BN Kedah: Sama ada pilihan raya baru atau kerajaan tumbang




KUALA LUMPUR, 7 Mei — Barisan Nasional (BN) Kedah membayangkan mempunyai peluang cerah untuk melihat beberapa Adun Pakatan Rakyat akan keluar parti komponennya, sekali gus mengubah landskap pentadbiran negeri semasa.
Sehubungan itu, Umno salah satu komponen BN meramalkan sama ada Kedah akan berubah tangan ataupun sekurang-kurangnya membawa kepada pilihan raya umum negeri yang baru.
Umno melihat kemungkinan tersebut berdasarkan perbezaan empat kerusi DUN antara Pakatan Rakyat dan BN yang mendakwa menerima sokongan wakil rakyat Bebas.
Awal tahun lalu kerajaan negeri Perak Pakatan Rakyat tumbang selepas tiga adun - masing-masing dua dari PKR dan satu wakil rakyat DAP keluar parti dan menjadi Adun Bebas mesra BN.
“Saya lihat ada peluang (untuk beberapa Adun Pakatan) keluar parti... saya melihat kemungkinan itu kerana sudah ada yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti mereka,” kata Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ir Nawawi Ahmad ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Nawawi juga berkata, pihaknya mempunyai maklumat beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat juga tidak berpuas hati dengan parti masing-masing buat masa sekarang.
Percaturan Umno-BN ialah antara dua hingga tiga Adun kemungkinan keluar.
Bagaimanapun Nawawi enggan menyebut nama Adun yang berpotensi untuk keluar Pakatan Rakyat itu.
“Jika dua wakil rakyat parti (komponen Pakatan) keluar bermakna keseimbangan anggota di DUN iaitu 18:18... sama di pihak Pakatan dan juga BN, jika ini berlaku kerajaan negeri tidak boleh berfungsi, dan pilihan raya umum negeri perlu diadakan, tiada pilihan.
“Jika tiga wakil rakyat keluar dari Pakatan, kami akan ada sokongan lebih satu kerusi iaitu 19:17. Dalam keadaan ini, BN boleh mengambil alih kerajaan, seperti yang berlaku di Perak,” katanya lagi.
Akhir bulan lalu Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, beliau tidak khuatir jika masih ada Adun daripada Pakatan Rakyat bertindak keluar parti sehingga menumbangkan kerajaan negeri pimpinan PAS itu.
Sebaliknya, beliau telah bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk membubarkan DUN jika ia benar-benar berlaku.
“Saya dengar macam-macam cerita sehingga sudah ada di antara Adun Umno yang bercakap siapa bakal menteri besar, tetapi saya langsung tidak khuatir kerana jika ini (lompat parti) benar-benar berlaku, saya akan bubar DUN dan kita pulang semula kepada rakyat untuk menjadi hakim,” katanya.
Sehingga kini kerajaan yang dipimpin Pakatan Rakyat sudah kehilangan dua wakil rakyatnya apabila dua Adun daripada PKR iaitu Mohammad Radzhi Salleh (Lunas) dan Tan Wei Shu (Bakar Arang) bertindak keluar parti.
Radzhi keluar tahun lalu manakala Tan bulan lalu ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.
Kedua-duanya mengisytiharkan diri sebagai wakil Bebas.
Kerajaan Kedah kini menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN. Daripada jumlah itu PAS menguasai 16 kerusi, PKR tiga dan DAP satu kerusi.
BN mempunyai 14 kerusi termasuk Kota Siputeh yang masih berada pada peringkat Mahkamah Rayuan selepas Speaker DUN Datuk Dr Abdul Isa Ismail tidak mengiktiraf Datuk Abu Hasan Sarif sebagai wakil rakyat kawasan itu.
Mahkamah Tinggi sebelum itu memutuskan DUN Kota Siputeh sebagai kosong berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah selepas Abu Hasan didapati gagal menghadiri sidang DUN sebanyak dua kali berturut-turut.
Kedah merupakan salah satu daripada lima negeri dikuasai Pakatan Rakyat pada Mac 2008.
Dalam pada itu, Pengerusi PKR Kedah Datuk Johari Abdul pula memberitahu The Malaysian Insider bahawa BN dengan “agresif” cuba mendampingi wakil rakyat Pakatan Rakyat sejak kebelakangan ini khususnya anggota PKR untuk mendapatkan sokongan mereka.
Pun begitu Johari juga melahirkan keyakinan kemungkinan wakil rakyat Pakatan Rakyat akan bertindak keluar parti tidak mungkin berlaku.
“Kami ada menerima laporan mengenai perkara ini. MB juga menyedari perkara ini memandangkan kesemua mereka yang telah didampingi BN telah memaklumkan kepada beliau.
“Mustahil perkara itu akan berlaku,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks