Anwar Kemuka Permohonan Ucapan Penangguhan Isu Blok L Dan M



KUALA LUMPUR 7 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan permohonan kepada Yang DiPertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk membuat ucapan penangguhan pada hari ini berhubung isu penyerahan medan minyak Blok L dan M kepada Brunei dan pencabulan terhadap kedaulatan negara.
Permohonan tersebut dibuat kepada speaker pada 18 Mei lalu mengikut Peraturan Mesyuarat 17 Dewan Rakyat.
Permohonan itu berbunyi:
"Pada 30 April 2010, buat pertama kali rakyat mendapat tahu dengan pasti bahawa dua medan minyak Blok L dan Blok M kepunyaan negara telah diserahkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Brunei. Dalam satu kenyataan yang dipetik Bernama pada hari tersebut, mantan Perdana Menteri YB Kepala Batas mengesahkan medan minyak Blok L dan Blok M kini menjadi milik Brunei.
"Bernama turut melaporkan pengakuan YB Kepala Batas bahawa, "Sebagai Perdana Menteri Malaysia, saya menandatangani Pertukaran Surat itu dengan Sultan Brunei setelah Kabinet Malaysia meluluskan urusan itu pada 11 Februari 2009."
"Penyerahannya dimeterai pada 16 Mac 2009, cuma selang 17 hari sebelum YB Kepala Batas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009.
"Penyerahan medan minyak ini dirahsiakan daripada pengetahuan umum dan hanya didedahkan lebih setahun kemudian. Pendedahan mengenai penyerahan tersebut amat memeranjatkan kerana ia membabitkan kedaulatan wilayah, kepentingan maritim dan ekonomi negara.
"Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Garis Pangkal Zon Maritim 2006, Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Padang Rengas memberitahu Dewan Rakyat bahawa, bagi menjaga kepentingan maritim negara, Malaysia telah menunjukkan kawasan perairan laut wilayah dan pelantar benua Malaysia melalui pengisytiharan Peta Baru Malaysia pada 21 Disember 1979.
"Peta Baru Malaysia 1979 ini diterbitkan oleh Pengarah Pemetaan Negara dalam dua sheet, iaitu sheet satu Semenanjung Malaysia dan sheet dua Sabah dan Sarawak. Menurut Peta Baru Malaysia 1979 ini, dalam sheet Sabah dan Sarawak, sempadan wilayah negara merangkumi perairan yang mengandungi medan minyak Blok L dan Blok M. Pengisytiharan wilayah Malaysia ini dibuat dengan rasminya sebelum Brunei dimasyhurkan kemerdekaannya pada 1980.
 "Keputusan Kerajaan Persekutuan menyerahkan wilayah perairan negara ini melalui keputusan Kabinet pada 11 Februari 2009 yang turut dianggotai oleh YAB Perdana Menteri sekarang adalah satu pengkhianatan terhadap kedaulatan negara dan pencabulan serius ke atas Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, saya menuntut YAB Perdana Menteri menjelaskan secara terperinci dalam Parlimen mengenai keputusan Kerajaan Persekutuan dalam isu penyerahan wilayah perairan negara khasnya medan minyak Blok L dan Blok M kepada Brunei.”

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks