Najib sahkan pilihan raya Sarawak diadakan sebelum PRU

KUALA LUMPUR : Pengerusi BN, Mohd Najib Abdul Razak secara tidak langsung mengesahkan buat kali kedua bahawa pilihan raya Sarawak akan diadakan terlebih dahulu sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13.

"Kita mengambilkira Sarawak yang perlu mengadakan pilihan raya di peringkat negeri pada suatu tarikh yang akan diumumkan nanti dan seperti biasa, kita semua akan turun membantu dalam usaha memantapkan lagi kedudukan BN di Sarawak," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi BN itu mengesahkan perkara tersebut dalam pengumuman yang dibuatnya pertama kali dalam beberapa bulan yang lalu.

Terdahulu, pada penghujung Disember tahun lalu, Najib berjanji akan kerap melawat Sarawak bermula Januari lalu pada majlis NKRA tetapi lawatan itu tidak dapat diteruskan.

Selain itu, ramai pihak melihat, sejak tsunami politik melanda BN bermula 8 Mac 2008, negeri Sarawak dijadikan perhatian dan sehingga kini berbilion ringgit terpaksa disalurkan ke negeri tersebut.

Pemerhati politik melihat, perbelanjaan wang ringgit itu bukan termasuk dalam tindakan membela nasib rakyat Sarawak, tetapi lebih kepada takut hilangnya sokongan undi terhadap BN.

Sehingga kini, peruntukan yang dihamburkan di sana-sini yang banyak tertumpu di pedalaman Sarawak. Ini kerana majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Sarawak berada dalam kategori luar bandar yang sehingga kini menyulitkan BN membuat beberapa keputusan.

Antara kes yang sukar dibuat keputusan itu, ialah berkaitan isu rampasan tanah khasnya ke atas kaum terbesar di Sarawak, iaitu Iban yang gagal diselesaikan BN.

Penghakiman di mahkamah tertunggak kerana kroni BN?

Sementara itu, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian yang mengendalikan isu tersebut memberitahu, ratusan kes berhubung tanah di negeri itu tertunggak di mahkamah hanya kerana syarikat dan individu tertentu dipercayai ada kaitan dengan BN atau dalam erti kata lain, dimiliki kroni BN.

Adun Pakatan Rakyat (PR) daripada DAP, Ting Tze Fui pula berkata, masalah tanah bukan sahaja melibatkan penduduk luar bandar tetapi juga masyarakat Cina di luar bandar.

"Sekutu BN yang kononnya mewakili masyarakat Cina, SUPP gagal membantu kaum itu berhubung permasalahan tanah dan seringkali membisu dalam persidangan Dun," kata Ting yang juga merangkap Adun Meradong.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Sarawak, Wan Zainal Wan Senusi menjelaskan, wang billion ringgit itu bukan kepunyaan BN, tetapi hak rakyat negeri Sarawak yang selama ini diambil BN sejak memerintah Malaysia sebelum ini.

Pilihan raya Sarawak dijangka diadakan dalam tempoh terdekat dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengesahkan bahawa pihaknya telah pun menemui Ketua Menteri, Taib Mahmud berhubung tarikh pilihan raya di negeri itu baru-baru ini.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks