Kenapa tak siasat Nasir Safar?

Sikap polis yang membisu terhadap dakwaan terbaru bahawa bekas pegawai khas Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar terbabit dalam penculikan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu menguatkan rumusan bahawa Datuk Seri Najib Razak mempunyai kaitan langsung dengan kes itu.

Dua minggu lalu, pegawai penyiasat persendirian Balasubramaniam mengenal pasti Nasir Safar sebagai lelaki "misteri" yang berada di dalam sebuah kereta Proton biru ketika Altantuya diculik oleh dua anggota polis di hadapan rumah penasihat Najib, Abdul Razak
Baginda pada tahun 2006.

Altantuya dilaporkan dibawa oleh Cif Inspektor Azilah Hadri, Koperal Sirul Azhar Umar dan Lans Koperal Rohaniza Roslan dalam sebuah kereta Proton Aeroback berwarna merah pada 19 Oktober 2006.

Altantuya di jumpai mati dibom 17 hari kemudian.

Bala berkata pada hari Altantuya diculik, beliau nampak seorang lelaki dalam kereta Proton berwarna biru berlalu dengan tingkap diturunkan.

Bala hanya mengenal pasti lelaki itu sebagai Nasir beberapa minggu lalu apabila gambarnya disiarkan dalam internet dan akhbar setelah beliau membuat kenyataan menghina kaum Cina dan India di Melaka awal Februari lalu.

Dalam emel terbaru kepada Suara Keadilan, peguam Bala, Americk Singh Sidhu, berkata Nasir dipercayai dihantar untuk memastikan tiga anggota polis berkenaan tidak tersilap identiti apabila menculik Altantuya.

Americk berkata adalah pelik Nasir masih keberatan menjawab tuduhan dakwaan Bala itu kecuali berjanji untuk mengadakan sidang akhbar dalam tempoh terdekat.

"Mengapa membisu dan hanya berkata akan membuat sidang akhbar? Adakah ini disebabkan ada sesuatu yang sedang dirancang?," tanya Americk lagi.

Lebih membimbangkan apabila Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan juga dilaporkan enggan mengulas mengenai dakwaan terhadap Nasir itu.

Malaysiakini memetik beliau sebagai berkata beliau tidak mahu mengulas kerana "perkara itu telah (pun) dibicarakan di mahkamah".

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata persepsi rakyat bahawa Najib terlibat dalam kes Altantuya semakin kuat disebabkan pihak yang dituduh hanya berdiam diri.

"Sudah tentu tanggapan rakyat bahawa Najib terlibat secara langsung atau tidak langsung bertambah kuat. Banyak dakwaan dalam media antarabangsa tidak diendahkan.

Malahan desakan Dr Mahathir Mohamad dan cabaran Tengku Razaleigh Hamzah supaya beliau (Najib) membersihkan namanya juga tidak memberi kesan kepada Najib," kata beliau.

Azilah, 34, dan Sirul, 38, dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009 sementara Abdul Razak pula dibebaskan daripada tuduhan bersubahat membunuh Altantuya.

Kedua-dua mereka telah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi sehari selepas hukuman dijatuhkan tetapi sehingga kini mahkamah belum menetapkan tarikh untuk rayuan tersebut didengar.

Sikap membisu pihak mahkamah juga menimbulkan tanda tanya mengapa kes yang begini penting dan melibatkan kepentingan awam seolah-olah mahu disenyapkan begitu sahaja.

Peguam kanan Karpal Singh berasa pelik atas kelewatan mahkamah menetapkan tarikh rayuan.
"Sepatutnya proses rayuan sudah lama bermula. Ketua Hakim pernah berkata beliau mahu semua kes rayuan tertunggak disegerakan tapi dalam kes ini, seolah-olah kenyataan belaiu itu tidak membawa apa-apa makna," kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks