Petronas, titah Sultan Selangor dan Zaid Ibrahim




7 MEI — Isu pelantikan profesional bukan Melayu ke jawatan tertinggi Petronas dikupas panjang lebar oleh Big Dog. Manakala kenyataan Datuk Zaid Ibrahim berhubung titah Sultan Selangor mengenai larangan berpolitik di masjid dan surau negeri itu mendapat maklum balas beberapa penulis blog.
Mohd Zakhir Mohamed dalam Big Dog (bigdogdotcom.wordpress.com) berkata, Petronas yang selama ini diterajui oleh profesional Melayu sehingga meletakkan syarikat petroleum negara tersenarai dalam Fortune 500 itu kini membuka pintu kepada profesional bukan Melayu memegang jawatan tertinggi di syarikat itu.
Katanya, antara jawatan yang diambil alih oleh profesional bukan Melayu itu termasuk jawatan yang sebelum ini dilaksanakan dengan jayanya oleh profesional Melayu.
“Ini berlaku dengan proses naik pangkat dan tambahan kepada jawatan eksekutif paling kanan di peringkat Naib Presiden dan Pengurus Besar Kanan yang diperuntukkan kepada profesional Melayu,” katanya.
Katanya, malah ada profesional bukan Melayu terbabit merupakan personaliti anti-kerajaan BN dan bekas pemimpin parti pembangkang, di samping personaliti dari luar.
“Apakah tidak wujud lagi profesional Melayu peringkat separa tertinggi dan menengah dalam Petronas yang layak dan mempunyai kemampuan, produktiviti, pengalaman dan daya maju untuk dipertimbangkan ke jawatan tertinggi seperti Pengurus Besar Kanan dan Naib Presiden sehingga diberikan kepada bukan Melayu?
“Penyusunan dan penstrukturan dalaman semula Petronas dalam minggu ini mungkin akan memberikan “produktif songsang” (counterproductive), sekiranya moral majoriti profesional di kalangan orang Melayu dalam syarikat milik penuh kerajaan ini dicalari,” katanya.
Justeru, beliau menggesa kerajaan memandang perkembangan itu dengan serius agar profesional Melayu yang berkelayakan tidak diketepikan semata-mata untuk memberi laluan kepada profesional bukan Melayu.
Mengenai kenyataan Zaid, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (http://www.drkhir.com) berkata, tindakan Zaid yang menganggap titah Sultan Selangor itu sebagai pandangan peribadi dan bukannya arahan merupakan satu penghinaan terhadap kesultanan negeri itu.
Katanya, walau apa pun prosedur yang dipertikaikan oleh bekas peguam itu, Undang-undang Tubuh Negeri Selangor secara jelas menyatakan sultan ialah Ketua Agama Islam Negeri yang berhak membuat sebarang titah (arahan) yang wajar dipatuhi.
“Walau apa pun hujahan undang-undang, tindakan mempertikaikan titah Tuanku secara terbuka merupakan satu tindakan biadap. Mungkin perkataan yang lebih tepat ialah kurang ajar kerana Zaid bukan pun anak negeri Selangor.
“Sebagai rakyat Malaysia yang bukan anak negeri Selangor, Zaid sepatutnya lebih menghormati Sultan Selangor, negeri yang beliau duduki hari ini. Inilah negeri tempat beliau mendapat kemewahan dan juga hampir diberi peluang menjadi wakil rakyat dalam pilihan raya kecil lalu. Apakah madu yang diberi oleh Selangor, tuba yang dibalas Zaid?” katanya.
Jelas beliau, dalam hal ehwal agama Islam, titah Sultan Selangor merupakan satu arahan yang perlu dipatuhi dan dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan agensi itu hanya bertanggungjawab menasihati dan menjalankan titah sultan.
“Memang benar kita bukan hidup di zaman feudal. Tapi kita ada adab dan budaya yang kalau tidak mahu dijunjung atau dikelek pun, janganlah dipijak.
“Selebihnya saya merasa khuatir jika Zaid sekadar menjadi alat kepada agenda pihak tertentu dalam Pakatan untuk menjadikan negara ini negara republik,” katanya.
Syed Ali Alhabshee dalam UMNO Bahagian Cheras (umnobahagiancheras.blogspot.com) pula berkata, gelaran Datuk yang dianugerahkan kepada Zaid patut dilucutkan kerana begitu biadab menghina dan mencerca secara terbuka titah Sultan Selangor.
Katanya, kenyataan Zaid yang mempertikaikan titah Sultan Selangor secara umum turut memberi keaiban kepada kedudukan institusi Raja-Raja Melayu di negara ini.
“Walaupun Zaid seorang Melayu liberal tetapi dia tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seolah-olah menggambarkan Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai seorang Sultan yang tidak berpelajaran.
“Ini penghinaan yang amat keterlaluan, seolah-olah beliau ingin memberitahu seluruh dunia bahawa Raja-Raja Melayu hari ini adalah warisan sistem feudal yang tidak cerdik serta tidak berpelajaran,” katanya.
Khairul Rizal Osman dalam Cucu Tok Selampit (khairulryezal.blogspot.com) berkata, Zaid begitu licik menafsirkan undang-undang mengikut hawa nafsu.
Katanya, memang benar kita bukan lagi berada di zaman feudal seperti zaman Kerajaan Melayu Melaka tetapi apakah beliau lupa bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berteraskan Raja Berperlembagaan. — Utusan Malaysia

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks