Ia mengingatkan saya pada peristiwa Himpunan 100,000 rakyat di Lebuhraya Kesas tanggal 5 November 2000, lama dahulu.
Saya berkesempatan melihat seorang pakcik dibelasah dengan belantan oleh polis sehingga patah belantan itu, nyatanya pakcik itu tidak mengejar polis, tetapi polislah yang mengejarnya.
Saya juga berkesempatan melihat sikap tidak hormat harta peribadi orang bila polis dengan sewenang-wenangnya menendang motosikal-motosikal yang diletakkan di tepi jalan sehingga jatuh terbalik, sekali lagi motosikal-motosikal yang tidak bergerak itu tentulah tidak mengejar polis, tetapi polis membaham mereka seperti harimau kelaparan.
Arwah Aminulrasyid Amzah mengingatkan semula saya terhadap peristiwa ini.
Sebabnya laporan awal ada mengatakan bahawa kereta yang dipandu arwah yang hanya berumur 15 tahun ini mengundur dan cuba merempuh polis.
Ini yang membuat saya jadi sinikal, betapa seorang remaja Tingkatan 3 yang sedang ketakutan mengambil tindakan berani “mengejar” polis secara mengundur, sedangkan lautan manusia di Kesas lebih 10 tahun dahulu, walaupun semuanya berani-berani belaka, tidak ada seorang pun yang menjadi “gila” mengejar polis.
Bagi mewajarkan segala apa yang sudah berlaku, polis mendakwa yang arwah Aminulrasyid adalah suspek penyamun setelah kenyataan bahawa polis melepaskan tembakan kerana kereta yang dipandu arwah Aminulrasyid cuba lari dari sekatan jalanraya tidak dapat diterima oleh banyak pihak.
Dakwaan awal bahawa senjata parang ditemui dalam kereta tersebut juga hilang begitu sahaja, tiada sidang media polis seperti yang biasa kita lihat dengan parang ditunjukkan di atas meja.
Tayar dan kereta yang dipandu arwah Aminulrasyid ditembak bertubi-tubi. Timbul dua persoalan penting di sini. Pertama, apakah kereta itu terbukti sebuah kereta curi atau ada maklumat kereta itu milik kumpulan penjenayah tertentu sehingga ia “dilayan” sebegitu rupa oleh pihak polis?
Kedua, apakah anggota polis yang meronda di lapangan adalah dari kategori tidak terlatih dalam penggunaan senjata api? Hinggakan tembakan ke arah tayar boleh tersasar sehingga ke kepala arwah Aminulrasyid, yang seterusnya membawa kepada kematian remaja ini? Kalau betul, ia sudah tentu satu keadaan yang sangat menakutkan bagi orang awam selepas ini.
Saya tidak menafikan arwah Aminulrasyid ada kenakalannya yang tersendiri sebagai seorang remaja. Dari fakta kes, arwah sudah tentu salah kerana memandu tanpa lesen, dan arwah juga mungkin telah memandu melebihi had laju (itupun mungkin kerana arwah sedang dalam ketakutan).
Tetapi itu belum lagi mampu mewajarkan akal waras saya untuk menerima logik tembakan pihak polis tersebut. Ya, polis boleh memberi tembakan amaran, tetapi bukankah tembakan amaran sepatutnya dilepaskan ke udara? Sebelum saya tertinggal, dari fakta kes juga, bukankah kereta polis yang mengejar kereta Aminulrasyid itu dari jenis MPV, sedangkan Aminulrasyid hanyalah seorang pemandu amatur yang memandu kereta Proton Iswara?
Saya rasa tidak susah MPV tersebut memotong sebuah Iswara dan mengarahkannya berhenti, tanpa perlu sebarang tembakan dilepaskan?
Akhirnya apa yang berlaku sudahpun berlaku, sedihnya apa yang berlaku adalah tragedi, tragedi yang melibatkan kematian, saya percaya semua pihak tidak mahu ini berlaku.
Saya bersetuju dengan gesaan Musa Hassan supaya rakyat tidak mempertikaikan tugas polis. Untuk rekod, rakyat tidak pernah mempertikaikan tugas polis, tugas yang asasi iaitu menjaga keselamatan awam secara seadilnya. Namun apa yang berlaku mutakhir ini mencetus kritik tentang bagaimana pihak polis bertugas?
Malangnya polis tidak dapat mengelak dan menafikan kritik ini, sebab arwah Aminulrasyid bukanlah kes pertama yang memperlihatkan polis seperti bertindak secara sewenang-wenangnya.
Seperti laporan media sebelum ini, Januari lalu kita dikejutkan dengan kes Norizan Salleh yang mendakwa ditembak lima kali di bahagian dada dan tangan di sebuah lebuh raya ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Segambut. Akibat dari serangan tersebut, Norizan diberitakan cedera parah dan terlantar di hospital lebih dua minggu di bawah pengawasan polis.
Beliau juga dilaporkan terpaksa menanggung sendiri kos rawatan perubatan berjumlah hampir RM20,000. Jauh sebelum itu negara juga digegarkan dengan kes kematian mendiang Kugan dalam lokap polis.
Saya kira masalahnya polis terlalu dimanjakan sehingga mereka merasa terlalu berkuasa. Kerapkali status dan kuasa “polis” mereka diperguna dan disalahguna oleh elit-elit politik pemerintah demi kelangsungan politik kumpulan ini, sehinggakan tanpa sedar mungkin, polis hari ini mengguna pakai skala kuasa yang diteladani dari elit-elit politik ini.
Skala kuasa ini tidak lagi berasaskan kepada tugas asasi polis, iaitu menjaga keselamatan awam seadilnya, skala kuasa ini juga memanipulasi ruang gelap dalam undang-undang yang dilihat sangat abstrak dan subjektif tafsirannya.
Sekali lagi, rakyat sebenarnya tidak pernah mempertikaikan tugas polis, cuma kegusarannya adalah tentang bagaimana polis bertugas. Kerana tidak mempertikanlah, rakyat selama ini masih membayar saman trafik polis, masih ke balai polis jika ada kejadian yang perlu dilaporkan, dan masih menelefon polis jika ada kecemasan berkait dengan keselamatan.
Rakyat masih menaruh harapan, janganlah tunggu sampai rakyat membenar dan mengiyakan ungkapan polis raja di Malaysia itu.
Berubahlah sementara sempat, kerana krisis kepercayaan antara rakyat dan polis, jika berlaku adalah tragedi yang lebih buruk berbanding kematian Aminulrasyid dan kecederaan Norizan.
0 comments:
Catat Ulasan