Lesen Judi : Najib Perlu Diheret Ke JK Hak Dan Keistimewaan Parlimen Kerana Menipu




Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus dihadapkan ke Jawatankuasa Hak Dan Keistimewaan kerana mengelirukan Dewan Rakyat berhubung kelulusan lesen judi bola sepak yang diberikan kepada Ascot Sports Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata kenyataan Najib yang juga Menteri Kewangan I semalam telah menyelewengkan Dewan Rakyat apabila menyatakan kerajaan masih mengkaji permintaan Berjaya Corporation Bhd berhubung lesen judi tersebut.

"Semalam, dalam jawapan berhubung lesen judi sukan, Najib menafikan telah meluluskan tetapi pada masa yang sama di dalam laman sesawang Kumpulan Berjaya telah mengumumkan bahawa kelulusan itu telah diberikan.

"Hari ini bila kita periksa pengumuman berhubung lesen judi tersebut, nampaknya rekod itu telah dipadamkan.

"Kenyataan ini mengarut kerana kerana Kementerian Kewangan sebenarnya sudah pun meluluskan lesen tersebut kerana kalau tidak kenapa Berjaya Corporation membuat pinjaman RM614 juta untuk mengendalikan operasi judi sukan ini.

"Najib sepatutnya dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana memberikan kenyataan mengelirukan," kata beliau.

Menurutnya, Berjaya Corporation membuat pengumuman pada 12 Mei berhubung kelulusan lesen judi sukan yang menyebabkan saham syarikat tersebut melonjak naik pada hari tersebut.

Pengumuman itu menyatakan Menteri Kewangan telah memberikan kelulusan kepada Ascot Sports lesen untuk mengendalikan operasi judi sukan mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan.

Sementara itu Timbalan Menteri Kewangan yang baru dilantik, Senator Datuk Donald Lim ketika ditemui media di lobi parlimen berkata keputusan kerajaan tidak muktamad dan masih menunggu maklumbalas semua pihak.

Ketika diminta mengulas itu, beliau enggan menjawab kerana menurut beliau keputusan itu bukan di tangannya dan mengatakan Kementerian Kewangan akan mengadakan perbincangan lanjut isu tersebut.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks