Ekonomi Malaysia dewasa ini "terperangkap" dalam kategori pendapatan pertengahan (middle-income economy) dan menghadapi bahaya terjerumus ke jurang ekonomi berpendapatan rendah jika kerajaan tidak melaksanakan langkah-langkah pemulihan dengan segera.
"Sejak sekian lama, pendapatan sebenar (real wage) rakyat Malaysia agak statik," kata Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad kepada Free Malaysia Today ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pendapatan sebenar bermaksud sekiranya pendapatan meningkat sebanyak 4% setahun dan kadar inflasi ialah 3% setahun bermakna peningkatan pendapatan hanya 1% setahun.
Dr Dzulkefly berkata, "menurut Bank Dunia, di antara tahun 1994 hingga 2007, dalam sektor ekonomi domestik, pertumbuhan pendapatan sebenar rakyat Malaysia hanya mencatat sebanyak 2.6%.
"Jika keadaan ini berterusan dan sekiranya Malaysia tidak mampu melonjak ekonomi supaya dapat berkembang di antara 5% hingga 8%, kita bimbang Malaysia akan terjerumus ke lembah ekonomi berpendapatan rendah," ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pengarah, Unit Perancang Ekonomi, Datuk Noriyah Ahmad yang mengakui ketidakmampuan Malaysia menyaingi negara-negara jiran dari segi ekonomi.
Dalam kenyataannya semalam, Noriyah berkata negara ini masih tidak dapat melonjak pertumbuhan ekonominya dan jika trend ini berterusan, kita akan dipintas oleh ekonomi-ekonomi lain yang berkembang dengan lebih pesat.
"ini akan menjejaskan usaha kerajaan untuk keluar dari "perangkap" ekonomi berpendapatan pertengahan dan tidak dapat menyertai kategori ekonomi berpendapatan tinggi," terang beliau.
Menurut definasi Bank Dunia, ekonomi berpendapatan tinggi bermaksud pendapatan per kapita rakyat mencecah AS$12,000 (RM42,000) atau lebih setahun.
Dr Noriyah juga mengakui bahawa 80% dari jumlah tenaga buruh kita mempunyai pendidikan hanya setakat Sijil Pelajaran Malaysia atau setaraf dengannya.
"Hanya 25% sahaja tenaga buruh kita termasuk dari golongan pekerja berasaskan ilmu dan berkemahiran berbanding Singapura, Thailand dan Taiwan, yang mempunyai peratusan tenaga kerja mahir yang jauh lebih tinggi.
Menurut Dr Dulkefly, oleh sebab kekurangan tenaga kerja mahir inilah yang menyebabkan Malaysia hilang daya saing kerana rendah produktiviti, tidak berinovasi dan tiada nilai ditambah.
Kuliah Maghrib: Fiqh Solat (40)
7 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan