Penekanan 4 prinsip muafakat Pakatan penting - Setiausaha Agung PKR


KOTA BHARU, 11 Jun: Setiausaha Agung PKR,  Saifuddin Nasution Ismail (gambar) menyifatkan ucapan dasar Presiden PAS di Muktamar PAS ke 56 hari ini suatu ucapan yang komprehensif, lengkap dan menyeluruh mencakupi pelbagai perkara penting.

Antara lain menurutnya,  Presiden PAS telah memberi penegasan semula terhadap empat prinsip muafakat rakyat yang telah diputuskan dalam konvensyen pertama Pakatan Rakyat di Shah Alam beberapa bulan lalu.

"Ini termasuk mempertahankan Islam sebagai agama rasmi, kedudukan Raja-raja Melayu, bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau di samping menjamin hak-hak orang Melayu dan bangsa asal.

"Dalam acara penting seperti ini dalam kalendar tahunan PAS untuk Presiden PAS kembali memperingatkan beberapa prinsip yang membawa kesepakatan dan muafakat di kalangan parti Pakatan Rakyat yang saya anggap sebagai satu peringatan yang signifikan untuk mengimbau kembali asas-asas kita dapat duduk bersama," katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin menganggap ucapan dasar ini penting bagi membentuk kekuatan dalaman PAS itu sendiri.

"Presiden PAS  telah  mengingatkan kembali asas-asas kekuatan PAS sebagai sebuah parti khususnya dalam mengingatkan kembali tugas utama dewan-dewan Ulama, Pemuda, Muslimat serta Dewan Himpunan Penyokong PAS.

"Di samping itu, Presiden PAS juga mengingatkan perwakilan tentang pentingnya untuk membina kekuatan dalaman parti. Presiden PAS juga turut  membawa keluar untuk lihat senario politik dunia samada di timur atau barat.

"Dari perspektif Pakatan Rakyat saya lihat ucapannya lengkap dan menyeluruh yang memberi mesej untuk diamati oleh komponen parti," jelasnya.

Sementara itu, perwakilan dari Kapar Selangor, Dr Rani Osman (gambar)  meminta supaya ahli PAS lebih terbuka dengan ilmu-ilmu baru dan meminta semua pihak turun ke bawah untuk bertemu rakyat.

"Semua peringkat dalam PAS kena turun ke bawah dan bertemu dengan semua sektor masyarakat bagi menyampaikan mesej PAS kepada rakyat. Kalau ucapan ini tidak di bawah ke bawah ia akan kekal dalam buku ucapan sahaja," kata beliau.

Dr Rani juga meminta para pemimpin PAS memfokaskan kembali kepada pengundi Melayu yang turut disebut dalam ucapan dasar Presiden kali ini.

"Menang atau kalah PAS dalam pilihan raya banyak bergantung kepada pengundi Melayu kerana kita bertanding di kawasan majoriti Melayu...ini kita kena ingat.
"Jadi usaha perlu dibuat untuk membolehkan mesej kita sampai ke kawasan-kawasan luar yang selama ini menjadi kubu musuh kita," kata Dr Rani.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks