KDN anggap rencana 'ancam ketenteraman awam'

Kerajaan hari ini memberi amaran akan bertindak terhadap akhbar utama bahasa Inggeris paling besar edaran di Malaysia, The Star berhubung sebuah rencananya yang membidas tindakan kementerian dalam negeri merotan tiga wanita Islam, 9 Feb lalu.

AP memetik seorang pegawai kanan, kementerian dalam negeri, Abdul Razak Abdul Latif sebagai berkata kerajaan menganggap rencana yang disiarkan The Star Jumaat lalu mengancam "ketenteraman awam".

Rencana oleh editor urusan The Star, P Gunasegaram, mengkritik tindakan sebatan syarie ke atas tiga wanita itu kerana mengadakan persetubuhan haram.

Gunasegaram dalam rencananya itu mendakwa tindakan berkenaan mencabuli hak asasi manusia.

Menurut Abdul Razak, pihak kementerian menghantar faks kepada The Star Rabu lalu meminta akhbar terlaris bahasa Inggeris itu membuat permohonan maaf dan menawarkan penjelasan dalam tempoh 14 hari.

Berdasarkan penjelasan berkenaan, Razak berkata kerajaan akan memutuskan tindakan yang akan diambil.

Antara tindakan yang boleh diambil ialah menarik balik permit mencetak akhbar berkenaan. Semua akhbar di Malaysia tertakluk kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang mewajibkan mereka memperbaharui permit setiap tahun.

Menurut AP lagi, The Star menarik balik rencana itu dari laman webnya dan membuat permohonan maaf Rabu lalu.

Menurut akhbar berkenaan, mereka tidak mempunyai niat untuk menghina atau menguris perasaan umat Islam di negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, bantahan terhadap The Star berterusan.Hari ini, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) buat laporan polis terhadap P Gunasegaram dan Sister in Islam (SIS) yang didakwa membuat kenyataan yang menyentuh bidangkuasa raja-raja Melayu, urusan agama Islam, hukum Syarak serta sensitiviti umat Islam.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks