Anwar: Israel berani kerana dilindungi Amerika



KUALA LUMPUR, 7 Jun — Tekanan harus dilakukan terhadap Amerika Syarikat (AS) supaya tidak lagi menyokong dan melindungi keganasan rejim Israel, demikian gesaan anggota Dewan Rakyat hari ini.
Mereka sepakat bahawa Israel berani bertindak sesuka hati kerana dilindungi kuasa besar, dan oleh itu, Amerika Syarikat perlu didesak supaya tidak melindungi kezaliman rejim Yahudi itu.
Ketika memulakan perbahasan usul mengecam kezaliman tentera Israel menyerang kapal Freedom Flotila yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) berkata selama ini AS dan Israel telah menjalinkan hubungan yang erat sehingga menyebabkan rejim zionis itu bebas melakukan apa sahaja tanpa rasa takut.
“Saya berpendapat Israel mungkin tidak mempunyai kekuatan untuk menyerang (Freedom Flotilla) tanpa dokongan AS. Usul ini hendaklah menuntut AS dengan tegas menghalang zionis Israel daripada terus melakukan kezaliman dan keganasan kepada rakyat Palestin.
“Saya juga mendesak agar usul ini menggesa AS supaya tidak lagi melindungi perbuatan jenayah dan keganasan yang dilakukan Israel,” kata Anggota Parlimen Permatang Pauh itu yang turut menyokong usul tersebut.
Wakil MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai (BN-Bentong) berkata beliau berharap AS tidak lagi menggunakan kuasanya menyekat tindakan yang perlu diambil oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Rejim zionis ini merasakan bahawa mereka boleh melakukan apa sahaja kerana dilindungi kuasa besar seperti AS. Adalah diharapkan, menerusi usul ini, AS tidak lagi berterusan menggunakan kuasa vetonya ke atas Majlis Keselamatan PBB,” katanya yang juga Menteri Kesihatan dan Timbalan Presiden MCA.
Setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng (DAP-Bagan) pula berkata Malaysia yang mempunyai hubungan dengan AS boleh menyampaikan mesej tersebut.
“Sebagai sebuah negara (Malaysia) yang ada hubungan dengan AS, sepatutnya kita boleh sampaikan kepada AS sebagai seorang kawan. Tanpa sokongan dan dokongan AS, Israel tidak berani (untuk) bermaharajalela. Kalau ini berterusan (memberikan sokongan), Israel akan dilihat seperti Nazi Jerman yang membunuh dengan zalim dan kejam sekali,” katanya.
Beliau turut mencadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya bersemuka dengan Presiden AS Barack Obama secepat mungkin bagi menyatakan kecaman terhadap Israel.
“Jalan paling berkesan ialah pergi ke Washington dan saya tahu Washington tidak suka dengan cara ini ... beritahu depan muka dia (Obama) jangan hanya cakap yang manis. Kita sedia anggap Perdana Menteri sebagai wira kalau berani bercakap dengan Obama. Kita beri sokongan pada usul ini,” katanya.
Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim Bandar-Baharu) pula menggesa Parlimen supaya mendesak AS memutuskan hubungan dengan Israel manakala Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) pula menyifatkan Israel menjadi angkuh kerana mendapat sokongan daripada AS.
“Keangkuhan Israel adalah kerana mendapat sokongan kuasa AS dan kuasa sekutunya. Israel ini hanyalah negara nyamuk sahaja. Ini menjadikan mereka kuat adalah kerana kuasa besar yang menjadi pendorong kepada Israel,” kata beliau BK.
Sementara itu, Datuk Joseph Entulu Belaun (BN-Selangau) pula berkata kritikan dan hentaman seluruh dunia termasuk sekutunya AS sering kali dipandang remeh oleh Israel selain tindakan AS yang dilihat tidak tegas dalam memberikan kritikan.
“Dunia sedar AS hanya memberikan kutukan secara ringan sahaja yang menampakan ketidakadilan kepada rakyat Palestin,” katanya yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Wakil MIC Datuk Dr S.Subramaniam (BN-Segamat) pula berkata bahawa sudah tiba masanya untuk tindakan menggunakan saluran perundangan antarabangsa dan tekanan terhadap kuasa-kuasa besar dilakukan.
“Apakah justifikasi pembunuhan kejam ini? Apakah dunia hanya akan memerhatikan kekejaman rejim Israel yang tiada hadnya tanpa membuat sesuatu?
Dunia kini tidak boleh lagi berdiam diri dengan hanya sekadar memprotes terhadap kekejaman rejim zionis ini,” kata beliau yang juga Menteri Sumber Manusia.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) mahukan agar Malaysia menerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mencadangkan agar setiap misi kemanusiaan diiringi pasukan ketenteraan dari setiap negara.
Usul yang dibentang Perdana Menteri diluluskan selepas perbahasan lebih lima jam oleh 28 wakil rakyat. — Bernama

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks