Tunggu Keputusan Mahkamah Rakyat

Penampilan Tengku Razaleigh Hamzah menjelaskan isu royalti minyak Kelantan memang menggerunkan kepimpinan Umno. Fakta dan data yang dikemukakannya tidak berupaya ditangkis. Hasrat Ku Li hanya satu, agar perjanjian dipatuhi dan rakyat dapat bersama-sama menikmati khazanah kekayaan negara.

Berdepan , AHMAD LUTFI OTHMAN, MOHD RASHIDI HASSAN dan WAN NORDIN WAN YAACOB, beliau nampak bebas mengutarakan idea dan pandangan kritisnya. Wajahnya ceria dan sering disulami ketawa kecil. Tanpa apa-apa jawatan penting, Ku Li tetap menjadi perhatian, dalam dan luar negara. Ditanya sumbangannya kepada negara dan rakyat, selain menjelaskan isu royalti minyak, tanpa ragu-ragu bekas Menteri Kewangan ini menjawab pantas: Mahu bersama-sama membanteras rasuah.

Ikuti wawancara bersama Tengku Razaleigh, yang dirakamkan di kediamannya, di Langgak Golf, pada 18 Februari lalu.

HARAKAH: Negara berhadapan dengan pelbagai masalah, misalnya krisis kepimpinan, kemelut politik, problem ekonomi, isu sosial yang agak meuncing dewasa ini. Tengku juga banyak menimbulkan hal ini, khususnya pada era Tun Dr Mahathir Mohamad. Meskipun perdana menteri bersilih ganti namun segala masalah berkenaan tidak juga ada jalan keluarnya ...
TENGKU RAZALEGIH: Saya rasa tak boleh kita lupakan sejarah pemerintahan tiga perdana menteri terdahulu. Dimulakan dengan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Mereka membangunkan sebuah negara yang kukuh dan baik yang membolehkan pelabur datang.


Tiga PM terdahulu semuanya peguam yang diasuh dalam bidang undang-undang dan mereka berpegang teguh kepada prinsip 'rule of law' (keluhuran undang-undang) yang termaktub dalam Perlembagaan.

Oleh kerana latar belakang dan pendidikanitu, secara umumnya mereka barang kali bukanlah jenis orang yang mengambil kesempatan dari apa yang terdedah kepadanya, walaupun peluang ada di hadapan mata mereka.

Mereka ini semuanya anak-anak bangsawan yang tak akan jahanamkan negara, apatah lagi mereka diasuh dengan baik oleh keluarga. Walaupun diakui ada kelemahan tertentu, mereka telah berbudi kepada negara. Sebab itu kita tak tengok masa mereka memerintah timbul soal rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan secara berleluasa.

Apa yang saya tahu, sama ada Tunku, Tun Abdul Razak Hussein atau Tun Hussein Onn - apatah lagi Tun Hussein ini orang yang begitu serius dari segi sikap antirasuah - semuanya ada prinsip dan tak akan izin penyelewengan berlaku di zamannya.

Mereka berusaha keras menjamin kestabilan dalam negara. Sebab itu rakyat, tak kira kaum mana sekalipun akan menghormati dan mengasihi pemimpin, baik Tunku dan Tun Razak atau Tun Hussein. Walaupun Tunku dianggap agak pro-Cina dan pro-Barat kalau dibanding dengan Tun Razak yang dilihat pro-Melayu dan memberi perhatian kepada luar bandar, yakni bukan urban sangat dan mendapat didikan orang Pekan, tetapi rakyat percaya bahawa tidak akan berlaku sesuatu yang buruk di bawah pimpinan Tun Razak. Atas dasar inilah kehamornian itu terpelihara.

Tetapi Tengku, peristiwa berdarah akibat pertelagahan kaum berlaku pada 13 Mei 1969 ...

Walaupun tragedi Mei 13 1969 berlaku, ini kerana cetusan suasana pilihan raya tahun 1969 dan kerana perarakan yang dijolok oleh komunis dua hari sebelum tarikh pembuangan undi. Kempen pilihan raya berjalan begitu hangat, ada lemparan tuduhan berbaur perkauman dan sebagainya yang dicampur aduk. Itu pun hanya berlaku di Kuala Lumpur sahaja. Dan iktibarnya ia menjadi sejarah yang mengajar kita, namun ia tidak menggugat kestabilan negara seluruhnya.

Kalau kita tengok selepas 13 Mei, dalam masa dua tahun MAGERAN ambil alih kuasa penuh negara dengan penggantungan Parlimen misalnya, dan dapat dipulihkan keadaan, dan wujud serta merta keinginan semangat untuk berkerjasama antara kaum dan parti-parti politik. Tun Razak berjaya, selepas sahaja Parlimen dipulihkan, untuk menubuhkan BN, dengan dipelopori oleh PAS, Gerakan, SUPP dan beberapa parti besar yang berada di luar kerajaan ketika itu.

Ini menunjukkan kepercayaan orang kepada kepimpinan yang ada ketika itu. Memang ada perbezaan, misalnya dari segi idealogi politik, tetapi nampaknya ada platform yang sama yang boleh hubungkan mereka ini untuk bangunkan negara.

Sebab itu kedudukan ekonomi terjamin walaupun pada tahun 1969 tidak begitu rancak pertumbuhan ekonomi kerana kekacauan dan gangguan komunis. Tetapi ekonomi kita tetap kuat dan kukuh, yang bagi saya disebabkan kepimpinan yang ada.

Tunku Abdul Rahman secara tegas membantah dasar aparteid, mahu orang yang tertindas dibela. Ini memeranjatkan dunia apabila Malaysia kemukakan pandangan di Komanwel kerana cadangan Tunku itu tak terfikir oleh mana-mana pihak. Tunku cadang bukan sahaja gantung keaanggotaan Afrika tetapi buang terus Afrika daripada Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akhirnya.

Sama juga dengan peranan Tun Razak dalam Afro-Asean Solidarity walaupun pernah penubuhan Malaysia pada 1963 cuba dilobi penentangannya oleh Beijing dan Pakistan, yang didalangi Sukarno dan Marcos. Tetapi akhirnya menerusi Tun Razak, Malaysia mempunyai suara dalam Afro-Asean dan NAM. Suara kita sudah didengari ketika itu.


Penghormatan dunia kepada suara pemimpin kumpulan negara-negara sedang membangun, termasuk kita agak ketara, apalagi pengiktirafah terhadap barisan pimpinan yang handal-hal handal belaka seperti Nehru, Chao En Lai, Sukarno, Mandela, Tito dan pimpinan yang hebat berjuang untuk negara yang ditindas kolonialis ketika itu.

Kita sebagai sebuah negara yang kecil yang sedang membangun tidak terkecuali. Dalam hal ini di mana-mana forum yang saya dapat ikuti dan hadiri, Malaysia selalu diajak jadi rappoteur dan drafter. Ini kerana ayat-ayat yang diselit oleh wakil Malaysia ini biasanya mengandungi unsur kesederhanaan, tidak terlampau ekstrem dalam membentuk keputusan di sidang-sidang yang diadakan.

Sama juga dengan Tun Hussein, walaupun dia tidak menonjol sebagai pimpinan tetapi dia boleh diterima dan dipercayai ketika menjadi PM. Jadi kerana itu ekonomi kita diyakini kerana kepercayaan rakyat dalam negara dan negara-negara sekeliling dengan Malaysia. Justeru, wujudnya kestabilan rantau ini, serta tidak menimbulkan risiko yang bukan-bukan.

Sebab itulah industri mulai masuk apabila pelaburan datang ke Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Misalnya, kereta Volvo dan Mercedes dipasang di sini sejak dahulu lagi.

Memang tidak mudah untuk menghadapi zaman awal untuk membangunkan negara ini. Keadaannya juga agak meruncing tetapi orang percaya kepada pimpinan ketika itu. Rakyat bulat kepada kepimpinan kerajaan.

Tapi pembangkang juga hebat ketika itu?

Saya biasa bercakap dengan Allahyarham Dato' Asri Muda ketika itu, beliau berkata kita bersatu dalam soal menjaga keselamatan dan memajukan negara, cuma dasar perjuangan sahaja yang berbeza.

Maknanya ada titik persamaan yang dibawa oleh semua pihak kerana titik pertemuan mengenai penerimaan kepimpinan ketika itu. Kestabilan pun wujud dan kepercayaan dalam dan luar negara kuat. Nama Tunku misalnya cukup terkenal di Timur Tengah, apatah lagi selepas dia anjurkan penubuhan OIC untuk himpunkan negara-negara Islam dalam suatu pakatan supaya dapat kita kumpulkan kekuatan kita dari segi kekayaan dan banyak lagilah.

Saya terfikir ... jika kita gunakan kekayaan negara-negara Islam ini, misalnya melalui institusi Baitulmal, ini kita kumpul untuk seluruh umat dunia, ia boleh membawa manfaat yang amat besar.


Semua perdana menteri yang saya sebut tadi mati dengan tidak meninggalkan harta. Saya sendiri boleh buktikan sebab saya yang jaga akaun Tunku. Memang tak ada duit.

Apa yang Tengku sebutkan tadi tentunya berbeza benar dengan kepimpinan tiga perdana menteri selepas itu, kan? Ya, baru-baru dikeluarkan senarai orang terkaya yang mana anak menantu mereka pun turut masuk senarai itu ...


Terkaya... ya terkaya ... (ketawa)

Dan ini cukup tidak sihat kepada persepsi rakyat jika hendak dibandingkan dengan pemimpin terdahulu?

Memanglah, yang pimpinan dahulu mereka tidak meninggalkan kekayaaan buat anak-anak dan keluarga kerana bukan hasrat mereka berjuang nak kumpulkan harta. Ini memang betul.


Berbeza sungguh dengan kepimpinan hari ini, integriti mereka dipersoal secara terbuka. Mereka hanya berjuang untuk kepentingan diri dan kelompok. Orang berlumba-lumba masuk politik untuk mengejar kekayaaan dan kemewahan.

Ya ... tapi kalau saya bercakap dan membandingkan dengan dahulu, orang kata saya sengaja nak kritiklah. Tapi semua nampak dan sedar hakikat ini, perjuangan terdahulu untuk kemerdekaan, membela bangsa dan membangunkan negara serta memajukan Islam.


Dengan itu, kita bukan sahaja bebas dari segala aspek ancaman bersenjata komunis, tetapi yang lebih penting ialah kehidupan kesihatan kita begitu meningkat. Sekarang tiada lagi merebaknya penyakit berjangkit seperti kolera, batuk kering dan sebagainya, dan WHO mengiktiraf kehebatan kita dari sudut kualiti kesihatan ini.


Perjuangan dalam bidang sosial kita berjaya, namun dari segi perbezaan jurang pendapatan kita jauh tertinggal. Kita negara terkaya dikurniakan Tuhan dengan pelbagai sumber yang boleh membaiki negara kita berbanding negara jiran Singapura.

Tetapi pendapatan perkapita kita dengan Singapura, kita terkebelakang, kita mundur. Pendapatan perkapita Singapura, rakyat mereka berkali ganda tinggi berbanding negara kita. Saya rasa malu. Saya dijemput berucap di Singapura, nak bercakap mengenai ekonomi pun saya tidak tahu nak cakap apa.

Negara kita dari segi perniagaan nombor 19 dari segi volume dan pendapatan, tetapi Singapura nombor 26, namun mengapa taraf hidup mereka tinggi, gaji mereka tinggi? Kenapa tidak kita perbaiki tahap kehidupan rakyat kita? Sedangkan kita boleh samakan kedudukan kita dengan negara jiran. Malah sebenarnya kitau boleh melangkau kedudukan mereka ... bagi saya boleh jika kena caranya.

Kenapa saya kata boleh peperangan kita kena holistik dan total? Rasuah, pembaziran, salahguna kuasa mesti diperangi habis-habisan. Dalam masa sama kita tingkatkan kualiti pendidikan kita.

Ada orang kata pada saya, apa yang perlu kita buat untuk capai semua ini? Saya rasa untuk kita mahu 'perang', kita kena ada pakatan sesama kita. Sebab saya tengok orang Melayu, kalau kita lihat budak-budak kampung yang dibawa masuk ke dalam pasukan tentera, kerana rejimentasi dan disiplin yang kuat, mereka boleh ikut segala perintah dan arahan yang dikehendaki oleh komanden mereka.

Saya rasa untuk tingkatkan status ekonomi negara kita, kita kena serius berfikir untuk melakukannya, supaya rakyat kita tidak membuang masa dan tidak akan membazir kepada perkara yang tidak sepatutnya dibazirkan.

Saya rasa kalau mereka itu dididik dengan disiplin dan rejimentasi, mereka pasti boleh lalukan apa yang orang lain buat. Ini pandangan yang boleh kita kaji.

Soalnya, jika kita tengok realitinya sekarang, mereka yang kita bagi lesen, jual lesen itu balik. Kita bagi bukan untuk jual lesen, tetapi mereka ini buat jalan mudah.


Tadi Tengku seolah-olah memisahkan tiga PM terawal dengan tiga PM terkemudian ...

Saya tak kata begitu.

Tapi, nampak macam itu, 'kan?
Sekarang Umno baru, Umno yang saya dahulu dah tak ada ... (ketawa)


Pertembungan Tengku dengan Tun Dr Mahathir sudah menjadi rakaman sejarah. Perdana Menteri sudah bertukar. Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah bersama Tengku dalam Team B ketika menentang Dr Mahathir pada 1987. Dato' Seri Najib pula tidak mempunyai rekod pertembungan peribadi dengan Tengku. Tengku sendiri memilih untuk bersama Umno sehingga sanggup membubarkan Parti Melayu Semangat 46. Tetapi nampaknya kepimpinan Umno, walaupun selepas era Dr Mahathir, tidak memanfaatkan Tengku, dengan segala pengalaman dan kemahiran Tengku, untuk bersama-sama memajukan negara, mengapa ya? (b)


Saya rasa soalan ini patut ditujukan kepada mereka (Abdullah dan Najib), mereka sahaja yang layak jawab. Mereka tentu ada jawapan mengapa tidak mahu seseorang itu dalam perkhidmatan mereka. Kalau nak sembang soal latar belakangnya, memanglah panjang ...(ketawa)

Jelas Dr Mahathir tidak menyenangi pemerintahan Abdullah, tetapi tidak dengan Najib. Pada pandangan Tengku, sejauh manakah pengaruh Dr Mahathir dalam pentadbiran Najib?


Kita tidak nafi bahawa manusia ini memang mudah dipengaruhi orang lain kecuali kita cukup yakin kepada kemampuan dan kebolehan kita sendiri, barulah orang tidak boleh pengaruhi dalam apa yang kita nak buat.

Jadi saya rasa, barangkali ada orang yang bimbang-bimbang atau takut-takut, kerana kurang yakin dengan kemampuan untuk memimpin. Namun bagi saya, jika diberi tugas, keyakinan saya berdasarkan kepentingan kepada negara, tidak kepada sesiapa. Dan kebolehan itu saya akan manfaatkan untuk semua pihak.

Saya akan gunakannya untuk kebaikan negara, saya akan lakukan asalkan tidak bertentangan dengan kehendak Allah.

Jadi saya rasa tiada sebab mengapa seseorang itu tidak boleh digunakan untuk sesebuah kebaikan, bukan maksud saya sehinggakan dipergunakan. Katakanlah, Najib ini seperti tidak mahu memanfaatkan seseorang kerana dipengaruhi Mahathir, itu kesilapan dia. Bagaimanapun, ia bergantung kepada perhitungan mereka sendiri.


Adakah pembabitkan Tengku dalam isu tuntutan royalti minyak Kelantan berdasarkan kepada sikap itu, yakni mahu menyumbangkan untuk kepentingan rakyat, walaupun dilihat bertentangan dengan parti sendiri?

Tiada perbezaan ... apa yang saya ucapkan di Kota Bharu itu hanyalah kenyataan saya tentang sejarah, bagaimana Petronas ditubuhkan, dan apakah makna di sebalik Akta Kemajuan Petroleum yangv digubal kerajaan. Saya tidak kritik kerajaan atau menyebelahi mana-mana pihak. Saya hanya berpendapat Kelantan wajib dibayar lima peratus 'cash payment'.

Sama juga dengan Terengganu. Yang mana ada minyak di luar pantai Terengganu, maka di bawah Akta Kemajuan Petroleum, walaupun kawasan itu di luar kawasan tiga batu nautika, tetapi kerana akta ini berkata kalau minyak ditemui di luar pantai negeri berkenaan, maka lima peratus tetap akan diberi kepada negeri itu sekiranya negeri berkenaan menyerahkan seluruh kawasan itu kepada Petronas. Ini terang termaktub dalam undang-undang.

Berdasarkan statistik dan maklumat Petronas sendiri, jelas Kelantan ada hak minyak.


Saya tak kata saya sebelahi Kelantan atau sesiapa sahaja. Saya sebelahi rakyat kerana akta itu dirangka atas arahan Tun Razak. Tun Raxak yang kata kepada saya, "buatlah Tengku, asalkan negeri-negeri di Pantai Timur terutamanya, dapat hasilnya dan faedah daripadanya".

Saya memang dah tahu dalam 3 batu nautika itu, berdasarkan kepada kajian saintifik sebelumPetronas ditubuhkan, memang tiada minyak pada masa itu. Tetapi Tun Razak ada cakap, carilah jalan supaya negeri-negeri dapat manfaat dengan hasil minyak. Tun Salleh Abbaslah 'tauke' yang buat undang-undang ini, saya bagi idea sahaja macam mana nak buat supaya Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dapat faedah.

Berbeza dengan Sabah dan Sarawak. Ini kerana memang mereka ada hak, sebab tiada sempadan antara kerajaan pusat dan negeri kerana kita tubuh Malaysia dengan cepat. Tunku kata pada masa itu, kita lukis sempadan ini kemudian, tetapi sebenarnya kita sudah tentukan garis sempadan tiap-tiap negeri apabila bergabung dalam Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan terlebih dahulu sebelum itu lagi.

Jadi berdasarkan kepada jurisdiction dan penemuan saintifik ini, memang semua negeri tiada minyak, tetapi saya runding juga dengan negeri-negeri. Saya jumpa semua MB dan Exco. Saya terang dengan jelas, mereka tiada minyak ketika itu tetapi jika ditemui minyak saya minta mereka serah segala-galanya kepada Petronas. Biar Petronas jadi agensi utama yang menguruskannya nanti. Dan jika minyak ditemui di luar kawasan negeri berkenaan, 5 peratus negeri tersebut tetap dapat.

Dalam perjanjian yang saya tandatangani ketika itu, perkataan 'balasan' kepada negeri berkenaan, itu ayat yang saya cadangkan.

Apakah 'balasan' itu disebut sebagai royalti?

Kita tidak pakai perkataan royalti, tetapi 'cash payment'. Pembayaran tunai ini terus kepada kerajaan negeri. Tidak boleh dibayar kepada orang lain. Ia mesti kepada kerajaan negeri. Jikadibayar melalui orang lain atau kepada orang lain, ini 'illegal payment'.

Duit minyak hanya boleh buat dua bayaran. Saya yang buat undang-undang itu dahulu. Dari segi ini, saya rasa saya lebih tahu daripada orang lain. Saya belum nyanyuk lagi. Satunya 'cash payment' tadi, 5 peratus kepada kerajaan negeri berkenaan dan 5 peratus lagi kepada kerajaan pusat, dan selebihnya dimiliki oleh Petronas.

Petronas ini, kerana dimiliki 100 peratus oleh kerajaan pusat, boleh bayar dividen. Dividenitulah yang boleh digunakan untuk apa sahaja. Dan selebihnya Petronas kena simpan untuk carigali minyak, dalam atau luar negara. Itu hak Petronas.

Tetapi jika nak bagi kepada sesiapa yang bukan hak, itu tidak boleh, tetapi untuk derma itu bolehlah ...

Jika diserahkan kepada pihak lain, walaupun untuk kepentingan rakyat Kelantan, bagaimana?

Mesti berbalik kepada perjanjian dan undang-undang. Apa undang-undang kata? Undang-undang katadibayar terus kepada kerajaan negeri. Satu dividen kepada kerajaan pusat dan satu lagi 'cashpayment' kepada kerajaan negeri 5 peratus, dan pusat 5 peratus. Itu sahaja.

Tolak dividen, tolak bayaran ini, maka selebihnya terpulanglah kepada Petronas untuk belanja, dalam urusan dialah, nak carigali minyak atau nak beli kawasan minyak luar negara, ini atas kebijaksanaan Petronaslah.

Kenapa pihak berkenaan berkeras juga mahu berikan wang ihsan, bukan 'cash payment'?

Itu kerajaan pusat kata. Ini Petronas, perjanjian dibuat oleh Petronas dengan kerajaan negeri,tiada perjanjian antara negeri dan pusat. Rundingan kita pada masa itu ialah, saya selaku Pengerusi Petronas dengan kerajaan negeri. Itu sahaja. Apabila setuju hak minyak dalam negeri, dalam kawasan 3 batu nautika, itu okay, tetapi jika jumpa di luar pantai negeri tersebut, kita tetap bagi 5 peratus sebab negeri sudah beri segala haknya.


Nampak jelas bahawa perjuangan kepimpinan terdahulu ialah untuk kepentingan semua rakyatnya, berbeza dengan sekarang.

Tun Razak ketika itu cakap dekat saya, carilah jalan, buatlah undang-undang supaya negeri-negeri ini dapat juga. Saya kata okay.
Kempen sudah dibuat, penjelasan sudah diberikan, Tengku sendiri turun padang, tetapi kerajaan pusat tidak menghiraukannya. Jika ia dimasuk ke mahkamah, seperti yang berlaku kepada Kerajaan Negeri Terengganu, sampai kini tidak selesai, dan tidak boleh pula diperjuangkan di luar mahkamah. Jadi, apa pilihan yang ada? (bold)

Tengok sajalah kes Nizar (Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin), bawa ke mahkamah 10 kali pun dia tidak mahu bagi kepada Nizar untuk jadi Menteri Besar (Perak), maka dia (kerajaan) tidak akan bagi juga. Sebab, alasannya dia tidak mahu bagi, bukan Perlembagaan yang kata, mereka yang suruh kata ...

begitu juga sewaktu Semangat 46 dahulu, saya banyak bawa kes ke mahkamah, sampai ke Mahkamah Persekutuan sekalipun. Semuanya tidak berjaya. Sebabnya, mahkamah boneka.


Di Kelantan, apa yang boleh dibuat sekarang?

Saya rasa mahkamah yang ada adalah mahkamah rakyat ...(ketawa). Bukan sahaja di Kelantan tetapi di seluruh negara.

Umno-BN sudah dihukum oleh mahkamah rakyat pada pilihan raya 2008 lalu, tetapi mereka nampaknya terus angkuh, tidak mahu terima dan hormati suara rakyat serta ambil iktibar daripada ...

Pendapat saya begitu juga ... saya hadir beri penerangan bukan atas kapasiti sebagai ahli politik tetapi seorang yang penuh minat mahu melihat Kelantan ini maju, tidak kira PAS atau Umno yang perintah.

Dalam kes minyak ini, sepatutnya mereka bayar sebab inilah peluang untuk kita majukan Kelantan bersama. Faedahnya ialah rakyat akan rasai bersama, seterusnya biarlah rakyat akan nilai. Dia nak pilih siapa, itu pandailah kempen ... betul tak?

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks