KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini akan mendengar permohonan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat untuk mendapat perintah injunksi terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd, Datuk Seri Tiong King Sing pada 27 April depan.
Ong memohon perintah injunksi itu bagi menghalang Tiong dari terus mengeluarkan kenyataan yang berunsur fitnah terhadap beliau (Ong) berhubung kes saman sebanyak RM500 juta ke atas Tiong.
Permohonan itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Sivil 2 di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dr Prasad Sandosham Abraham. Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Hartini Abdul Hamid hari ini.
Peguam Ronnie Tan mewakili Ong manakala peguam Prem Ramachandran mewakili Tiong.
Ong dalam permohonan bagi perintah injunksi itu berkata antara alasan beliau membuat permohonan itu ialah kerana beliau adalah seorang pemimpin negara dan Barisan Nasional yang memegang jawatan Presiden MCA dan juga ahli parlimen.
Beliau berkata pernyataan fitnah itu berniat jahat oleh Tiong bertujuan menghalang penyiasatan yang adil dan saksama terhadap penyalahgunaan kewangan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Ong mendakwa pernyataan fitnah itu yang merujuk kepadanya adalah tidak berasas, tidak benar dan bersifat fitnah yang memudaratkan dan merosakkan reputasi, imej dan nama baiknya.
Pada 24 Ogos tahun lepas, Ong memfailkan saman itu terhadap Tiong, yang juga Anggota Parlimen Bintulu dan Pengerusi Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional. Beliau mendakwa Tiong telah mengeluarkan kenyataan memfitnah kononnya Tiong memberi RM10 juta kepadanya, yang telah disiarkan dalam laman web Malaysiakini pada 12 Ogos tahun lepas.
Dalam pernyataan tuntutannya, Ong berkata kenyataan itu tidak benar dan beliau mahu Tiong menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf kepadanya dengan permohonan maaf itu disiarkan dalam semua akhbar utama.
Beliau juga memohon ganti rugi teruk dan teladan dan injunksi untuk menghalang Tiong atau ejennya daripada terus mengeluarkan sebarang kenyataan berunsur fitnah terhadapnya berhubung isu itu.
Ong mendakwa kenyataan itu dibuat dengan niat jahat untuk menghalang penyiasatan yang adil dan betul terhadap penyelewengan dana oleh PKFZ dan peranan KDSB dalam perkara itu.
KDSB ialah kontraktor pasang siap bagi projek PKFZ yang turut disiasat oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.
Ong berkata melalui surat bertarikh 13 Ogos 2009, beliau menuntut Tiong, untuk menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf tetapi sehingga kini Tiong enggan berbuat demikian. – Bernama
Kuliah Maghrib: Fiqh Solat (40)
7 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan