Usul mahu tindakan ketenteraan terhadap Israel



KUALA LUMPUR, 7 Jun: Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub akan menghantar satu usul di Dewan Rakyat bagi meminta Kerajaan Malaysia mencadangkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar tindakan ketenteraan diambil terhadap Israel.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, sudah sampai masanya era diplomasi ditamatkan dengan Israel kerana mereka semakin berani menindas umat Islam di Palestin.
"Kalau tidak ada peluang berucap, saya tetap akan menghantar satu usul untuk dibahaskan di Dewan Rakyat untuk meminta kerajaan Malaysia mengambil langkah ke hadapan dengan membuat satu proposal kepada PBB.
"Sudah sampai  masanya tindakan ketenteraan diambil terhadap Israel. Sudah sampai masanya era diplomasi ditamatkan dengan Israel kerana mereka tidak faham lagi bahasa diplomasi. Jadi kita mahu tindakan ketenteraan diambil terhadap Israel dan Amerika perlu diambil tindakan serius," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan usul khas di Dewan Rakyat bagi mengutuk kekejaman zionis Israel.
Seorang lagi Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar pula mencabar kerajaan untuk menghentikan khidmat APCO sekiranya benar-benar membenci tindakan kejam Israel itu.
"Kenapa kita takut nak menunjukkan kebencian kita dengan menamatkan APCO? Sekarang seolah-olah tangan kanan kita memberi sesuatu kepada Palestin dan  dalam masa sama tangan kiri kita mendakap APCO iaitu proksi kepada Isrel dan Amerika," katanya yang juga ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mendesak kerajaan memanggil pulang duta ke PBB sebagai membuktikan kekecewaan Malaysia terhadap sikap berdiam diri PBB.
"Saya menggesa kerajaan menterjemahkan kekecewaannya kepada PBB dengan memanggil balik duta Malaysia ke PBB. Jika benar-benar tidak bersetuju dengan PBB, panggil balik duta kita," tegasnya.
Beliau turut menyifatkan usul itu sebagai bersifat kecaman semata-mata tanpa ada pendirian yang jelas untuk Malaysia bertindak dalam isu itu.
"Usul hari ini bersifat mengecam semata-mata, cadangan-cadangan untuk orang lain bertindak, bukan untuk Malaysia bertindak. Memang kita bersama dalam isu ini tapi sesuatu perkara yang melucukan bagi saya.
"Walaupun kita menyokong usul ini namun sebagai kerajaan perlu lebih praktikal dengan menunjukan sikap yang jelas. Kalau setakat kecam macam ni jadi macam tok penghulu Kampung Pening Lalat lah," katanya.
Isnin, 2010 Jun 07

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks