KOTA BAHARU: Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein berikrar untuk melaksanakan amanah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan sebaik mungkin dan memastikan pengagihan secara telus.
Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata beliau juga akan memastikan wang berjumlah RM20 juta itu disalur kepada golongan yang berhak menerimanya.
"Saya menyambut baik pelantikan itu dan akan cuba menyelesaikan segera pengagihan wang ihsan dengan setelusnya supaya tiada lagi isu yang berbangkit.
"Kita akan mengumpul dan memanggil semua anggota jawatankuasa dalam masa terdekat ini untuk mengagihkan dan menjalankan tugas masing-masing. Kita mahu rakyat mendapat hak mereka yang sepatutnya dan mereka tidak akan bising lagi selepas ini," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas pengumuman Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini yang menyatakan Awang Adek dilantik menguruskan agihan wang ihsan itu di atas kapasitinya sebagai Timbalan Menteri Kewangan.
Sementara itu, mengulas mengenai Exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa yang mempertikaikan tindakan pemimpin Umno Kelantan memberi penerangan berhubung isu royalti minyak, Awang Adek berkata maklumat yang disebarkan kepada rakyat Kelantan adalah mengikut penjelasan Petronas.
"Bukan Umno yang membuat keputusan terhadap wang ihsan di Kelantan, sebaliknya semuanya ditentukan oleh Kerajaan Pusat. Mereka (Kerajaan Negeri) perlu ingat, Datuk (Seri) Mustapa bercakap atas kapasiti Menteri dan saya Timbalan Menteri. Bukan Umno yang cakap.
"Jadi, tak ada sebab saya dan beliau (Mustapa) tidak boleh bercakap mengenai wang royalti memandangkan kami memegang jawatan dalam Kerajaan Pusat," katanya.
Kerajaan Kelantan yang diteraju PAS bertegas mahukan Kerajaan Pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ihsan walaupun mengikut peraturan, negeri tersebut tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.
Dua telaga minyak berkenaan terletak 150 batu nautika dari perairan Kelantan dan Kerajaan pusat bersetuju memberi RM20 juta wang ihsan kepada penduduk Kelantan, yang merupakan bayaran pertama sebanyak lima peratus daripada hasil dua telaga minyak pada 2008.
Perkara itu adalah seperti yang termaktub dalam perjanjian Akta Peroleum 1974, iaitu bayaran lima peratus daripada hasil keuntungan minyak dan gas kepada kerajaan negeri. - BERNAMA
Kuliah Maghrib: Fiqh Solat (40)
7 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan