‘PAS jangan lupa bini lama bila dapat bini baru’



Sebahagian pemerhati rasmi Dewan Himpunan Penyokong PAS yang hadir pada Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di Pengkalan Chepa dekat Kota Baru hari ini. — Gambar Choo Choy May
KOTA BARU, 11 Jun — PAS yang melancarkan Dewan Himpunan Penyokong bulan lalu, hari ini menerima peringatan awal perwakilannya yang meminta komponen Pakatan Rakyat itu agar jangan melupakan penyokong setia mereka dalam usaha menarik pengundi-pengundi bukan Islam. Peringatan itu dilontarkan ketika PAS bertungkus lumus mencari sokongan bukan Islam mengabaikan pengundi-pengundi setia dan lama mereka iaitu masyarakat Islam.
Malah pandangan itu dikeluarkan beberapa jam selepas pucuk kepimpinan PAS memaklumkan Majlis Syura sudah memberi lampu hijau kepada calon kalangan bukan Islam untuk menggunakan lambang parti itu jika dipilih bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
Perwakilan yang membahaskan ucapan dasar Presiden petang ini melahirkan kebimbangan terhadap kemerosotan sokongan orang Melayu kepada PAS sejak kebelakangan ini.
Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, beliau risau dengan keghairahan PAS mendapatkan sokongan bukan Islam dan pengundi baru menyebabkan sokongan tradisinya merosot.
“Jangan sampai kita hendak mendapatkan pengundi baru, kita melupakan pengundi yang lama, kita menyakitkan pengundi lama... kalaupun dapat bini muda, janganlah dilupakan bini tua,” kata perwakilan pertama itu sambil turut mencuit lebih 1,000 perwakilan Muktamar Tahunan PAS Ke-56 hari ini.
Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu menambah, PAS dalam usaha hendak memperkukuhkan kedudukannya seharusnya berusaha mendapatkan hati kedua-dua pihak — penyokong Islam dan bukan Islam.
“Biar kita tangkap kedua-dua (penyokong lama dan baru).
“Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong tercicir,” kata beliau lagi.
“Saya tidak mahu kita membuat kesilapan dalam usaha kita mengejar dan menawan bukan Melayu sehingga kita lupakan pengundi-pengundi Melayu, yang merupakan pengundi asal kita,” kata beliau lagi.
Mohd Amar menambah, meskipun PAS sudah mula menerokai laluan untuk mendapatkan sokongan bukan Islam, tetapi Umno menggunakan pelbagai cara untuk menyemai rasa benci dan mengelirukan orang-orang Melayu di kawasan luar bandar.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu Saiful Bahari Mamat. — Gambar Choo Choy May
“Hubungan PAS dengan bukan Islam digunakan oleh Umno untuk mengalih sokongan PAS di kawasan luar bandar dan kampung, mereka tidak tahu perkara ini, mereka tidak faham,” kata beliau. Pandangan beliau itu turut disokong oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu Saiful Bahari Mamat.
Saiful berkata, orang-orang Melayu merupakan “tulang belakang” PAS dan mereka perlu mendapat keutamaan parti.
“Keutamaan harus diberikan kepada orang Melayu. DAP keluar Barisan Alternatif (1990) untuk mendapatkan sokongan orang Cina, dan kini mereka bersama kita.
“Saya sokong pandangan Kelantan,” kata Saiful.
Dalam pada itu perwakilan Perak, Khalid Idham Lim pula melihat kewujudan dewan baru dalam PAS khas untuk bukan Islam menggambarkan golongan itu tidak lagi takut pada Islam.
Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Titi Serong itu menjelaskan langkah terbaru itu melambangkan kehebatan PAS sebagai sebuah parti Islam yang sesuai untuk semua kaum.
Dalam ucapan dasarnya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyentuh kewujudan Dewan Himpunan Penyokong PAS berkata “kita bukan sahaja berjaya meruntuhkan tembok yang memisahkan kita selama ini dengan kaum bukan Islam, bahkan perjuangan kita juga mahu di sertai oleh kalangan mereka.”
“Ini merupakan satu pencapaiann yang lebih maju bagi penyelesaian masyarakat majmuk secara Islam, bagi memperkenalkan Islam yang boleh berlaku adil untuk semua,” kata beliau.
Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. — Gambar Choo Choy May

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks