Dari "Mahathir vs Abdullah" ke "Muhyiddin vs Najib"

Khabar mula tersebar bahawa Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddn Yassin sudah tidak sabar-sabar lagi untuk melawan ketuanya, Najib Razak. Malah, analisis ahli akademik Greg Lopez menjangkakan bahawa "Najib yang baru memegang tampuk kuasa mulai April 2009, kini dalam bahaya gagal menyempurnakan tempoh satu penggal sebagai Perdana Menteri". 【Baca: Is Najib on his way out?】

Pemimpin DAP, Lim Kit Siang menghangatkan "bahang" apabila mencabar dan mendesak Muhyiddin (gambar kanan) untuk menyatakan pendirian sama ada mendukung gagasan "1Malaysia" oleh Najib, ataupun mewarisi legasi Mahathir Mohamad. Lantas Muhyiddin Yassin menjadi tumpuan media, malah setiap gerak-gerinya bakal diteliti di bawah kanta pembesar, termasuk berapa kali beliau menyebut "1Malaysia" dalam ucapan selepas ini.

Kisah tikam-menikam antara ketua dengan timbalannya bukanlah sesuatu yang baru dalam politik. Ketua akan sentiasa mengawasi dan menyekat pengaruh timbalannya, di samping timbalannya pula akan menunggu dan mencari kesempatan untuk mengorak satu lagi langkah ke depan...

Persepsi terhadap Najib terlalu negatif

Sebelum Najib menjangkau kemuncak kuasa, tidak kurang desas-desus yang mengatakan bahawa beliau tidak akan dilantik sebagai PM Malaysia. Dari perhitungan politik Abdullah Ahmad Badawi, beliau tidak yakin bahawa Najib akan melindungi kepentingannya. Untuk sesetengah anggota UMNO pula, mereka khuatir bahawa Najib yang terjerat dengan pelbagai tuduhan dan persepsi negatif mudah terdedah kepada serangan pembangkang. Dari segi moral, Najib dikaitkan oleh pembangkang dengan isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu; dari segi integriti pula, beliau tercalit dengan isu komisen pembelian kapal selam Scorpene dan jet Sukhoi.

Sekali imbas, zaman "reformasi" menjadikan Mahathir Mohamad sebagai ikon "zalim", "rasuah"; dan Abdullah Badawi pula disifatkan sebagai "lemah", "lambat" sebelum PRU ke-12. Pemimpin akar umbi mendapati diri mereka sukar untuk menangkis serangan sedemikian yang dilontarkan oleh pembangkang dalam ceramah politik. Maka, Najib yang sudah terpaut dengan persepsi negatif sebelum menjadi PM ini sebenarnya adalah beban dari kaca mata mereka.

Muhyiddin puas sekadar TPM?

Dalam situasi sedemikian, Muhyiddin Yassin menjadi calon PM yang boleh "dipertimbangkan." Lebih-lebih lagi, apabila Mahathir Mohamad sudah tidak sabar dengan Najib yang masih keraguan untuk mencabar Abdullah Badawi seketika dahulu, nama Muhyiddin pula digilap berkali-kali olehnya.

Gandingan pimpinan "Najib-Muhyiddin" hari ini sebenarnya terhasil daripada keberanian Muhyiddin Yassin untuk mendesak agar Abdullah Badawi berundur. Dari sudut ini, Najib boleh dikatakan mengecapi hasil daripada "risiko" yang ditanggung Muhyiddin setahun yang lalu.

Ironinya, jikalau dihitung dari segi umur pula, Najib menjadi tanda noktah kepada riwayat politik Muhyiddin Yassin di sebaliknya. Muhyiddin Yassin, 63, enam tahun lebih tua daripada Najib Razak. Dengan kata lain, semakin lama Najib kekal sebagai PM, semakin tipis peluang Muhyiddin menjadi penggantinya.

Seandainya Muhyiddin tidak puas sekadar menjadi TPM, maka beliau perlu bertindak untuk menyekat Najib, sekurang-kurangnya dalam tempoh tidak melebihi dua penggal. Dalam sistem politik Malaysia (buat setakat ini), sesiapa yang bertekad untuk menjadi PM wajib meraih sokongan UMNO terlebih dahulu.

Gelanggang silat politik di UMNO

Dan di situlah gelanggang silat politik antara Muhyiddin dengan Najib. Muhyiddin memiliki kelebihan dalam UMNO apabila tampil dengan imej pemimpin yang lantang bersuara dalam isu kepentingan Melayu dan Islam. Sebaliknya, Najib berada dalam gelanggang politik yang lebih luas, perlu mengambil kira tuntutan dan keperluan semua pihak.

Bertitik tolak daripada itu, "1Malaysia" dilaungkan untuk memikat undi semua kaum. Najib memainkan peranan untuk menunjukkan kepada masyarakat bukan Melayu-Islam dan pengundi bandar bahawa UMNO sedia berubah. Muhyiddin pula, sebaliknya memainkan peranan untuk meyakinkan masyarakat Melayu-Islam dan penyokong UMNO bahawa kepentingan Melayu dan Islam tidak terjejas berikutan "perubahan UMNO".

Pendekatan yang digunakan kedua-dua mereka sebenarnya tidak selari dan saling bercanggah. Dan di celah-celah inilah Lim Kit Siang menusuk jarumnya. Persoalannya mudah, apakah Muhyiddin sudah bersedia untuk menggulingkan Najib?

Proses menggulingkan Pak Lah

Persoalan ini semestinya mencungkil minat orang ramai jikalau dilontarkan. Tetapi, seandainya diimbas kembali proses menggulingkan PM kelima, Abdullah Badawi yang berakhir belum genap setahun, kita akan mendapati bahawa syarat yang ada pada Muhyiddin sebenarnya belum matang.

Mahathir (gambar kiri) melemparkan kritikan terbukanya terhadap Abdullah buat kali pertama pada 7 Jun 2006. Sekiranya dikira dari tarikh tersebut, proses penggulingan Abdullah Badawi sebenarnya mengambil masa lebih daripada dua tahun. Malah, mustahil Abdullah mengundur diri seandainya tidak berlaku tsunami politik pada 8 Mac 2008.

Dalam tempoh lebih daripada dua tahun ini, Mahathir menggunakan segala kritikan tajamnya, sindiran sinisnya, malah mengambil langkah drastik untuk keluar parti sebagai desakan terhadap Abdullah. Bahkan, rombakan semula puak-puak berkepentingan dalam UMNO, misalnya beberapa puak "anti-Pak Lah" bersatu untuk menyerang bersama Abdullah-Khairy, menjurus kepada pencapaian matlamat itu.

Kedudukan Abdullah tidak goyah seandainya hanya tekanan dari dalam parti. Pendedahan demi pendedahan yang dilakukan melalui media internet terhadap saham dan harta yang dimiliki keluarganya, serangan Mahathir sehabis-habisnya gagal menjatuhkan Abdullah dari tempatnya, sebelum PRU ke-12.

Hanya apabila tsunami politik mengombak pada 8 Mac 2008, barulah arus tekanan dalam parti semakin menderas. Biarpun begitu, Abdullah (gambar kanan) masih mampu bertahan pada tempatnya, sehingga kekalahan besar UMNO-BN dalam PRK Permatang Pauh pada Ogos 2008.

Natijah pergelutan UMNO

Melaga-lagakan musuh politik bukanlah taktik baru, malah sudah berkali-kali pemimpin PAS dilagakan apabila pemimpin PKR mahupun DAP mengambil pendekatan yang kelihatan tidak selari dengan apa yang dihujahkan PAS secara tradisionalnya. Jelas, Muhyiddin belum memiliki syarat-syarat seperti di atas untuk menamatkan riwayat politik Najib.

Namun, persoalan yang lebih penting, apakah natijahnya daripada pergelutan kuasa dalam UMNO? Apakah masyarakat Malaysia perlu mengulangi satu proses yang sama, kembali kepada titik asal setelah habisnya satu putaran di bulatan politik?

Ketika Mahathir melawan Abdullah Badawi melalui Najib, Abdullah ditampilkan oleh pembangkang sebagai pemimpin yang cuba membawa perubahan kepada UMNO, sementara Najib ditonjolkan pula sebagai pendukung Mahathirisme.

Tetapi, apabila Najib mengambil alih tampuk kuasa, beliau pula ditonjolkan sebagai pemimpin yang bertekad membawa perubahan kepada UMNO, di samping Muhyiddin Yassin memainkan peranan sebagai batu penghalang perubahan, kini dituduh sebagai pewaris legasi Mahathir.

Mungkin ada yang mendakwa bahawa "perubahan" yang dibawa oleh Abdullah Badawi, walaupun tidak mendatangkan hasil yang jelas, tetapi setidak-tidaknya membuka sedikit ruang, yang akhirnya menjurus kepada tsunami politik. Pertarungan antara Mahathir dengan Abdullah, walaupun berkisarkan perebutan kuasa dan kepentingan, tetapi membuka ruang kebebasan bersuara secara tidak sengaja. Pertarungan itu memperlihatkan bagaimana Mahathir yang mencabul kebebasan bersuara semasa pemerintahannya, akhirnya memilih media internet untuk membalas serangan daripada media arus perdana yang dikuasai Abdullah.

Namun demikian, jika dilihat kepada "pergelutan" yang ada sekarang, masyarakat kita sebenarnya tidak dimanfaatkan. Menjuarai isu perkauman dan agama telah memberi laluan kepada pencerobohan rumah ibadat, peristiwa yang tidak pernah berlaku dalam tempoh puluhan tahun kebelakangan.

Malah, apakah ruang kebebasan dan demokrasi terbuka luas kerana "pergelutan", atau "ketidak-selarian" antara orang nombor pertama dan kedua dalam negara ini? Apakah "rasuah", "kebebasan", "demokrasi", "keadilan" dibangkitkan sebagai isu, untuk menyelesaikan masalah Malaysia pada hari ini?

Jawapannya amatlah jelas. Cuma, mengapa ghairah sangat untuk berputar-putar di bulatan politik yang sama?
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks