Anwar: Kalah Pertempuran Tapi Menang Peperangan



Oleh Sidiqin Omar
JOHOR BAHRU 8 Mei - Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pemimpin dan rakyat Malaysia supaya mengenang kembali hasrat pejuang kemerdekaan yang ingin memartabatkan hak rakyat tanpa mengira keturunan dan agama.
"Apa maknanya jika kita mempunyai Perlembagaan dan undang-undang, tetapi dalam masa yang sama ada segelintir pemimpin negara yang membolot harta negara seolah mereka berada di atas undang-undang," jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 1,000 tetamu pada majis makan malam anjuran KEADILAN Zon Johor Selatan di Skudai malam tadi.
Turut hadir termasuk Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Datuk Chua Jui Meng, Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan dan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Johor, Anuar Saleh.
Anwar menjelaskan polisi Pakatan Rakyat menitikberatkan soal rundingan yang lebih telus dan adil.
Maruah dan harga diri tidak dapat dikembalikan kepada rakyat sekiranya negara ini dipimpin oleh manusia yang sombong dan tamak tegas beliau.
"Rakyat Malaysia tidak lagi yakin dengan Barisan Nasional. Kita sendiri telah lihat dan dengar laporan media dalam dan luar negara. Banyak sekali pendedahan skandal dan penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran negara kita," kata Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Beliau turut mendedahkan persepsi masyarakat antarabangsa terutamanya golongan pelabur yang meragui keupayaan pentadbir negara ini untuk menjamin kepentingan pelaburan mereka.
Malahan hak kepada golongan pekerja turut diabaikan.
Kerajaan Malaysia dilihat sebagai hipokrit kerana membuat kenyataan yang bercanggah dengan realiti sebenar kekuatan ekonomi negara.
Anwar menganggap tindakan tersebut sebagai jalan singkat bagi mengembalikan dokongan rakyat kepada BN.
"Daya saing negara semakin menguncup. Kita tak boleh bandingkan prestasi negara kita dengan negara dunia ketiga yang lain. Ini merupakan kenyataan yang tidak jujur," tegasnya lagi.
Beliau mengingatkan kedudukan ekonomi Malaysia pada pertengahan 90-an setanding dengan negara membangun seperti Korea dan Taiwan tetapi kini ditinggalkan oleh negara Asean yang lain seperti Indonesia dan Filipina.
"Sebab apa kita tewas? Kerana sikap pemimpin yang angkuh dan mabuk dengan harta kekayaan melimpah yang kita tak tahu bagaimana mereka mendapatkannya," kata Anwar.
Namun beliau optimis Malaysia mampu untuk kembali mendapat keyakinan antarabangsa dengan perubahan yang ditunjukkan oleh rakyat.
"Negara ini mesti berubah. Mungkin kita kalah dalam satu atau dua pertempuran, tapi saya yakin kita akan memenangi peperangan ini," kata beliau yang disambut dengan tepukan gemuruh.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks