Hubungan Parasit: Semenanjung menumpang Malaysia Timur

Saya melihat dengan sendiri bagaimana media Sarawak "mengurut" bosnya (termasuk kerajaan negeri, Barisan Nasional dan syarikat pembalakan) ketika lawatan saya ke Sarawak, malah "kebolehan" sedemikian tidak kurang daripada akhbar Cina di Malaysia Barat. Misalnya, akhbar terbesar Sarawak, Borneo Post pada 15 November 2009 melaporkan bahawa kadar kemiskinan negeri Sarawak kurang daripada 6%" di muka surat depannya.

Malah, Abdul Taib Mahmud (gambar kanan) yang menyandang jawatan Ketua Menteri Sarawak sejak tahun 1981 mendakwa bahawa hanya 1,000 keluarga miskin di Kuching. Penyiaran dusta sedemikian mendedahkan betapa rendahnya etika media arus perdana di Sarawak.

Apa yang melucukan lagi memilukan, Borneo Post, See Hua Daily News, Oriental Daily dan Kumpulan Media Sin Chew yang dikuasai penuh oleh orang Sarawak (atau lebih tepat, orang Hock Chew), yang seharusnya memainkan peranan proaktif untuk memupuk pemahaman rakyat antara kedua-dua Timur dan Malaysia Barat, tidak mengendahkan isu kaum asli di Sarawak.

Lebih-lebih lagi, dalam akhbar bahasa Cina yang dimiliki oleh orang Hock Chew (suku kaum Cina) Sarawak, liputan yang diperuntukkan kepada isu pemeliharaan alam, pencabulan terhadap tanah adat orang asli, jauh lebih kurang daripada liputan yang diberikan kepada isu komuniti Cina di Semenanjung Malaysia.

Jadi, seandainya kita meneliti sumbangan media atau idealisme media yang diperjuangkan itu, maka kita boleh menyimpulkan bahawa mereka telah mengkhianati peranan bersejarahnya yang diamanahkan oleh masyarakat dan negara terhadap mereka.

Rampasan sumber secara halal

Sepanjang puluhan tahun yang lalu, kita terperangkap dalam minda yang menganggap bahawa Malaysia Barat lebih maju, cemerlang, terbuka dan lebih terdedah kepada infomasi, malah lebih demokrasi jikalau berbanding dengan Malaysia Timur. Tetapi, persepsi ini wujud lantaran daripada salah faham dan ilusi yang terjelma kerana orang Malaysia Barat tidak memahami Malaysia Timur.

Realiti yang kita lupa adalah, kekayaan dan kemakmuran yang dikecapi Malaysia Barat sebenarnya hasil rampasan sumber secara halal daripada Malaysia Timur oleh kerajaan persekutuan. Berasaskan salah faham ini, Malaysia Barat menggunakan model pembangunan yang salah, merampas tanah mereka atas nama "membasmi kemiskinan", malah menyalurkan politik perkauman ke Timur tanpa membeza dan mengira akibatnya.

Ramai antara mereka yang terlibat dalam gerakan masyarakat sivil di Malaysia Barat menganggap Malaysia Timur perlu menjadikan "tsunami politik" PRU ke-12 sebagai teladan. Malah, ada pula yang mempersoalkan mengapa penduduk di Malaysia Timur tidak memikirkan perubahan.

Namun, jangan pula kita lupa bahawa Malaysia Barat mampu menikmati pembangunan dan kelancaran informasi, dua dekad lebih maju ke depan berbanding Malaysia Timur kerana sumber daripada Malaysia Timur. Tanpa pengorbanan orang Malaysia Timur, bagaimana kita mampu mengangkat martabat "tiga kaum terbesar" kepada kelas menengah, malah membentuk masyarakat sivil yang agak matang?

Maka, saya amat bersetuju dengan apa yang digambarkan oleh aktivis NGO, Ong Boon Keong, bahawa "sudah tiba masanya kami menamatkan hubungan parasit Malaysia Barat yang menumpang di atas sumber Malaysia Timur".

Hubungan parasit Barat terhadap Timur

Oleh itu, apabila kita mengkaji semula hubungan antara Barat dengan Malaysia Timur, orang Malaysia Barat yang gelojoh dan tidak sabar menghambat kemewahan perlu mengenang budi. Politik Malaysia Timur kini masih belum menandingi kekuatan masyarakat sivil yang dimiliki Malaysia Barat. Masyarakat mereka dipecahkan, diagih dan dimonopoli politikus dan parti politik.

Apa yang harus kita lakukan bukan menanti-nantikan "lompat parti" daripada wakil rakyat Malaysia Timur, tetapi mengembalikan politik kepada massa, kepada kaum asli yang memperjuangkan hak tanah, hak kerakyatan, dan hak pembangunan.

Juga, jangan kita lupa bahawa kontrovesi penggunaan kalimah Allah memperlihatkan kematangan penduduk Malaysia Timur yang tidak terpengaruh dengan sentimen perkauman. Pada hakikatnya, kekayaan Malaysia Timur bukan sekadar sumber semula yang tidak kontang diperas kerajaan persekutuan, dan pertunjukan budaya yang dipromosikan dalam iklan pelancongan...

Kekayaan mereka lebih daripada itu. Kepercayaan mereka kepada alam semulajadi, ketaatan mereka terhadap tanah, hubungan etnik yang sepuluh kali ganda lebih harmoni daripada Malaysia Barat, dan keadilan kehakiman yang dicemburui Malaysia Barat. Keempat-empat ciri-ciri ini cukup untuk mereka mendabik dada di depan penduduk Malaysia Barat.

Ketika bekas PM, Mahathir Mohamad (gambar kanan) mengutarakan "Dasar Pandang ke Timur", beliau sebenarnya memandang terlalu jauh sehingga terlepas pandang benda yang terdekat. Malah beliau tidak memahami bahawa jiran lebih dekat daripada saudara yang jauh. Betapa cemerlang dan gemilang sekalipun "Timur" (yang jauh dari Malaysia), gagal menandingi "Malaysia Timur" yang kaya dengan sumber semulajadi, hubungan etnik yang harmoni dan budaya yang berbilang.

Politik yang demokrasi adalah seni untuk penyatuan, pada masa yang sama sebagai ilmu yang memerlukan imaginasi kolektif. Ciri-ciri moden dan postmoden di Malaysia Barat harus digaulkan dengan ciri-ciri yang ada pada Malaysia Timur, untuk mencetuskan politik seluruh rakyat, barulah ia memberi pengertian yang bermakna untuk "1Malaysia".

Kita menanti-nantikan penyatuan antara Timur dengan Malaysia Barat, di mana apabila ianya tercapai, tiada tempat lagi untuk rasisme. Tiada lagi perbezaan antara tiga kaum terbesar, malah tiada perbezaan antara kaum asli dengan bukan bumiputera.

Namun, segala-gala ini bermula dari kerakyatan dan kelayakan mengundi. Hanya apabila warga Malaysia Barat menghulurkan tangan kepada penduduk Timur untuk mendapatkan kerakyatan dan hak mengundi, barulah reformasi dan demokrasi yang sebenarnya menjelma.
Sekiranya PRU ke-12 menandakan kesedaran politik rakyat untuk reformasi, maka pilihan raya Sarawak dan pilihan raya umum yang akan datang adalah kayu ukur kepada kematangan politik dan kuasa rakyat. Kita berharap satu Malaysia bersiap sedia dan menumpu kepada reformasi politik yang sebenar, dan jangan lagi menari mengikut rentak rasisme yang didendangkan UMNO. (Bahagian ketiga, tamat)

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks