Masa Depan FELDA dan Peneroka (II)

Nasib Generasi Kedua


Seperti yang diterangkan di atas, selepas pembentukan Felda Plantations, tidak ada lagi tanah dibuka untuk peneroka baru. Ertinya, sudah dinafikan peluang untuk petani miskin yang ketiadaan atau kekurangan tanah untuk mendapat tanah. Tiada juga peluang untuk generasi kedua dan ketiga (anak serta cucu peneroka asal) walaupun tiada pekerjaan atau tidak bertanah. Mereka tidak ada peluang pekerjaan lain dan tidak dapat mengikut jejak bapa atau datuk mereka.

Bilangan pekerja di bawah FELDA Holdings (yang meliputi semua anak syarikatnya) berjumlah kira-kira 19,000 orang. Ini tidak termasuk peneroka dan pekerja ladang. Kebanyakan pekerja ladang dalam Felda Plantations terdiri dari pendatang luar negara. Begitu juga dengan pekerja-pekerja kontrak yang digunakan untuk kerja-kerja khusus seperti menanam semula di bawah kelolaan Technoplant. Bilangan orang tempatan kecil.

Walaupun ada anggapan konon generasi kedua peneroka tidak suka menjadi "kuli ladang", namun maklumat yang dikumpul menyatakan ada di antara mereka yang memohon tidak diterima. Ada anggapan kononnya mereka ini tidak bersedia bekerja sekuat pekerja-pendatang yang dibayar gaji agak rendah, tidak mendapat syarat-syarat perkhidmatan yang baik dan mudah pula dikawal. Tiada gaji tetap bagi mereka. Ada yang merasakan seolah-olah mereka bekerja sebagai hamba.Seterusnya, ramai anak peneroka Felda mempunyai kelayakan atau kelulusan dari pusat-pusat pengajian tinggi. Di antara mereka ada yang telah mendapat biasiswa di bawah rancangan bantuan FELDA Holdings. Sepatutnya mereka ini diberikan keutamaan menjadi pegawai dalam FELDA Holdings atau anak-anak syarikatnya. Akan tetapi tidak. Walaupun ada yang diambil bekerja, saya diberitahu peratusannya adalah kecil.Terdapat anggaran bahawa bilangan generasi kedua dan ketiga Felda menghampiri 800,000. Bilangan sebenar boleh jadi lebih kecil dari itu. Berdasarkan bilangan 113,000 keluarga peneroka dan anggapan setiap seisi rumah terdiri dari 5-6 orang, saya anggar bilangan mereka mungkin dalam lingkungan 500 hingga 600 ribu.

Yang lebih penting dan serius dari angka ini ialah sebahagian besar dari mereka yang tidak berpeluang mendapat pekerjaan di tempat lain masih tinggal bersama-sama keluarga mereka di rancangan Felda. Ramai dari mereka dalam keadaan menganggur. Mereka terbiar. Bermacam-macam masalah sosial timbul di kalangan mereka akibat pengangguran itu.

Bilangan mereka yang terlibat dengan pencurian, penyalahgunaan dadah, perbuatan-perbuatan sumbang dan menjadi Mat Rempit dan macam-macam lagi, sangat besar. Hal-hal ini buruk akibatnya dalam masyarakat peneroka dan serius implikasinya ke seluruh negara. Malangnya hampir kesemua mereka ini terdiri dari muda-mudi Melayu.

Apa Perlu Dilakukan?

Untuk memastikan masa depan lebih baik bagi peneroka Felda dan masa depan yang lebih cerah bagi generasi kedua dan ketiga peneroka Felda, beberapa langkah perlu dan boleh diambil. Antaranya ialah:-

a) Membuka semula rancangan tanah Felda mengikut konsep asalnya, tetapi tanpa merosakkan alam sekitar, dengan tujuan memberi peluang terutama sekali kepada generasi kedua dan ketiga yang tidak bertanah atau tiada pekerjaan mengatasi kemiskinan.

b) Menggalakkan dan membuka peluang seluas mungkin kepada generasi kedua dan ketiga yang mempunyai kelayakan atau kelulusan, terutama yang telah menerima biasiswa dari FELDA Holdings, untuk menjadi pegawai dalam syarikat gergasi itu serta anak-anak syarikatnya.

c) Memberikan peluang luas, galakan kuat dan insentif serta syarat perkhidmatan yang baik untuk menarik anak-anak muda dari generasi kedua dan ketiga bekerja dalam ladang-ladang Felda Plantations dalam bentuk yang ada sekarang.

d) Membuka pelbagai pusat latihan serta kemahiran (seperti vokasional) yang terbuka lebih ramai (tetapi tidak eksklusif) kepada anak-anak muda generasi kedua dan ketiga bagi meningkatkan taraf kebolehan dan kemahiran mereka.

e) Mengkaji semula hutang dengan tujuan menghapuskan hutang besar dengan bunga tinggi yang dibebankan ke atas peneroka.

f) Mengubah pendekatan dan sistem perladangan Felda supaya keuntungan besar yang diperolehi FELDA Holdings serta anak-anak syarikatnya dapat diagihkan secara adil untuk memberi faedah dan kebajikan lebih besar kepada petani-peneroka umumnya.

Perlunya Penyusunan Semula

Perkara (f) di atas perlu dibincang dengan lebih lanjut lagi.

Sebagaimana yang sudah diterangkan, FELDA Holdings dan anak-anak syarikatnya seperti Felda Plantations dan Felda Technoplant merupakan syarikat-syarikat berorientasi komersil yang berasaskan sistem kapitalis. Tujuan utamanya ialah untuk memaximakan keuntungan.

Untuk mencapai tujuan ini tidak hairanlah jikalau mereka sampai tergamak melakukan penindasan ke atas peneroka yang menyertainya. Misalannya, mereka memberikan pendapatan yang rendah kepada peneroka, membelenggukan mereka dengan hutang yang agak kadar faedahnya (6.25%), dan mengenakan bayaran lain, seperti untuk khidmat nasihat.

Sekali-sekala, khususnya berdekatan hari perayaan atau pilihanraya diadakan upacara-upacara memberikan "wang hadiah" kepada para peneroka. Para pembesar, termasuk Perdana Menteri menyampaikannya. Acapkali pemberian ini diwar-warkan sebagai langkah kerajaan yang dikatakan prihatin terhadap nasib rakyat.

Wang hadiah itu sering diumumkan sebagai wang dari kerajaan. Akan tetapi, sebenarnya ia datang, antara lainnya dari tanah kepunyaan peneroka sendiri, yang sudah dikawal oleh FELDA Holdings melalui Felda Plantations. Sebenarnya wang hadiah itu lebih kecil daripada jumlah yang sewajarnya boleh dan harus diterima oleh peneroka.

Ramai yang menganggap struktur syarikat yang wujud tidak memberikan faedah serta kebajikan sewajarnya kepada petani-peneroka. Untuk meningkatkan setinggi-tingginya faedah serta kebajikan itu mereka berpendapat perubahan atau penyusunan semula perlu dilakukan ke atas syarikat, dari segi falsafah, pendekatan, struktur dan organisasi.

Dalam hal ini mereka mengemukakan pandangan berbeza yang boleh dirumuskan kepada tiga jenis alternatif.

Alternatif A: Mengagih semula keuntungan yang diperolehi FELDA Holdings untuk faedah dan kebajikan petani-peneroka. Seperti yang telah disebut lebih awal, keuntungan syarikat bagi tahun 2008 melebihi RM800 juta. Kita belum melihat atau mengetahui laporan yang menunjukkan siapa atau golongan mana yang mendapat bahagian terbesar dari keuntungan ini.

Yang dicadangkan untuk Alternatif A ini ialah supaya sebahagian besar keuntungan syarikat diagihkan kepada petani-peneroka dengan menaikkan pendapatan mereka. Selain itu hendaklah digunakan juga keuntungan itu bagi membina pusat-pusat latihan kemahiran dan juga memberi lebih banyak bantuan (ditambah dengan subsidi dari Kerajaan) untuk pendidikan dan kesihatan bagi anak-anak petani-peneroka yang layak.

Alternatif B: Memecah-mecahkan semula semua tanah ladang yang dibuka dan dikelola oleh Felda Plantations kepada lot-lot seluas 10 ekar. Kemudian mengagihkannya kembali kepada generasi kedua serta ketiga yang tidak mempunyai tanah atau pekerjaan dan juga kepada petani yang ketiadaan atau kekurangan tanah di luar rancangan Felda.

Dengan Alternatif B ini bererti konsep pengurusan tanah secara perladangan ala Felda Plantations perlu diberhentikan dan kembali semula kepada pengagihan dan pengurusan tanah mengikut rancangan tanah yang asal. Dikatakan bahawa jikalau cara ini dilaksanakan maka kira-kira 80,000 peneroka baru (beserta keluarga mereka) boleh medapat faedah daripada ladang-ladang yang dipecah dan diagihkan.

Alternatif C: Menukar cara pengurusan semua syarikat yang terlibat kepada cara yang berasaskan prinsip kooperasi. Sehubungan ini peneroka dan juga pekerja syarikat hendaklah dijadikan sebagai pemegang saham dalam usaha koperasi yang besar. Semua urusan kerja seperti membeli benih, menanam semula, mengilang biji sawit, memasarkan minyak sawit dan sebagainya hendaklah dilakukan atas asas kooperasi.

Di sini kita lihat asas falsafah dan pendekatan menyelenggara syarikat dan menjalankan aktivitinya perlu dirombak sama sekali. Ada kemungkinan bahawa struktur dan organisasi syarikat-syarikat tidak begitu banyak perlu diubah.

Pada masa ini FELDA Holdings dimiliki seperti berikut;

51% oleh Kooperasi Permodalan Felda (KPF)
49% oleh peneroka Felda (yang telah diserap)
01% Saham Emas (Golden Share) oleh Kementerian Kewangan.

Walaupun angka di atas menunjukkan modal terbesar syarikat dimiliki oleh badan yang dinamakan koperasi namun syarikat itu tidak kelihatan sama sekali mengamalkan prinsip kooperasi dalam urusannya.

Perubahan dan penyusunan semula yang besar memang diperlukan untuk membantu golongan rakyat miskin, terpinggir dan berpendapatan rendah. Lebih banyak yang diperlukan daripada hanya dalam proses perubahan dan penyusunan semula itu.

Berhubung dengan FELDA Holdings serta anak-anak syarikatnya, perubahan mengikut tiga Alternatif di atas merupakan cabaran sangat besar. Pada peringkat akhir Kerajaan mempunyai kuasa penentu ke atas Felda Holdings dan segala perubahan dan penyusunan semula yang hendak dilakukan. Ini dilambangkan oleh Saham Emas yang dimiliki Kerajaan.

Jikalau ada perubahan atau penyusunan semula hendak dilakukan dengan jaya, ia memerlukan keazaman politik (political will) terutama sekali di kalangan pihak yang mempunyai kuasa. Dalam keadaan sekarang ini, dengan kepentingan mereka serta kroni-kroni mereka, saya tidak nampak bagaimana pemimpin-pemimpin besarnya boleh menyetujui ketiga-tiga Alternatif yang dirumuskan.

Namun demikian para peneroka yang prihatin, seperti saudara-saudara yang hadir dalam Konvensyen bersejarah ini, harus mengkaji dengan terperinci setiap Alternatif. Kita mesti meneliti masalah-masalah dan kepentingan golongan apa yang harus diatasi. Kita mesti mengkaji cara-cara untuk mengatasinya. Kita mesti putuskan Alternatif mana yang terbaik.

Kita berharap Insha Allah akan berlaku pertukaran pemerintahan di negara ini kepada yang lebih peduli akan nasib rakyat yang lemah. Apabila ini berlaku, kita harap juga para peneroka sudah bersedia dengan apakah pilihan yang terbaik untuk faedah, kebajikan dan kepentingan mereka. Ini boleh dijadikan agenda perjuangan mereka untuk masa kini dan akan datang. (Bahagian kedua, tamat)

Bahagian pertama: Masa Depan FELDA dan Peneroka (I)
*Kertas kerja ini disampaikan oleh Timbalan Presiden KEADILAN, Syed Husin Ali pada Konvensyen Peneroka Felda dan Generasi Kedua, yang telah diadakan di Jerantut pada 20 Februari 2010.
Khamis, 2010 Februari 25

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks