Ketidakbebasan media menyekat hak kita untuk mengetahui. Ketidakbebasan pengangkutan mengikat hak kita untuk bergerak. Isu Editor's Time ntv7 dan Galeri Mandarin Nasional TV2 baru-baru ini memperlihatkan bagaimana kuasa jentera negara menghenyak hak kita untuk mengetahui.

2 Mac 2006 : Kerajaan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengangkutan Awam, dan memperuntukkan RM4.4 bilion yang "dijimatkan" dari subsidi minyak (memberi laluan kepada kenaikan harga minyak) untuk pembangunan sistem pengangkutan awam.
29 Ogos 2006 : TPM Najib (ketika itu) menjanjikan peruntukan RM10 bilion untuk pembangunan LRT di Lembah Klang dalam tempoh empat tahun selanjutnya.

4 November 2008 : Najib ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pertamanya, menjanjikan peruntukan RM 500 juta untuk mempertingkatkan sistem pengangkutan awam dalam bandar yang utama di Malaysia.
Kesemua janji ini sekadar angka yang kabur apabila dikemaskini. Biasanya ia diperbesarkan oleh media arus perdana, bersama dengan retoriknya, cuba untuk memberi bayangan bahawa sistem pengangkutan awam akan menjadi lancar pada keesokannya. Apabila membuka mata, kita akan mendapati diri kita masih berada di pondok bas yang sama lapuknya, menunggu bas yang entah bila akan sampai.
Mengabaikan pembinaan pengangkutan awam
Pada masa yang sama, peningkatan taraf sistem pengangkutan awam yang tertunda, menjurus kepada kerugian opportunity cost yang semakin melambung. Misalnya, andaikan sistem pengangkutan setelah diperbaiki, menjimatkan 20 minit untuk populasi enam juta orang di Lembah Klang setiap hari, maka negara kita menjimatkan 480 juta jam setiap tahun. Jikalau setiap jam disamakan nilainya dengan RM5, maka ia mencecah RM2.4 bilion.

Maka, mungkin anda yang tersumbat dalam LRT akan tertanya-tanya, adakah ia di luar kemampuan kerajaan untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam? Harus diingatkan, bahawa kerajaan kita mampu untuk membina Menara Petronas KLCC, yang pernah tercatat sebagai bangunan tertinggi di dunia. Kemampuan ini semestinya memadai untuk pembangunan sistem pengangkutan awam yang lebih baik. Soalnya bukan kemampuan, tetapi kemahuan. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Dasar yang ditentukan percaturan kuasa
Pengabaian pembangunan sistem pengangkutan awam bukan disebabkan masalah kemampuan, tetapi satu keputusan setelah pertimbangan kepentingan. Untuk lebih tepat, ia merupakan satu pilihan lantaran percaturan kuasa oleh kumpulan berkepentingan yang berpayungkan patronage. Dengan kata lain, masalah kita seperti dibasahi hujan ketika menunggu bas yang lewat terlalu remeh jika dibandingkan dengan alasan yang diberikan oleh kumpulan patronage.

Siapakah kumpulan berkepentingan ini? Mereka termasuklah kereta nasional, pembekal aksesori, pasaran kereta peribadi yang lain, syarikat konsesi lebuh raya, kontraktor pembinaan lebuh raya, pengilang tayar, peruncit minyak dan sebagainya. Jalan raya yang lancar akan menghakis kepentingan mereka.
Gagal menangkis tuntutan kumpulan berkepentingan
Tetapi, apakah kumpulan kepentingan ini tidak wujud di negara yang lain? Ramai orang yang akan melihat kegagalan sistem pengangkutan awam sebagai kemenangan Proton, dengan menuding jari kepada dasar automobil negara. Semestinya pandangan sedemikian mempunyai asasnya. Namun, bagaimana pula dengan negara pengeluar kereta seperti Korea, Jepun, malah China? Mengapa sistem pengangkutan awam negara ini lebih sempurna berbanding kita?

Di samping itu, ketika melaksanakan Dasar Ekonomi Baru yang diperkaumkan, penguasa memiliki alasan untuk menghalalkan tindakan yang bercanggah dengan kepentingan awam. Maka AP diberikan kepada kroni atas nama membantu bumiputera dalam bidang automobil; bantuan kepada pembekal kereta nasional yang tidak berdaya saing dijalankan atas nama melindungi usahawan bumiputera.

Tidak salah kalau dikatakan dasar sosial ekonomi negara kita tidak akan bersifat awam, dan hanya bersifat perkauman, selagi pemerintah tetap mendukung perkaumannya. Dasar pengangkutan awam adalah contoh terbaik, ia membabitkan kepentingan awam, tetapi tidak menepati keperluan politik perkauman, ditambah pula perlindungannya kepada kumpulan patronage, yang berakhir dengan ketidaksampaian dalam menyelesaikan masalah ini.
Kerajaan kita terlalu lama berjinak-jinak dengan agenda perkaumannya. Mereka hanya menjaga kepentingan diri atas nama kepentingan kaum. Mereka telah lupa bahawa apa yang diperlukan oleh warga negaranya hanyalah sistem pengangkutan yang sempurna.
*Lee Chean Chung
0 comments:
Catat Ulasan