Isu royalti: Kelantan siar iklan penjelasan balas

KUALA LUMPUR, 27 Feb — Kerajaan negeri Kelantan pula menyiarkan iklan penjelasan balas satu halaman lapan perkara berhubung pertikaian royalti minyak menjawab penerangan dibuat oleh kerajaan pusat di akhbar-akhbar Bahasa Malaysia Ahad lalu.

Iklan itu disiarkan dalam akhbar PAS Harakah dalam edisi terbarunya yang berada di pasaran sejak semalam.

Sebagaimana iklan penjelasan kerajaan pusat, penerangan kerajaan negeri Kelantan juga menjawab dengan menyentuh lapan perkara.

Iklan penjelasan kerajaan negeri Kelantan ini memulakan penerangannya dengan berkata “asas tuntutan bayaran tunai bagi pengeluaran petroleum di luar pantai Kelantan”.

Ia menambah, “Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA), yang mula berkuat kuasa pada 1 Okt 1974, membawa kepada tertubuhnya Petronas dan diserah hak petroleum yang didapati dan diperoleh di daratan atau luar pantai Malaysia kepada Petronas.

“Di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974, setiap daripada 13 negeri di Malaysia telah menandatangani perjanjian yang sama dan Geran Penyerah Hakkan pada tarikh yang berbeza dalam tahun 1975/1976 dengan Petronas bagi menyerah hak pemilikan masing-masing terhadap petroleum kepada Petronas dengan pertimbangan Petronas membayar kepada setiap negeri di mana petroleum dihasilkan samada di daratan dan lautan dengan bayaran tunai dalam bentuk jumlah tahunan setara dengan lima peratus daripada nilai petroleum yang dihasilkan di mana-mana negeri yang berkenaan.

“Kami tidak bersetuju dengan jawapan yang diberikan dalam iklan dibuat atas nama kerajaan persekutuan baru-baru ini,” katanya.

Oleh itu kata iklan penjelasan itu, kerajaan negeri Kelantan memutuskan untuk menjawab lapan soalan iaitu “Menurut Akta Pembangunan Petroleum1974, apakah istilah yang digunakan untuk pembayaran yang dibuat untuk pengeluaran minyak dan gas?”, “Mengikut Perjanjian di antara Petronas dan kerajaan negeri dalam tahun 1975/1976, apakah syarat untuk mendapatkan hak lima peratus bayaran tunai kepada kerajaan negeri?”, “Apakah kedudukan di Sabah dan Sarawak mengenai isu pembayaran royalti?” dan “Apa yang dimaksudkan dengan bayaran “Wang Ehsan”?”.

Empat persoalan lain ialah “Adakah Kerajaan Negeri Kelantan atau kerajaan negeri lain di Semenanjung Malaysia mempunyai hak untuk menuntut bayaran tunai tersebut daripada Petronas?”, “Mengapa Wang Ehsan yang ditawarkan oleh kerajaan persekutuan untuk Kelantan hanya dalam jumlah RM20 juta?”, “Apa kedudukan kenyataan yang dibuat oleh bekas Pengerusi Petronas, YB Tengku Razaleigh Hamzah bahawa royalti yang harus dibayar untuk Kelantan berdasarkan pengeluaran petroleum diperolehi daripada di luar perairan negeri serta mempersoalkan pemberian Wang Ehsan?” dan “Adakah Ketua Pembangkang mengetahui mengenai kedudukan hak-hak kerajaan negeri dalam masalah ini?”

Iklan penjelasan kerajaan pusat pada 21 Feb lalu juga menggariskan lapan persoalan, yang menurut Tengku Razaleigh sebelum ini sebenarnya ia menimbulkan implikasi baru dan mengelirukan.
Penjelasan kerajaan negeri Kelantan ini telah diumumkan oleh Exconya Datuk Husam Musa selaku pengerusi jawatankuasa khas pertikaian bayaran royalti dibentuk oleh Kota Baru, 23 Feb lalu.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks