"Kuda lumba" Zaid ditonjolkan Isu lesen perjudian sukan dilenyapkan



Berita "kerajaan timbang izin pertaruhan Piala Dunia" dilenyapkan dari Utusan Malaysia hari ini, walaupun akhbar ini pernah menonjolkan berita "kuda lumba" yang dimiliki Zaid Ibrahim, calon PKR semasa tempoh kempen PRK Hulu Selangor.
Timbalan Menteri Kewangan, Awang Adek Hussein semalam mengakui bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk mengeluarkan lesen bagi pertaruhan sukan terutama kejohanan bola sepak Piala Dunia awal Jun ini, bertujuan untuk mengelakkan kegiatan perjudian haram.
Bagaimanapun, Awang Adek Hussein berkata keputusan mengenainya akan diumumkan sebelum kejohanan Piala Dunia bermula, ketika ditemui di lobi parlimen, semalam.
Berita ini dilaporkan oleh Berita Harian pada hari ini di muka surat ke-10, dalam liputannya di Dewan Negara.  Walau bagaimanapun, isu lesen perjudian ini tidak dilaporkan oleh Utusan Malaysia.
"Kuda Lumba" Zaid Ibrahim
Walaupun PRK Hulu Selangor telah melabuh tirai, namun calon PKR yang kecundang, Zaid Ibrahim tetap menjadi watak utama Utusan Malaysia pada hari ini, dengan tajuk yang menonjol di muka surat depan, "Sifatkan titah Sultan Selangor hanya pendapat peribadi - Zaid Ibrahim biadap".
Apa yang menarik, sekiranya diselak Utusan Malaysia ketika tempoh kempen PRK Hulu Selangor, akan didapati bahawa isu "kuda lumba" telah diperbesarkan dalam akhbar tersebut.
"Reaksi Zaid Ibrahim terhadap dakwaan penulis-penulis blog: 'Benar saya ada kuda lumba'", demikianlah tajuknya di muka depan Utusan Malaysia pada 21 April 2010.  "Kaki judi" adalah tuduhan kedua yang cuba dipalitkan pada Zaid Ibrahim, selepas label "kaki botol" yang diasak terhadapnya sebermulanya PRK Hulu Selangor.
Kaki botol dan syarikat arak
Ketika menangkis serangan peribadi ini, pemimpin Pakatan Rakyat mempertikaikan pemilikan syarikat arak, San Miguel di Filipina oleh Mirzan Mahathir, anak bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, yang dikatakan isu lebih besar berbanding isu "minum arak" oleh individu.
Naib Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, misalnya telah mengungkit isu pemilikian syarikat arak oleh keluarga pemimpin UMNO ketika ditemuramah media pada hari penamaan calon PRK Hulu Selangor.  Bagaimanapun, apa yang ditonjolkan Utusan Malaysia pada keesokannya ialah hujah Azmin Ali yang berbunyi, "Buktikan Zaid kaki botol".
Namun, apa yang lebih penting ialah kenyataan bahawa Mirzan Mahathir memiliki syarikat arak terus dilenyapkan dari akhbar Utusan Malaysia, meskipun bekas PM Mahathir Mohamad sendiri mengesahkan pemilikan tersebut dalam satu ceramah di Serendah pada malam 22 April 2010.
Dalam ceramah tersebut, Mahathir membela anaknya dengan mengatakan Mirzan bukan ahli politik, lebih-lebih lagi, Mirzan yang diundang untuk menjadi pengarah syarikat tersebut, sedang merancang untuk melepaskan perniagaan arak, mengikut pengetahuan beliau.
Utusan Malaysia yang membuat liputan di ceramah ini sekadar menonjolkan "Zaid 'kaki lompat'-Dr.Mahathir", sebagai tajuk, langsung tidak melaporkan penjelasan Mahathir terhadap pemilikan syarikat arak oleh anaknya.  Dengan kata lain, realiti bahawa pemilikan syarikat arak oleh Mirzan Mahathir telah dilenyapkan dari akhbar tersebut.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks