Speaker Senat: Bebas media kebebasan, kerajaan perlu terbuka



PETALING JAYA, 3 Mei — Kerajaan perlu memberikan kebebasan yang cukup kepada akhbar di Malaysia dalam melaksanakan tugasnya, kata Speaker Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.
Namun, kebebasan ini mestilah dipandu oleh Perlembagaan, kata beliau.
“Bagi saya, saya sentiasa berpegang bahawa kebebasan itu mestilah dipandu oleh tanggungjawab. Tanggungjawab terhadap negara dan rakyat dalam memelihara keamanan dan keharmonian.
“Kerajaan harus terbuka dalam membenarkan media melahirkan pendapat mereka, bersikap adil dan munasabah kepada akhbar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum berjudul ‘‘Apakah Perlu Mengawalselia Media Cetak di Malaysia?” kata beliau dipetik Bernama.
Majlis itu dianjurkan oleh Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) sempena sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia hari ini.
Sementara itu, seorang anggota panel di forum itu, Zainon Ahmad, editor politik Sun Media Corp Sdn Bhd, berkata sekatan dikenakan kerajaan menerusi undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) tidak harus dilihat sebagai faktor yang menghalang tugas media cetak.
Malahan, kata beliau, pengamal media di Malaysia perlu lebih banyak berusaha untuk menyebarkan maklumat kepada massa.
Beliau menambah, akhbar di Malaysia harus terus memperjuangkan kebebasan melahirkan pendapat.
“Sekalipun wujud kekangan, kita dapat menerbitkan akhbar yang bagus dan saya yakin kita boleh menerbitkan akhbar yang lebih bagus jika kita diberikan kebebasan akhbar lebih luas,” katanya.
Seorang lagi anggota panel, Zulkilfi Sulong, ketua editor Harakah Daily,
khusus menyebut PPPA sebagai halangan utama kepada kebebasan akhbar di negara ini.
Beliau berkata kerajan hendaklah memberi kepada sesiapa saja yang hendak menerbitkan akhbar hak dan kebebasan untuk berbuat demikian tanpa prejudis.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks