Saya Sedia Mengadap Sultan Selangor - Zaid




PETALING JAYA: Katua Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim sedia mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memperjelaskan isu yang mendakwanya menghina baginda melalui laman blog baru-baru ini.
Menurutnya, beliau sedia mengadap Sultan Sharafuddin sekiranya diperkenankan baginda.
“Saya sentiasa taat dan hormat pemimpin tertinggi termasuk Sultan Selangor. Tiada niat untuk menghina sesiapa, saya sekadar membuat tafsiran tentang undang-undang negara.
“Saya juga bukan mahu mencabar sesiapa, tetapi sekadar mahu mendapatkan kesahihan undang-undang itu serta penjelasan mengenainya,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini, hari ini.
Kelmarin Zaid melalui kenyataan terbukanya berkata bahawa titah Sultan Selangor agar masjid tidak boleh digunakan untuk tujuan berpolitik hanya sebagai pandangan peribadi baginda dan bukannya satu arahan.
Kenyataan Zaid itu adalah untuk mempertahankan tindakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini yang mempertikaikan larangan penggunaan masjid dan surau untuk tujuan berpolitik.
Sementara itu Zaid memberitahu, beliau menulis artikel itu bahawa kuasa Sultan dalam membuat arahan dan perintah tentang hal-hal agama Islam mesti tertakluk kepada persetujuan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Majlis Agama Islam sesebuah negeri.
Jelasnya, keputusan tersebut perlu diwartakan sebelum ia dikuatkuasakan sebagai undang-undang negeri yang sah.
Tambahnya, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib memberitahu dalam surat kepadanya bahawa adalah menjadi kesalahan sekiranya sesiapa mengingkari dan mempertikaikan arahan dan perintah Sultan Selangor merujuk kepada Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.
“Saya faham mengenai perkara itu (Seksyen 12 Enakmen), namun sebagai peguam saya tidak bersetuju bahawa kuasa mengeluarkan arahan dan perintah itu adalah kuasa mutlak yang tidak perlu dirujuk kepada DUN.
“Jika kuasa membuat perintah dan arahan dalam hal-hal agama Islam itu boleh dibuat oleh Raja-Raja Melayu, tanpa merujuk DUN dan berkuat kuasa sebagai undang-undang serta-merta tanpa diwartakan, maka ia beerti kita kembali ke zaman khalifah dulu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak bertujuan untuk menghina dan mempertikaikan kuasa Raja-Raja Melayu.
Katanya, konsep Raja Perlembagaan itu sebenarnya bermaksud Raja-Raja Melayu mempunyai kuasa tertentu, namun pelaksanaannya tertakluk kepada peruntukan di dalam Perlembagaan Pesekutuan atau Negeri.
“Saya bersedia bersama MAIS merujuk perkara ini kepada Mahkamah Persekutuan untuk menentukan maksud sebenar peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan peranan DUN dalam hal itu,” katanya.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks