Pilihan raya kecil Sibu dijangka tetap sengit




3 MEI — Anggapan bahawa pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April lalu sebagai paling sengit di negara ini mungkin kurang tepat. Ia kerana hampir setiap pilihan raya kecil di kawasan yang penyokong Barisan Nasional (BN) dan pembangkang agak setara, terutama selepas Pilihan Raya Umum 2008, memang sentiasa sengit.
Demikian juga dengan pilihan raya kecil Parlimen Bandar Sibu, Sarawak, yang penamaan calonnya dijadualkan Sabtu ini dan pengundian pada 16 Mei ini. Kesengitan itu sudah dirasai sebaik saja BN dan DAP, yang mewakili Pakatan Rakyat menamakan calon masing-masing minggu lalu.
Malah, kehadiran pemimpin kanan parti dari Semenanjung, sama ada daripada BN atau pakatan pembangkang sejak minggu lalu, ke Sibu memberi petanda bahawa pilihan raya kecil ke-11 selepas Mac 2008 itu, tidak kurang sengitnya berbanding Hulu Selangor serta beberapa pilihan kecil sebelum itu.
Pemimpin de facto pakatan pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, misalnya sudah mengadakan perjumpaan dengan penyokong DAP di Sibu hujung minggu lalu, manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadakan lawatan ke Sibu semalam. Lebih ramai pekerja parti – sama ada BN atau pembangkang dijangka berkampung di Sibu mulai minggu ini sehingga hari mengundi dua minggu lagi seperti berlaku di Hulu Selangor baru-baru ini.
Pilihan raya kecil Parlimen Bandar Sibu diadakan berikutan kematian Ahli Parlimennya selama lima penggal, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau Hoi Chew, akibat kanser hati pada 9 April lalu. BN akan meletakkan sepupu mendiang, peguam Robert Lau Hui Yew, 45, untuk mempertahankan kerusi itu, manakala pakatan pembangkang mengumumkan Pengerusi DAP Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek, Wong Ho Leng, 50, sebagai calon mereka.
Ini adalah pilihan raya kecil kedua di Sarawak selepas Mac 2008. Pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air pada 7 April 2009, calon BN, Malcom Mussen Lamoh, mengalahkan calon PKR, Jawah Gerang, dengan majoriti 1,854.
Sama seperti Hulu Selangor, kawasan Parlimen Bandar Sibu agak besar dengan keluasan 1,399 kilometer persegi, hampir menyamai keluasan negeri Perlis dan Pulau Pinang. Seperti juga Hulu Selangor, tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bawang Assan, Pelawan dan Nangka, diwakili oleh BN.
Bagaimanapun, berbeza dengan Hulu Selangor yang majoriti pengundinya Melayu, 34,424 (66 peratus) daripada 54,695 pengundi di Bandar Sibu adalah keturunan Cina. Bakinya ialah Melayu/Melanau membabitkan 8,866 pengundi (17 peratus), Iban dengan jumlah 7,823 pengundi (15 peratus), Bidayuh dengan 260 pengundi (0.5 peratus), Orang Hulu dengan 57 pengundi (0.11 peratus) dan lain-lain diwakili 73 pengundi (0.14 peratus).
Kemenangan di Sibu amat penting bagi kedua-dua pihak. Bagi BN, kejayaan di Bagan Pinang akhir tahun lalu dan kemudiannya merampas semula kerusi Parlimen Hulu Selangor daripada Parti Keadilan Rakyat minggu lalu adalah bukti sokongan semula rakyat selepas pelbagai perubahan yang diperkenalkan kerajaan sejak Najib mengambil alih kepemimpinan negara.
Justeru, keputusan di Sibu nanti bukan saja penting kerana ia adalah kubu tradisional BN, menerusi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) tetapi kerana ia menentukan sama ada momentum sokongan semula rakyat kepada BN berterusan dan melangkaui Laut Cina Selatan.
Kepada Pakatan Rakyat, khususnya DAP, keputusan di Sibu akan menentukan sejauh mana kemampuan mereka untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka diadakan paling awal selepas September depan.
DAP hanya pernah memenangi kerusi itu pada 1982, dengan majoriti kecil apabila calonnya Ling Sie Ming menewaskan Wong Soon Kai tetapi selepas itu, SUPP kembali menguasainya sehingga kematian Lau. DAP hanya mempunyai satu kerusi Parlimen di Sarawak iaitu di Bandar Kuching dan kemenangannya di Sibu pasti mengukuhkan lagi kedudukannya dalam pakatan pembangkang dan di Parlimen.
Lebih penting lagi, keputusan di Sibu nanti akan menunjukkan sama ada majoriti pengundi Cina di Sarawak berkongsi pendirian dengan rakan mereka di bandar utama Semenanjung, yang cenderung menyokong pembangkang. Hakikat bahawa DAP mempunyai pengaruh agak kuat di kawasan majoriti Cina seperti di Kuching, Sibu dan Miri, menguatkan lagi keyakinannya untuk menang di Sibu dan mengukuhkan kedudukannya di Sarawak pada pilihan raya negeri akan datang.
Begitupun, latar belakang pengundi Cina di Sibu, berbeza dengan Semenanjung. Sebahagian besar masyarakat Cina di sana adalah keturunan Foochow, yang dibawa oleh kerajaan Charles Brooke pada akhir abad ke- 20 untuk memacu kegiatan ekonomi di kawasan muara Sungai Rajang.
Mereka terkenal dalam bidang perniagaan dan syarikat pembalakan seperti KTS dan Rimbunan Hijau berpusat di Sibu, yang turut menguasai rangkaian akhbar Cina di rantau ini, adalah dari keturunan Foochow. Sebagai masyarakat peniaga, mereka agak lebih pragmatik dan agak sukar terpengaruh dengan slogan perkauman seperti dilakukan pembangkang di Semenanjung.
Berbeza dengan Hulu Selangor di mana calon BN dari kaum minoriti menentang calon dari kaum majoriti, pilihan raya kecil Parlimen Bandar Sibu menyaksikan calon dari parti Cina terbesar dalam BN Sarawak, ditentang oleh calon parti pembangkang Cina terbesar dari Semenanjung. Semua ini menjadikan pilihan raya kecil Bandar Sibu pada 16 Mei ini tidak kurang hebatnya berbanding pilihan raya kecil sebelum ini. — Berita Harian

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks