Najib: Tenyeh kontrak bukan cara bantu Melayu..tapi cara bantu ahli UMNO@APCO..!!!




BUTTERWORTH, 8 Mei — Datuk Seri Najib Razak kerajaan tidak lagi akan menggunakan pendekatan membantu seorang atau dua ahli perniagaan Bumiputera sahaja kerana tindakan itu tidak memberi kesan ekonomi dan politik kepada orang Melayu itu sendiri.
Dengan merujuk kepada Model Ekonomi Baru (MEB), yang fasa keduanya dijangka diumumkan bulan depan, Perdana Menteri berkata kerajaan sebaliknya akan memberi tumpuan terhadap bakal usahawan yang benar-benar layak dibantu dan berpotensi mengembangkan perniagaan di peringkat global.
“Bersusun-susun orang datang berjumpa saya minta tenyeh (lulus) kontrak.
“Saya boleh tenyeh tetapi ini bukanlah jalan penyelesaian untuk membantu orang Melayu kerana kita tidak mahu bantu seorang dua. Kita mahu lihat secara keseluruhannya,” katanya.
Najib (gambar) berkata tidak ada jalan pintas untuk membantu golongan peniaga Bumiputera dan oleh itu kerajaan tidak mahu lagi membantu golongan yang tidak sepatutnya.
Kerajaan sebelum ini membantu golongan usahawan Bumiputera menerusi kelulusan kontrak dan saham, namun malangnya ia tidak dimanfaatkan sehingga menyebabkan berlaku ketirisan.
“Hari ini kita beri saham untuk orang Melayu, esok sudah jadi hak orang lain dan inilah yang dikatakan ketirisan, dan kita tidak mahu perkara seperti ini terus berlaku.
“Jika kita tengok saham Bumiputera, berapa banyak pegangan yang tinggal kepada orang Melayu. Bilangan itu mengejutkan jika kita sebut angkanya,” kata beliau pada Konvensyen Ekonomi Melayu Pulau Pinang di sini, hari ini.
Konvensyen anjuran Badan Perhubungan Umno negeri itu bertemakan “Menggarap Peluang Dalam Cabaran”, bertujuan mencari penyelesaikan terhadap pemasalahan ekonomi Bumiputera Pulau Pinang.
Presiden Umno ini berkata, jika tidak berlaku ketirisan, pegangan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus sepatutnya boleh mengukuhkan ekonomi golongan itu.
“Mungkin ada perkara yang tidak kena pada tempatnya, sebab itu kita perlu Model Ekonomi Baru,” katanya.
Najib berkata dalam membantu golongan Bumiputera, kerajaan juga tidak mahu mengabaikan golongan lain yang perlu dan layak menerima bantuan.
Katanya terdapat usahawan Melayu yang berpotensi mengembangkan perniagaan mereka.
“Ada yang berada dalam radar skrin dan ada juga yang di luar radar, dan kita akan membantu mereka.
Beliau berkata menerusi ekosistem jaringan, bantuan kerajaan akan lebih bersifat mesra perniagaan, lebih telus dan berterusan.
Justeru beliau menyarankan golongan usahawan Bumiputera supaya membangunkan ekosistem jaringan dalam perniagaan mereka.
Katanya melalui jaringan itu, kerajaan mudah membantu mereka untuk terus berkembang di peringkat negeri, negara, serantau dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.
“Ekosistem jaringan itu dapat membantu syarikat kecil yang mendapat peluang perniagaan daripada syarikat besar bagi memastikan golongan peniaga kecil tidak perlu bergantung harap terhadap tawaran kontrak kerajaan semata-mata,” katanya.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks