PKR memandang serius cubaan berterusan Kerajaan Pusat (di bawah Barisan Nasional) untuk mengelirukan rakyat mengenai hak setiap negeri di dalam Persekutuan Malaysia untuk mendapatkan bayaran tunai royalti minyak secara langsung kepada kerajaan negeri di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (APP).
Iklan terbaru oleh Kerajaan Pusat (yang dibayar dengan duit rakyat) cuba untuk mengelirukan rakyat dengan mendakwa cadangan pindaan APP oleh Pakatan Rakyat adalah tanda-tanda bahawa Pakatan Rakyat mengakui negeri-negeri tidak mempunyai hak di bawah APP.
Anwar Ibrahim (gambar kanan), Ketua Pembangkang mencadangkan usul tersebut di dalam sesi terakhir Dewan Rakyat pada Disember 2009 yang lalu dengan niat menghalang BN dari terus memanipulasi kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan-kerajaan negeri kepada Kerajaan Pusat di masa pentadbiran Abdul Razak untuk menghukum rakyat Kelantan.
Semasa APP 1974 dirangka, Malaysia hanya mempunyai beberapa telaga minyak di luar pesisir pantai (contohnya telaga minyak carigali Tapis di luar pesisir pantai Terengganu dan Temungo di luar pesisir pantai Sabah). Semua telaga minyak ini berada jauh di tengah lautan dan jauh dari garisan 3-batu nautika setiap negeri (yang kini ditimbulkan sebagai sempadan negeri apabila merujuk kepada APP). Telaga-telaga minyak inilah yang menjadi rujukan utama kepada mereka yang merangka APP, apabila mereka memperkenalkan istilah "luar pesisir pantai" di dalam APP.
Niat dan tujuan APP (apabila merujuk kepada telaga minyak luar pesisir pantai) adalah cukup jelas, sehinggakan dimensi sempadan dan jarak jauh dari pantai untuk menentukan sempadan negeri tidak ditimbulkan di dalam APP langsung. Pendirian dan pendapat Kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri pada ketika itu adalah sangat jelas, iaitu apa-apa perolehan dari carigali hidrokarbon di atas darat atau di luar pesisir pandai di dalam wilayah negeri perlu dibayar dengan bayaran tunai (kemudian dipanggil royalti). Pendirian ini dikukuhkan lagi dengan rasa hormat dan tanggungjawab Kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri kepada semangat persekutuan, di samping mengambil kira kebajikan rakyat di setiap negeri.
Tiga dekad kemudian, BN mencabul kepercayaan dan budi bicara di antara Kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri yang tercapai dalam tahun 1974, dengan menafikan hak rakyat Kelantan mendapatkan royalti atas alasan terma "luar pesisir pantai" yang kabur di dalam APP.
Maksud dan niat yang termaktub di dalam APP adalah jelas, terutamanya apabila negara kita tidak mempunyai telaga minyak yang berada dalam lingkungan 3-batu nautika sejak petroleum dijumpai di negara ini. APP tidak dirangka dalam tahun 1974 dengan merujuk kepada telaga minyak yang tidak wujud; ia merujuk kepada realiti operasi yang wujud dalam industri minyak dan gas negara pada ketika itu - maknanya semua telaga minyak luar pesisir pantai berada jauh dari pantai.
Sebenarnya, apa yang juga jelas ialah niat BN untuk mengkhianati semangat perjanjian yang menjulang kebajikan rakyat, dengan menggunakan persoalan remeh-temeh mengenai istilah di dalam APP. Ini terus dilakukan, walaupun telah berkali-kali mereka yang merangka APP, termasuklah Pengerusi PETRONAS yang pertama Tengku Razaleigh Hamzah, menjelaskan bahawa niat dan maksud istilah "luar pesisir pantai" di dalam APP merujuk kepada mana-mana telaga minyak di luar pantai sesebuah negeri.
Oleh itu, cadangan pindaan oleh Anwar Ibrahim bertujuan untuk menegakkan dan membawa kembali niat dan semangat perjanjian ke dalam APP (dengan memberikan definisi yang nyata mengenai istilah "luar pesisir pantai" yang melambangkan niat dan semangat perjanjian dalam tahun 1974); supaya kita dapat menghalang sesetengah pihak yang berniat buruk dari terus memanipulasi APP untuk menganiayai rakyat Kelantan.
*Kenyataan media oleh Saifuddin Nasution Ismail selaku Setiausaha Agung PKR dan Ahli Parlimen Machang.
Kuliah Maghrib: Fiqh Solat (40)
7 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan