membawa kepada skandal awam, kebencian dan penghinaan.

Katanya perkataan berunsur fitnah itu juga dirancang bagi mempersendakan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Perak dan disiarkan dalam halaman utama di belakang akhbar itu untuk lebih menarik perhatian pembaca serta mengakibatkan kerosakan maksimum dan aib kepada dirinya.

Perkataan berunsur fitnah itu difahami bertujuan membawa maksud bahawa beliau seorang yang disyaki sebagai pengganas, terbabit dalam kegiatan keganasan dan disenaraikan dalam pangkalan data pengganas serta tidak layak menjadi Menteri Besar Perak dan menjawat jawatan awam, katanya.

Beliau menuntut gantirugi RM100 juta, termasuk gantirugi teruk dan gantirugi teladan, faedah lapan peratus setahun dan juga injunksi bagi menghalang defendan daripada menyiarkan perkataan berunsur fitnah itu atau sebarang perkataan berunsur fitnah yang serupa terhadapnya.- Bernama

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks